Halaman

Sabtu, 23 Mei 2015

HOMO SAPIENS

'Apakah melalui datuk atau nenek yang anda mendakwa diri anda berketurunan daripada monyet?’

Ujar Samuel Wilberforce dengan sarkastik mempersendakan Thomas Huxley dalam perdebatan mashyur di Oxford pada tahun 1860, setahun selepas terbitnya buku The Origin of Species. Maka lahirlah sebuah prototaip hujah yang terus digunapakai walau tertayang padanya falasi pemahaman terhadap Teori Evolusi. Sindiran yang lahir daripada mulut seorang biskop Kristian itu juga seperti satu pratonton akan krisis evolusi-agama yang bakal membuka tirai dan masih belum berlabuh hingga hari ini.

Menariknya Noam Chomsky, ahli linguistik dan intelektual Amerika yang disegani pernah menulis, ‘Kemajuan mana-mana negara daripada negara yang lain diukur daripada tahap kefahaman mereka terhadap Teori Evolusi’. Ini antara lain menggambarkan realiti kemajuan dan penerokaan dunia saintifik terutamanya dalam biologi moden yang berdiri pada praduga kebenaran Teori Evolusi. Sedang negara-negara pengeluar produk sains berbincang Teori Evolusi Darwin, neo-Darwin mahupun anti-Darwin, negara-negara Islam lebih selesa memekakkan telinga daripada isu sebenar dan kekal sebagai konsumer. Bahkan ramai sekali dalam komuniti Muslim tanpa segan silu bermain retorik yang menunjukkan kesalahfahaman terhadap Teori Evolusi dan sains moden. Keghairahan beragama yang terkadang mengaibkan.


Berdasarkan Evolusi, semua organisma dilihat berasal daripada induk yang sama dan melalui modifikasi membentuk spesis baharu sementara Teori Evolusi membincangkan bagaimana proses ini berlaku. Charles Darwin mencadangkan seleksi natural sebagai mekanismanya. Yang banyak diperdebatkan komuniti sains adalah bagaimana evolusi berlaku, bukan apakah evolusi berlaku atau tidak. Maka Teori Evolusi terus berkembang dari masa ke masa, jauh merentasi skop Darwin yang meletakkan batu asas atas teori ini. Namun Charles Darwin tetap dilihat sebagai figura revolusi saintifik seperti Isaac Newton dan Albert Einstein yang mengubah kefahaman terhadap alam dan kosmos. Lantas, bertambah relevan lagi bagi penghuni dunia yang telah melewati beberapa revolusi saintifik ini untuk memahami Teori Evolusi.

Akar falsafah Teori Evolusi menjalar jauh daripada zaman Yunani lagi, maka tidak hairan Teori Evolusi pra Darwinisme juga disebutkan dalam komuniti Muslim, sehingga John William Draper menyebutkannya sebagai Mohammedan (Muslim) theory of evolution seperti yang dilihat dalam Ikhwān al-Ṣafā, sekumpulan ahli falsafah rahsia di Iraq yang banyak dipengaruhi oleh falsafah Hellenistik dan beberapa ilmuan Islam beraliran Muktazilah. Namun ini bukanlah satu pelepasan untuk menyalahtafsir Ibnu Khaldun, al-Biruni, Ibnu Sina atau Rumi untuk membuktikan kewujudan Teori Evolusi dalam pemikir Islam silam.  Walaupun Allamah Iqbal melihat puisi Rumi menggambarkan kejadian evolusi, Sayyed Hossein Nasr dalam makalah On the Question of Biological Origins menjelaskan dengan lebih rasional bahawa yang dimaksudkan kebanyakan pemikir Islam silam ini ialah sebuah hierarki kehidupan, di mana hidupan yang kompleks mengandungi ciri hidupan yang lebih ringkas dalam diri mereka, bukan evolusi dalam erti kata Darwinisme.

Dalam pada itu, kemunculan Lamarckisme sebagai mekanisma evolusi dan penerbitan Vestiges of the Natural History of Creation oleh datuk Darwin juga sedikit sebanyak menggalakkan Darwin untuk memformulasikan Teori Evolusinya secara teliti.

Salahtanggap terhadap Teori Evolusi

‘Teori Evolusi’ sebagaimana istilah literalnya selalu disalahfahami sebagai teori semata. Sedangkan teori dalam istilah sains merujuk hipotesis yang telah matang dan disokong fakta pemerhatian. Bahkan teori sains mempunyai kedudukan lebih tinggi daripada fakta dalam hierarki ilmu kerana teori menerangkan sesuatu fakta. Teori Evolusi berusaha menjelaskan bagaimana evolusi berlaku, mekanisma yang masih diperdebat dan terus dikoreksi oleh biologis, apatah lagi dengan perkembangan ilmu epigenetik yang menerangkan bagaimana persekitaran mempengaruhi ekspresi gen organisma.



Gambar ikonik dan simplistik evolusi satu spesis ke spesis yang lain menambah kesalahfahaman terhadap teori Evolusi sehingga slogan pencarian fosil transisi antara spesis selalu dilaungkan untuk menjatuhkan teori ini. Sedangkan Pokok Filogenetik dalam biologi menggambarkan persamaan induk antara spesis dan bukannya pergerakan berurutan keseluruhan spesis ke spesis yang lain. Penemuan fosil seperti Ambulocetus, Gerobatrachus, Odontochelys telah pun menunjukkan ciri induk beberapa spesies haiwan moden. Demikian juga Homo Sapiens atau manusia dalam Teori Evolusi bukan berasal daripada monyet, tetapi berkongsi induk yang sama dengan primat yang lain.

Dalam pandangan pendukungnya, Teori Evolusi dianggap satu penyelesaian yang genius bagi teka-teki kompleksiti dalam biologi, bahkan satu-satunya teori meyakinkan yang pernah ditawarkan. Dakwaan bahawa teori lain akhirnya akan menggantikan Teori Evolusi menunjukkan kesalahfahaman terhadap pembentukan teori sains. Teori baru yang lebih komprehensif dan praktikal tidak menggulingkan teori sebelumnya sebaliknya merupakan satu perkembangan atas arketaip sedia ada. Sepertimana kedatangan Einstein yang mampu menjelaskan fenomena pada skala kuantum, mengisi kelompangan yang ditinggalkan Newton dan menyatukan fragmen-fragmen fizik, demikian juga komuniti biologi moden masih menanti kemunculan 'Einstein' melalui kajian demi kajian dan perdebatan ilmiah mereka.
Teori Evolusi dan Agama

Konflik antara Teori Evolusi dan agama muncul kerana perbezaannya dengan naratif agama. Selisih Teori Evolusi dan agama meruncing pada tahun 1920 di Amerika Syarikat dengan kemaraan gerakan Evangelical. Teori Evolusi menggugat naratif penciptaan menurut kitab Genesis bagi agama Kristian dan Yahudi lantas kreasionisme, teori penciptaan menurut naratif agama diajukan sebagai satu alternatif. Bahkan ada dalam kalangan mereka yang dikenali sebagai Young Earth Creationists mempertahankan pentafsiran literal umur bumi, menolak sekian bukti kajian saintifik. Gerakan kreasionisme turut diperkukuhkan dengan kewujudan badan pemikir Discovery Institute, yang menubuhkan badan propaganda mereka, Center for Science and Culture. Sebagaimana Teori Evolusi telah berkembang dan bangkit dalam bentuk pseudoagama yang dipuja saintis ateis, begitu juga gerakan kreasionisme menjadi semakin sofistikated dalam serangan balas mereka.

The Evolution Wars’, tajuk muka depan majalah Times tahun 2005, merakamkan kemuncak krisis ini dalam sistem pendidikan Amerika Syarikat. Kreasionis menolak pengajaran Teori Evolusi dalam pendidikan dan menyatakan keyakinan penuh mereka kepada Perancangan Cerdas (Intelligent Design) sebagai alternatif. Malangnya mereka sendiri mengakui bahawa teori Perancangan Cerdas belum cukup matang untuk dipersembahkan dalam sistem pendidikan. Akhirnya mereka mengangkat slogan ‘Teach The Controversy’ menggalakkan pengajaran hujah yang menyokong dan menentang Teori Evolusi. Pendekatan yang kemudiannya menjadi bahan sindiran masyarakat sekular.
  
Saintis penyokong Teori Evolusi pula mendakwa teman sejawat mereka yang memperjuangkan Perancangan Cerdas tidak menurut peraturan sains. Mereka tidak menerbitkan kertas kajian yang berkaitan dan hipotesis mereka tidak dapat diuji dengan kajian dan penyelidikan bahan bukti. Michael J. Behe, saintis kreasionis yang menulis buku provokatif Darwin’s Black Box sendiri mengakui, ‘Kita tidak dapat membuktikan Perancangan Cerdas melalui eksperimen’. Keengganan Behe mengenalpasti sifat Perancang Cerdas menimbulkan rasa tidak puas hati saintis lain dan mengesahkan dakwaan penyokong Teori Evolusi bahawa kreasionis tidak dapat menawarkan teori baru yang menepati standard sains moden.


Di dunia Islam pula, Teori Evolusi Darwin mula diperkenalkan sebagai alat propaganda ideologi sebelum teks lengkap terjemahan The Origin of Species muncul pada tahun 1964 di Kaherah. Golongan sekular Arab Kristian di Beirut, gerakan Young Turk dan modernis seperti Syed Ahmad Khan, masing-masing menyebarkan Teori Evolusi atas landasan ideologi. Disebabkan permulaan sedemikian, intelektual Muslim yang cuba menilai Teori Evolusi berhadapan kesukaran menyingkirkan unsur-unsur yang meliputinya. Hal ini dapat dilihat dalam perbezaan reaksi tegas Jamal al-Din al Afgani dalam kitabnya al-Radd ʻalā al-Dahriyyīn (Penyangkalan terhadap Materialis) dan pandangan beliau yang lebih neutral 20 tahun kemudiannya terhadap Teori Evolusi. Reaksi awal beliau mencerminkan tentangannya terhadap golongan intelektual yang membelakangi penyebarannya di dunia Islam.

Respon terhadap Teori Evolusi Darwin mungkin berbeza-beza antara pelbagai ahli teologi dan intelektual, namun satu persamaan yang tetap menyatukan umat Islam ialah penolakan terhadap Teori Evolusi yang dipersembahkan sepenuhnya secara materialistik dan ateistik. Maka penilaian sebenar hanya dapat dibina dengan mengasingkannya daripada nilai tersebut. Jika Teori Evolusi dibersihkan daripada saringan lensa akar falsafah sains moden yang melahirkannya, konflik teologi Islam terhadap Teori Evolusi menyerlah pada satu titik, pada penciptaan manusia pertama, Adam dan Hawa. Konflik yang mencabar tafsiran penciptaan manusia pertama khusus di tangan Tuhan berbanding menerima bahawa manusia berevolusi daripada induk yang sama dengan semua hidupan lain di dunia.


Al-Risāla al-Ḥāmidiyya yang ditulis oleh ahli teologi Tripoli, Shaykh Husayn al-Jisr, di saat pertembungan Islam dan cabaran sains moden di zaman Turki Uthmaniyah menyebutkan bahawa Teori Evolusi tidak berselisih dengan Islam selagi mana terdapat ruang untuk memperakukan kewujudan Tuhan. Sesetengah aspek Teori Evolusi menyalahi makna zahir ayat al-Quran. Namun ayat-ayat tersebut sendiri mempunyai banyak tafsiran dan Teori Evolusi masih dapat menduduki salah satu daripada tafsiran tersebut sekalipun itu bukanlah pandangan yang ortodoks. Maka penerimaan terhadap Teori Evolusi secara keseluruhan memerlukan takwil terhadap sesetengah ayat. Takwil yang dibenarkan, tetapi bukanlah satu keperluan selagi mana Teori Evolusi belum benar-benar disabitkan secara saintifik. Seorang ahli agama yang diperakukan oleh Said al-Nursi akan ketokohannya dan pakar dalam kefahaman ilmu sains, risalah yang ditulis beliau benar-benar menepati keperluan zamannya.

Manakala realiti masa kini di mana para ilmuan Islam bukan lagi ahli dalam kedua-dua bidang teologi dan sains, cabaran yang lebih sukar ialah mecari pandangan sederhana antara dua ekstrem. Golongan agamawan dengan kesalahfahaman kronik terhadap Teori Evolusi dan mengaitkannya dengan kekufuran dan sebaliknya, golongan Muslim liberal yang melampau dalam interpretasi semula al-Quran untuk menyesuaikannya dengan Teori Evolusi.

Kun Fayakun

Akal intelek seorang Muslim yang sihat memahami bahawa al-Quran yang menyampaikan kalam-Nya dan alam yang memanifestasikan ayat-Nya sewajarnya tidak akan pernah berkontradiksi antara satu sama lain. Di saat pendukung evolusi ateis melihat seleksi natural atau mekanisma apa sekalipun sebagai penggerak penciptaan, nama Allah al-Qayyum malah bertambah menyerlah dalam hati mukmin, bahawa ada campur tangan-Nya dalam tiap detik perubahan dalam penciptaan. Sementara homologi, persamaan ciri tiap spesis yang menunjukkan kepada satu induk asal bahkan menambahkan keyakinan mukmin akan ke-Esaan sang Pencipta.

Al-Ghazali dalam Tahāfut al-Falāsifa (Kerancuan Ahli Falsafah) menafikan adanya kausalitas atau sebab-musabab sesuatu kejadian atau fenomena selain Allah. Namun beliau menyatakan bahawa satu-satunya cara untuk manusia membuat pemerhatian terhadap alam ialah dengan menganggap hubungan sebab-musabab itu wujud. Demikian juga pendokong Teori Evolusi berpandangan kompleksiti alam yang dinisbahkan kepada Perancangan Cerdas menutup pintu bagi penyelidikan berpanjangan dalam biologi moden. Hakikatnya kausalitas creatio ex nihilo, menciptakan sesuatu dari tidak ada menjadi ada tidak dapat disuluh dan digarap dengan kajian empirikal, yang hanya menjelaskan bahagian kecil dunia yang boleh dikuantifikasikan dan diukur.

Teori kreasionisme creatio ex nihilo mempunyai kredibiliti dalam perdebatan metafizik, namun hilang kekuatannya apabila dibawa ke ruangan sains moden. Realitinya sains moden ditunjangi falsafah metodologi yang naturalistik, bahawa alam semata adalah keseluruhan realiti, tidak ada realiti lain disebaliknya. Sains tidak bebas nilai dan sentiasa mencerminkan pandangan alam yang membentuknya dan keterbatasan metodologi yang diaplikasikan dalam kajian sains tidak boleh digunakan untuk memahami realiti atau alam metafizik. Maka ahli teologi yang serius dalam kajian ilmu harus memahami kritikan yang sebenar perlu ditujukan kepada falsafah sains moden itu sendiri, bukannya sekadar berhujah superfisial mengeji buah hasil pokok yang melahirkannya.

Manakala bahana penyalahgunaan sains disebut dengan tepat jua oleh Imam al-Ghazali dalam al-Munqidh min al-Dalāl (Penyelamat dari kesesatan). Ahli sains, menurut beliau kadangkala terlalu berbangga diri, berani meneroka di luar bidang yang boleh mengaplikasikan rasional secara sah lantas mengeluarkan kenyataan metafizikal atau teologi tentang Tuhan dan isu agama yang bertentangan dengan teks agama. Sementara orang awam selepas melihat sikap berlebihan ahli sains ini akan menolak keseluruhan sains tanpa membezakannya. Dua fenomena yang jelas terlihat dalam krisis evolusi-agama. Delusi saintis ateis yang mengaplikasikan metodologi naturalisme ini dalam perbahasan metafizik dengan menganggap ketiadaan Tuhan sebagai deduksi logik daripada kajian sains mereka dan sikap orang awam yang membuang terus Teori Evolusi dalam perbincangan sains akibat reaksi terhadap golongan tersebut.










Adapun cabaran tafsiran teologi terhadap penciptaan Adam melalui Teori Evolusi hanya akan meruncing kepada krisis penafian terus kewujudan Adam jika saintis Muslim makin menyepi daripada lapangan kajian biologi moden kerana momokan yang disuakan komuniti agama. Pun begitu, sekalipun sinergi antara ahli teologi dan ahli sains berlaku, Teori Evolusi hanya satu daripada manifestasi cabaran sains moden yang akan terus mendatang selagi mana Islamisasi sains dalam erti kata sebenar tidak direalisasikan. Sedangkan ilusi keharmonian sains moden dan Islam kian retak menanti belah dengan kurangnya wacana serius oleh ilmuan Islam yang pakar dalam falsafah dan ilmu kalam terhadap sains moden dan nilai yang dibawanya. Apatah lagi di saat orang awam kian kecanduan Bucailleism sebagai psikoterapi merawat rasa kompleks rendah diri atas kemunduran ummah.

Sekalipun reduksi nilai manusia sebagai makhluk daripada genus Homo dan spesis Sapiens memberi tamparan hebat kepada perasaan istimewa manusia bertuhan terhadap kedudukannya dalam penciptaan kosmos, apa yang harus difahami ialah sains hanya mampu membincangkan tentang fizikal dan biologi. Bukannya ruh dan esensi manusia yang semestinya berada di domain yang lain, yang mempunyai kapasiti untuk melangkaui taraf malaikat pada neraca ketakwaannya. Demikianlah nilai sebenar insan yang hanya dapat disuluhkan oleh ilmu wahyu.

Tulisan artikel disumbangkan oleh: Ummu Helma binti Hassan
  
Beliau merupakan mahasiswi tahun 5 fakulti perubatan Universiti Kaherah. Bertugas sebagai Ketua Unit Pembelajaran kesatuan pelajar Medical Research Society, beliau percaya mahasiswa perlu diperkasakan dengan pengetahuan dan pemahaman sebelum mengkritik sesuatu subjek agar tidak terperangkap pada pengulangan klise retorik kosong. Artikel ini merupakan pendapat peribadi penulis dan tidak mewakili mana-mana pihak.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...