Tekun membaca. Tapi hasilnya apa? |
Budaya membaca yang semakin tersebar di Malaysia adalah sesuatau yang bagus untuk membentuk keintelektualan masyarakat, tetapi sikap kita yang sekadar syok sendiri dengan ilmu yang kita perolehi dari buku menyebabkan perkembangan masyarakat tidak terjadi. Dengan ilmu yang kita perolehi dari buku seharusnya mengubah kita menjadi manusia yang semakin baik tetapi kita kadangakala hanya menjadi seperti burung kakak tua yang hanya pandai melontarkan kata-kata tetapi tidak menghayati maksud percakapannya. Saya teringat kata-kata sasterawan negara A. Samad Said mengenai pembacaan.
Baca. Baca. Baca. Baca. Menulis.
Beginilah seharusnya. Sehabisnya membaca sebuah buku kita harus menilai dan menulis kembali apa yang kita pelajari dan menelaah kembali buku itu. Bukan demi mendapatkan fakta untuk berhujah dengan rakan-rakan yang lain tetapi untuk memantapkan ilmu di dada. Manusia terbatas dari segi kewangan,masa,pengalaman dan pendidikan. Dengan membaca dan menelaah kembali buku yang telah dibaca, kita dapat memahami dan mengambil secebis ilmu dan pengalaman dari penulisan yang telah kita baca.Bahan Bacaan Anak Muda
Sifat anak muda suka memberontak dan semacam menjadi suatu kegilaan bagi anak muda untuk membaca buku-buku yang lari dari keterbiasaan (buku yang diharamkan oleh KDN atau lari dari agama dan ideologi negara). Kalau dulu kita takut membaca buku bertemakan agama Syiah, Kriastianiti dan ideologi komunisme, tetapi dengan langit terbuka akibat ledakan teknologi maklumat bahan bacaan sebegini semakin mudah didapati. Kalau dahulu kita hanya mengenai Sukarno dan Hatta sebagai tokoh kemerdekaan Indonesia tetapi dengan keterbukaan, Tan Malaka dan Madilognya kita kenali.
Meliarkan bacaan kita tidak salah tetapi mengambil sahaja tanpa menyelidiki falsafah pemikiran tokoh-tokoh penulis adalah satu taklid buta semata-mata. Semasa kita membaca buku karangan satu tokoh, kita harus membaca dengan minda terbuka dan menerima kebaikan dan keburukan. Tiada tokoh yang sempurna dan tiada fakta yang tidak boleh disanggah. Ilmu manusia tidak sempurna dan ibarat air yang melekat pada sebatang jarum yang dicelupkan ke dalam lautan perbandingannya dengan Ilmu Tuhan.
Sebagai anak muda yang bebas pemikirannya, jangan mudah terpengaruh dengan idealisme. Kita harus membaca semuanya dan menilai menggunakan akal fikiran dan bukannya perasaan semata. Sebagai contoh jika membaca Comunist Manifetso(Marx) jangan tinggalkan membaca The Road the Serfdom(Hayek) dan pelbagai lagi bacaan yang saling bertentang satu sama lain.
Sasterawan Negara dan Tokoh Pemikir Negara
Dalam kita mengagumi penulis dari luar, jangan lupa negara kita juga mempunyai permata. Agak menyedihkan apabila orang luar lebih mengenali mereka lebih dari kita mengenali mereka. Kita hanya mengenali Shahnon Ahmad kerana SHIT dan mengenali A Samad Said kerana organisasi BERSIH.Menyedihkan kita tidak dapat membezakan Syed Hussein Alatas dengan Syed Muhammad Naquib Al Attas dan hanya mengenali Ungku Aziz kerana kata-kata motivasi yang terpampang di universiti. Mengenali Za’ba kerana dinamakan namanya dengan nama Kolej Kediaman.
Seharusnya kita memperbanyakkan membaca karya tokoh-tokoh hebat ini kerana tulisannya lebih dekat dengan budaya dan bahasa kita dan memudahkan kita memahami maksud dan idea yang hendak mereka sampaikan. Syarikat percetakan pula hendaklah mengulang cetak kembali penerbitan begini kerana yang tinggal kini untuk dibaca cumalah bertaraf buku langka.
Dengan menjadikan karya Sasterawan Negara dan penulis lain sebagai teks wajib dalam pembelajaran KOMSAS adalah langkah yang bijak tetapi apabila pembelajaran lebih terdedah kepada mempelajari plot cerita, watak dan perwatakan, gaya bahasa menjadikan ini adalah satu kerugian. Seharusnya pelajar didedahkan dengan aspek keintelektuan dan diberikan ruang bicara untuk melakukan seperti satu diskusi atau resensi buku tersebut untuk mengetahui pandangan pelajar pada hasil karya tersebut. Biarkan pelajar belajar untuk mengkritik, melakonkan, menafsir sendiri hasil karya tersebut.Jangan penjarakan mereka dengan istilah sastera ataupun jalan penceritaan.
Industri Buku Malaysia
Adalah menjadi satu kerugian pada industri buku Malaysia apabila genre buku bertemakan Suamiku(genre romantik cinta) lebih menjadi kegilaan berbanding bacaan yang lebih bersifat ilmiah. Walaupun ini aadalah satu gejala yang kurang sihat tetapi dari satu sudut lain yang rakyat Malaysia masih lagi membaca adalah perkembangan yang baik.
Kita bernasib baik yang kita berkongsi bahasa dengan Indonesia(walaupun ada sedikit perbezaan) dan menyebabkan kebanjiran buku dari seberang yang membanjiri pasaran Malaysia. Industri buku di sana yang lebih liberal berbanding di Malaysia menyebabkan lebih banyak buku yang dihasilkan berbanding di Malaysia.
Golongan pembaca buku haruslah mencabar diri sendiri dan jangan hanya sekadar menjadi golongan pembaca. Tiada gunanya kita membaca berbagai jenis buku sebanyak ratusan buah setahun jika kita tidak pernah melontarkan idea kita ke atas kertas. Cuba hasilkan karya samada artikel, cerpen atau novel. Jika kita bencikan dan mengkritik kebanjiran novel romantik yang berlambak, caranya adalah dengan menyerang balik dengan menghasilkan penulisan yang dapat mengubah fenomena ini. Dari kita meletakkan sasaran membaca buku sebanyak puluhan setahun, sebaliknya kita meletakkan untuk menghasilkan sebuah buku setahun. Bukankah ini dapat mencabar pemikiran dan daya usaha kita.
Jika kita mati pada hari ini, bagaimanakah kita mahu orang mengenang kita. Tinggalkan sedikit hasil tulisan kita dan jangan biarkan nama kita yang tertinggal adalah nama pada batu nisan kita sahaja. Mahu rahsia untuk hidup selamanya, maka menulislah. Jangan sekadar membaca.
Butiran Penulis:
Mohd Hasnul Bin Mohd Sani
Sarjana Muda Sains(Kimia Analisis), Universiti Malaysia Terengganu
Tiada ulasan:
Catat Ulasan