Kalau bercakap
soal cinta, aku rasa siapa pun boleh jadi juara. Kau lemparkan sahaja tajuk
‘cinta’, hampir semua boleh ulas dan hurai, tanpa jeda. Berlambakan pakar cinta
dalam dunia ini; yang ada pengalaman, yang tiada pengalaman, yang tengah
kemaruk cinta, yang bercinta setengah jalan. Kau namakan sahaja setiap golongan
manusia, semuanya mampu bicara soal cinta.
“Kau yang
menulis, apa cerita?”
Hah, aku tak
punya apa-apa. Walau sekelumit perasaan cinta itu pun, aku fikir tak layak untuk
aku rasa. Sebab itu aku tak sombong soal cinta, sebab aku tak faham apa itu
cinta. Tapi aku belajar apa itu cinta dari dia.
Si bisu yang
mengajar tentang cinta.
Mampukah kau?
Mengajar cinta sedangkan kau tak langsung mampu berkata-kata? Orang kata manifestasi
cinta itu perlu dengan kata-kata, kalau tak tiada yang nak percaya. Semua kata
hidup perlukan bukti, sedangkan sekecil perkara pun orang tagih bukti sebab nak
puaskan hati, inikan pula cinta yang bermain dengan perasaan dalam jiwa. Yang
kalau kau robek dan tikam sedalamnya aku percaya luka tetap luka, walau kau dah
pun redha.
Mari aku
ajarkan kamu tentang cinta. Kisah yang terkubur tidak bernama.
*****
“Kan aku dah
cakap, Aizat tu dah ada orang. Yang gamaknya kau nak merampas tu kenapa? Inilah
makannya.”
“Aku dengan
Aizat kan kawan je. Yang perempuan tu nak fikir lebih-lebih tu dah kenapa?
Antara kurang kasih sayang atau kurang kepercayaan,” Fie mengusap-ngusap
pipinya yang dah kemerahan. Berapa kali dihembus nafas geram ditambah pula
adegan memalukan disimbah dengan air di kedai makan tadi.
“Ha, kawan? Kau
ingat lelaki dan perempuan itu boleh duduk diam tanpa hubungan? Setakat kawan,
aku pun kawan kau, taknak pula kau belanja aku makan. Dah berzaman dah kita
berkawan kan?” aku menjawab lantang sambil menyorong basikal tua milik arwah
atuk menuju ke rumah.
“Tapi kan, itu
lain lah. Aku dengan Aizat . . ,”
“Dah jom masuk
rumah aku. Tuam pipi tu. Dah macam kena sengat lebah,” belum sempat Fie
menghabiskan struktur ayat aku dah memotong. Ahh, jangan ajar budak ini
beralasan, sampai ke besar yang dia tahu beralasan tak henti. Takkan maju orang
kita kalau beralasan sentiasa. Salah sendiri taknak mengaku, salah orang yang
kita nak tahu.
Fie mengalah,
walau pada riak wajahnya masih ada sisa-sisa hujah yang tertinggal. Dia kenal
Lia jenisnya yang macammana. Kau takkan pernah berhenti berhujah kalau dengan
Lia, ada saja yang dipatahkan dan dirobohkan. Sudahnya kita yang dikantoikan,
terkulat diam seribu bahasa. Aku tahu, Fie hanya berani duduk berdepan dengan
lelaki kalau punya sebab kukuh; iaitu untuk menyiapkan final project
yang tarikh akhirnya, tinggal dua minggu lagi.
Tapi kan Fie,
buruk sangka orang bukan boleh kawal.
Pranggg!! Bunyi
dentingan kaca pecah dan berselerakan mencecah cuping telinga aku. Tanpa
menunggu sesaat aku meluru ke arah dapur. Di kepala, aku hanya membayangkan
wajah ibu yang kurang sihat beberapa hari ini.
‘Janganlah ibu
pengsan, darah ibu itu pun susah nak
kawal. Turun naik je kerjanya. Abang dah la kerja siapa nak bawa ibu ke
hospital ni?’ aku bermonolog sendiri sambil menghayun langkah.
Sampai sahaja
di dapur, mata aku tertancap pada susuk tubuh seorang lelaki, dalam linkungan
umur 17 tahun, memakai baju lusuh milik abah yang warna putihnya dah dicemari
sedikit dengan warna merah, terduduk di atas lantai dapur sedang mengerang
kesakitan dengan dahi yang berlumuran darah. Aku terlopong. Mukanya diangkat
perlahan, dengan mata berkaca dia memandang aku penuh kesakitan. Darah menyirap ke seluruh badan. Muka aku
merah menahan marah.
“Kau ni dah
kenapa? Kalau dah tahu tak boleh nak buat apa, duduklah dekat atas tu
diam-diam. Kau duduk diam pun dah menyusahkan, ni dah jadi macam ni berjuta
kali lagi menyusahkan. Kau tahu tak?”
Aku melenting.
Telinganya aku piat-piat.
“Ni siapa nak
bersihkan pinggan mangkuk yang kau dah pecahkan? Nak bersihkan ni lagi, nak
cuci luka kau lagi? Kau ingat aku ni apa, jururawat sepenuh masa? Nak menjaga
kau je kerjanya? Ingat sama, duit gaji abang tu bukannya cukup untuk tanggung
kita. Siapa nak ganti ni semua?”
Aku piat lagi.
Melepaskan semua jenis dendam. Marah hari ini baru bermula, ditambah dendam
tujuh tahun lalu. Kasihan? Dah lama rasa itu aku buang. Aku pandang wajahnya,
persis wajah abah, yang dari dulu sampai sekarang adalah punca amarah aku. Dia
menangis teresak-esak, tapi yang keluar cuma air mata, bukan suara. Dia
menujal-nujal perut dan menunjukkan ke arah lauk-pauk di atas meja.
“Oh, kau lapar?
Eh, lain kali kalau lapar tunggu aku balik. Tak payah nak berlagak macam orang
sihat, nak makan sendiri. Tangan tu dah la tak betul, ada hati nak buat kerja
sendiri,” aku tolak-tolak kepalanya. Walau dah sakit berlumuran darah, apa aku
kisah? Aku pandang Fie yang cuba mengutip serpihan-serpihan kaca itu. Aku tolak
tangannya, dengan pandangan seolah-olah, kalau dia cuba menunjuk belas akan aku
benamkan wajahnya dalam kaca-kaca itu. Biar dia tahu beza dendam dan kasihan.
“Ya, Allah Lia.
Apa kena dengan kepala Man tu? Macammana boleh pecah pinggan mangkuk ni semua?
Dah kenapa kamu tujal-tujal kepala adik kamu itu?” suara ibu tambah
menghangatkan suasana. Belas ibu pada Radzman, aku tak dapat terima.
Ya namanya
Radzman. Adik aku yang bisu. Tapi aku tak pernah faham macammana orang bisu
sepertinya berjaya meraih kasih semua; ibu dan abang. Malah semua jiran
sebelah-menyebelah sangat kasih padanya. Sebab itu aku benci, semua yang kurang
padanya aku suka. Apa yang lebih padanya, aku jadi benci. Sebab wajah dia
persis abah. Lelaki yang meninggalkan kami tanpa maruah.
“Ibu, tak
payahlah nak sebelahkan Man. Ibu tak ingat ke apa yang abah buat dekat ibu
tujuh tahun dulu? Ibu dah lupa semua cacian nista abah dulu dekat kita? Ibu
tahu tak, pandang je wajah adik, Lia hanya nampak wajah lelaki yang Lia benci.
Lelaki sampah itu!” aku menyumpah.
Pangg!!
“Kalau lelaki
yang Lia maksudkan itu sampah, sampah itu tak pernah mengajar Lia jadi lantang
macam hari ini. Sampah itu yang menyekolahkan Lia sampai mampu beza apa itu
syurga dan apa itu neraka. Sampah itulah yang memberi makan kepada Lia,
sehingga tersandar kekenyangan. Sampah itu adalah abah kita, Lia. Jangan jadi
derhaka”
Aku usap pipi
yang kemerahan. Bila masa abang balik? Air mata berjuraian dan aku keliru
adakah ianya air mata kekesalan atau air mata dendam. Aku rasakan hangat air
mata, tiba-tiba hilang. Rupanya dilap dengan tangan kiri Radzman, yang sedaya
upaya cuba berdiri. Aku tolak, seperti jijik. “Abang dah lupa?”
“Abang tak
pernah lupa. Sekalipun takkan pernah. Sebab abang yang ada ketika Lia kena libas
dek tali pinggang abah setiap malam. Abang yang ada setiap kali Lia menangis
dipukul abah. Macammana mahu lupa?
Tapi siapa kita
nak menghukum dik? Cinta manusia itu berubah-ubah. Tidak kekal. Tapi manusia
masih gila mencarinya. Kerana cinta itu yang mampu membuatkan dia bahagia. Dan
abang yakin, seteruk-teruk abah, kasih sayangnya masih ada untuk kita. Cuma
cara dia tunjukkan tak sama dengan apa yang kita faham tentang kasih sayang.
Dan abang
seakan faham, yang silap abah cuma pada cara dia tunjukkan kasih sayang. Bukan
bermakna dia tidak sayang.”
Aku melihat ibu
mengelap perlahan darah di dahi Radzman sedangkan mata budak itu memandang aku
penuh harapan, seperti mengharap kasih dan sayang. Aku melihat Fie, duduk di
situ, seperti menonton drama melayu TV3 cuma kali ini bukan drama palsu
airmata.
“Sayang? Kasih?
Abah tak pernah cakap pun yang dia sayang ke kita?” aku jerit dan aku berlari
ke arah pintu. Cepat-cepat aku menyarung selipar dan meluru ke arah jalan raya.
Aku ingin lari daripada mendengar hikayat cinta abang. Sebab dendam dah
berlumut sejak tujuh tahun lalu, nak mengubah rasa bukan kerja sehari dua.
“Tak semua
perkara perlukan bukti Lia. Seperti mana Lia sayangkan Radzman tapi tak pernah
cakap, seperti itu juga abah sayangkan Lia!!” abang menjerit dari depan pintu
menyebabkan langkah aku terhenti setengah jalan.
“Jangan pernah
samakan Lia dengan abah. Sebab abah, Lia jadi macam ni. Sampai mati pun, Lia
takkan pernah terima . . .”
“Liaaaa!!”
“Radzmann!!”
******
Cukup tak kalau
aku katakan itulah kisah cinta tidak bernama aku? Itulah kisah aku, kisah di
mana aku belajar makna cinta.
“Drama sangat.
Aku tak rasa cinta yang kau bawa. Nak menulis pun, hurailah lebih sikit”
Cinta tak perlu
manifestasi. Mungkin korang nampak aku manusia penderhaka, manusia paling teruk
dalam dunia. Menghina orang tua sendiri yang tanpa dia, kau tak lahir dekat
dunia. Mungkin cerita aku terlalu drama, sebab aku cerita tentang drama yang
paling puncak dalam hidup aku. Sedangkan drama ini sebenarnya bersarang dalam
hidup aku dah terlalu lama. Ada pendahuluan dan peleraian. Aku cuma pilih mana
yang paling sesuai untuk dijadikan cerita.
Korang nampak
manusia paling teruk, tapi korang faham tak dendam yang menjeruk? Korang nampak
seorang penderhaka, tapi korang faham kan tentang ‘luka tetap luka’? Hari itu,
masa aku berlari keluar, masa abang menjerit seolah menyamakan aku dengan abah,
aku berhenti, tanpa sedar aku berhenti di tengah jalan raya. Disebabkan rasa
dendam mahukan bukti cinta abah yang aku tagih selama lebih 7 tahun, membuatkan
aku buta akan lori yang menghampiri.
Sebab itu aku
cakap sampai mati pun aku takkan terima.
Sebab sehingga ke hujung ajal, aku masih tidak menerima bahawa cinta tidak
perlu kepada tanda.
“Habis, yang
menulis ini siapa? Jasad tanpa jiwa? Atau tanpa cinta?”
Sabar. Kalau
cepat melatah, masakan cinta akan singgah? Yang aku tahu, masa aku bangun aku
sudah terbaring di katil hospital dengan tangan dan kaki yang berbalut. Yang
aku fikir ketika itu, Tuhan beri aku peluang kedua untuk aku cari bukti abah
cinta. Ya, aku masih tidak serik. Sehingga aku dengar berita kematian Radzman.
Pada hari yang sama aku dilanggar lori. Kata mereka Radzman meninggal
menyelamatkan aku.
‘Heh, macam
mana si budak kurang upaya jadi wira?’
Dia bukan boleh
berjalan sangat. Terhincut ke sana ke mari. Kalau takda aku, abang atau ibu,
nak berjalan lebih 10 meter dari katil pun dia tidak mampu. Dan aku ingat
kata-kata abang ketika itu,
“Tanda cinta
itu pada semua, bukan hanya pada kata-kata. Tanda cinta itu mungkin pada kaki,
bukan hanya terletak pada hati. Tanda cinta mungkin terletak pada tangan, walau
kata cinta tak pernah diungkapkan. Tanda cinta itu hidup dalam diri manusia,
Lia.”
Dah cukup
belajar pasal cinta? Aku masih menyimpan bukti cinta yang aku tagih sekian lama
itu. Dua keping surat yang sudah lusuh warnanya, aku simpan, dan aku baca
bilamana aku rasa aku dahagakan makna cinta.
Akak, Radzman sayangkan akak.
Dan akak pun
sayangkan Radzman. Walau akak tak sedar kasih sayang itu dah ada, nasib Radzman
mengerti. Kalau tak, akak menyesal tak henti.
Imah, maafkan abang sebab acapkali pukul anak-anak. Tapi, jauh disudut hati, abang sayangkan diorang macammana abang sayangkan diri sendiri. Darah dan daging abang, masakan abang benci.
Surat buat ibu
sebenarnya. Tapi ibu kirimkan kepada aku, jawapan kenapa maaf itu milik abah.
Ada cerita lain sebenarnya, biarlah aku kuburkan. Kalian tahu pun buat apa,
penat bercerita membuka pekung di dada, tapi korang takkan faham.
Inilah tanda
cinta yang sekian lama aku cari, tapi kenapa yang aku rasa hanya sesal di dada?
Ini tanda cinta yang aku damba, tapi kenapa aku rasa seakan masa itu tidak adil
buat aku? Mungkin sebab itu, cinta lebih baik tak bertanda. Kadang hanya
merobek jiwa gayanya.
Dan aku. Masih
di sini, mencari yang bisa mengajar makna cinta yang baru. Dan aku bercerita
pun sebab aku cinta. Kenapa, tak rasa? Oh, mungkin sebab tiada tanda. Aku seperti si penagih cinta, dari dulu
sehingga selamanya. Cuma yang bezanya cinta yang aku tagihkan bukan lagi cinta
manusia.
Butiran penulis:
Najwa Shamsudin
Perubatan Tahun Dua
Jordan University of Science and Technology (JUST)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan