Halaman

Ahad, 2 April 2017

Ulasan Buku: The German Genius

Oleh: Ahmad Bin Abdul Rahim




Jenayah Nazi sewaktu Perang Dunia tidak mampu termaafkan oleh sesiapa.

Tapi tiada siapa boleh mengelak untuk bertanya bagaimanakah sesebuah negara demokratik yang mempunyai tahap pendidikan am dan kemajuan materi yang tertinggi di Eropah (jika bukan di dunia), dengan gergasi budaya dan intelektual seperti Goethe dan Kant, serta legasi kepimpinan tercerah seperti yang kenampakan pada sosok Friedrich dan Friedrich The Great serta Bismarck, akhirnya terpedaya dengan karisma dan wacana sektarian lagi rasis Hitler?

- Sedikit konteks: celik huruf tertinggi dalam kalangan tentera Jerman adalah yang tertinggi dalam Eropah (hanya 1 dalam 100 ribu buta huruf) begitu juga kadar celik huruf dalam kalangan rakyat umum. Jumlah pemenang Nobel yang datang dari jajahan Jerman lebih tinggi dari Britain dan Amerika andai dicampurtambah. - 

  
Bagi aku terdapat pengajaran yang besar boleh digali di situ.





Buku ini mempunyai 856 ms yang tegap; aku tak tahu bagaimana aku boleh merumuskannya. 

Satu generalisasi selamat yang boleh dibuat adalah separuh pertama buku ini dihabiskan untuk membincangkan 'intellectual history' Jerman dan separuh yang kedua 'cultural history' yang diladeni dengan fakta-fakta budaya yang melambak (seni pementasan, seni visual, perfileman, muzik, orkestra/simfoni, penulisan fiksyen, falsafah dsb). 

Bahagian pertama adalah kegemaran aku; adapun bahagian kedua mulanya memang mengujakan: aku masih terkejut betapa perkembangan-perkembangan terawal tradisi sinematik di Amerika atau Hollywood adalah datangnya hasil daripada perpindahan kemahiran yang dimiliki budayawan dan seniman-seniman Jerman yg berhijrah ke sewaktu fasa kebangkitan Nationalist Socialist Party (1933-1945) yang mengekang kebebasan artistik. 

Namun, lama-kelamaan pembaca akan mendapati sebahagian besar tenaganya dan rasa ingintahunya terbazir apabila tema yang sama diulangsebut seperti konsep keasingan atau 'alienation' yang terhasil dan diekspreskan di dalam dramaturgi, pementasan teater, dan penulisan fiksyen. 

Untuk pengetahuan, konsep 'alienation' ini diartikulasikan paling awal oleh Hegel di dalam sistem falsafahnya, sebelum Marx merampas dan menyerapnya ke dalam wacana pertentangan kelas (class struggle) bourjuis vs proletar. 

Kata Marx dengan ketibaan era industri, pekerja menghasilkan satu-satu produk dalam keadaan di mana kewujudannya langsung terpisah daripada tangan yang memasang dan mencantumkannya

Apakah bahan yang digunakan untuk menghasilkan produk ini; bagaimanakah ia digali; ke manakah produk ini akan diekspot; siapakah pembeli-pembelinya; berapakah marjin keuntungan yang diperolehi dsb... segala persoalan ini bukan urusan si pekerja kilang untuk diambil peduli. 

Aspek 'keterasingan' ini tiada di dalam kalangan penghasil kraftangan atau artisan tradisional dahulukala.

Justeru dilema eksistensial yang serupa, di mana pekerja-pekerja kilang merasakan sebahagian daripada makna menjadi manusia di dalam dirinya telah terhakis, adalah unik untuk Zaman Industrial.

Kata Marx lah.

[Adakah kehidupan masa kini di mana kita tidak mengenali jiran, pekerja kedai, penjual daging di sekitar kawasan kejiranan boleh dikira sebagai suatu bentuk 'keterasingan' - unik dalam satu era 'mass society' sarat dengan masalah ledakan populasi? Wajar direnung.]

Apa-apa pun aku tak ingat berapa kali konsep ini berulangkali timbul di dalam penulisan Watson. Malah, separuh kedua buku ini atau secara umumnya bahagian 'cultural history' buku ini adalah kelemahan terbesar The German Genius. Tiada latar belakang historikal yang mencukupi disajikan untuk pembaca. Segalanya fakta. 

Di m/s 715 contohnya, Watson 'memuntahkan' nama demi nama pelarian-pelarian Jerman ke Amerika yang telah menempa nama di Dunia Baru tersebut hampir satu muka penuh (nama sahaja)! Seolah-olah Watson baru sedar -menginjak bahagian terakhir bukunya- bahawa ambisi beliau terlalu besar sehinggakan beliau tidak kisah pun untuk memberikan konteks bermakna.






Ini agak menyedihkan kerana selepas membaca buku "The Closing of American Mind" di mana pengkritik budaya Allan Bloom menempelak penyusupan fikrah atau ideologi Heidegger ke dalam pemikiran dan kebudayaan mujtamak Amerika, aku sedikit tertarik dengan budaya kesenian Jerman. Aku mendapati diri aku tertanya-tanya apakah inspirasi di sebalik penghasilan adikarya simfoni dan sonata milik Beethoven (Simfoni Kesembilan dan Keenam), Bach, Strauss II, dan Richard Wagner. 

Apakah konflik dalaman, peribadi atau masyarakat, yg cuba mereka nyatakan dan suarakan lewat susunan muzik, melodi dan fugue?

Buku ini, dengan tebal hampir 900ms, tidak dinafikan telah memberikan pembaca imbasan-imbasan jawapan kepada persoalan-persoalan tersebut tetapi ia bukanlah suatu jawapan yang lengkap. Pun begitu, penulis bagi aku, sekurang-kurangnya telah berjaya mempamerkan bagaimana aspek-aspek kebudayaan itu sebahagian besarnya adalah terbit daripada pertelingkahan atau dialektik dalaman yang berumah pada intelek - sepertimana komentar beliau bahawa tanpa Schopenhauer tiada Wagner mampu menggubah melodi Tristan und Isolde.

Dan di sini kita perlu berbicara tentang sisi atau iklim intelektual Jerman yang begitu mempengaruhi dunia itu.

Jerman, sehingga abad 17 dan awal abad 18, seperti negara-negara Eropah yg lain, masih terpesona dengan kebudayaan dan intelektualisme Perancis, serta praktis kesaksamaan hak politikal di British. Hanya bermula dengan penerbitan "On Germany" (De l'Allemagne) oleh budayawati Madame Germaine De Stael, seorang Francophile, baharulah 'Demam Jerman' melanda dunia.

De Stael jugalah yang menitipkan nama 'Romantisisme' di dalam tinjauan beliau ke atas gaya penulisan baharu di dalam puisi dan syair-syair Jerman ketika itu, yang disifatkan De Stael sebagai "meraikan keagungan dan kehebatan semangat kemanusiaan". Walaupun stereotaip Jerman sebagai suatu bangsa yg kasar atau celupar (berbanding dengan Perancis yang sofistikated dan á la mode) masih belum tergoncang, tetapi keaslian upaya akliah Jerman yg mana Kant merupakan dutanya, tidak tersangkal oleh sesiapa.

Immanuel Kant - Filsuf Jerman yang popular dengan buku 'The Critique of Pure Reason'



Malah untuk sesiapa yang mahu memahami cara pemikiran bangsa Jerman, banyak yang mereka boleh pelajari daripada Kant.

Kant paling terkenal dengan percubaannya untuk membina undang-undang moral, dan seterusnya, konsep moraliti itu sendiri berdasarkan lojik. Bercakap benar adalah tindakan yang lojik kerana kalau semua orang bercakap bohong maka dunia akan menjadi huru-hara justeru semua orang perlu bercakap benar pada setiap masa dan ketika - walaupun ia mungkin membawa kepada seseorang itu kehilangan nyawa.

Kaedah deontolojikal beliau adalah terlampau rigid dan bagi sesetengah orang adalah tidak berhati perut. Bagaimanapun keampuhan falsafah Kantian ini diakui ramai dan ia begitu berpengaruh sehinggakan di samping Utilitarian Bentham/Mills, dua falsafah moral ini adalah sandaran utama kepada ilmu etika moden - paling terserlah di dalam perbincangan etika dan medikolegal di dalam bidang perubatan moden.

Di dalam menggali akar-akar budaya yang membawa kepada falsafah Kantian, penulis tampaknya mengisyaratkan jawapannya kepada mazhab Pietism, salah satu mazhab Protestan yg ingin kembali kepada ajaran asal pengasas denominasi Protestan, Martin Luther (Protestan kuasa dua?). 

Pietism lahir sekitar 1670-an dan berdasarkan seruan-seruannya, mereka tampak begitu terkesan dengan perkembangan mazhab Puritanisme milik Inggeris. Pietism ingin lari daripada kerahiban Katolik; penganut Pietist perlu berkerja keras di dalam kehidupan seharian di dunia kerana inilah cara terbaik untuk mengenal dan memahami Tuhan - melalui berkhidmat kepada makhluk-makhluknya.

Perkembangan-perkembangan intelektual, budaya, dan sosial di Jerman mampu dibingkaikan lewat kerangka pemikiran ini: daripada 'penemuan' etika/moraliti Kant kepada pembentukan disiplin sejarah dan filologi moden (yang secara paradoksnya telah membawa kepada tradisi hermeneutik yang mengkritik Bible), seterusnya usaha pencarian 'kerja-tangan' Tuhan di dalam biologi moden oleh saintis-saintis dari sekolah Naturphilosophie, serta akhirnya kelahiran semangat/agama nasionalisme yang begitu ikonik dengan Jerman pasca era Bismarck disamping aktivisme politik yang radikal milik Belia Hitler.

Konsep Bildung terdapat banyak saham di dalam menggerakkan proses tadi. Istilah ini sukar diungkapkan di dalam bahasa yang mudah kerana tiada perkataan dalam bahasa Inggeris pun yang sinonim dengan Bildung. Komen Watson tentang Bildung:

[...in essence it refers to inner development of the individual, a process of fulfillment through education and knowledge, in effect a secular search for perfection, representing progress and refinement both in knowledge and in moral terms, an amalgam of wisdom and self-realization.]



Sebagai penutur Bahasa Melayu, aku rasa perkataan paling dekat demi menggambarkan erti Bildung adalah 'pembentukan jati diri', walaupun perlu dititipkan di sini bahawa beberapa dimensi istilah Bildung masih tercicir apabila diterjemahkan sedemikian. Antaranya adalah aspek "inwardness" yg wujud di dalam proses Bildung di mana gerak-daya pendidikan tersebut mengambil tempat secara refleksi dan infleksi dalaman, dan hakikat bahawa Bildung bergerak pada lantai sekular tanpa bimbingan Langit.

Jika idea Bildung ini begitu akrab dengan apa yang kita fahami tentang matlamat pendidikan dalam konteks moderniti ia adalah bukti kepada betapa berpengaruhnya cara pemikiran Alam Jerman kepada dunia mutakhir.






Bildung adalah jauh sekali sumbangan terbesar Jerman. Sebaris dengannya adalah idea Kritik sebagai teras utama di dalam memajukan (mana-mana) bidang kesarjanaan; atau idea Wissenschaft yg menyatakan bahawa negara bertanggungjawab menjaga hal-ehwal rakyatnya melalui birokrasi dan polisi wajib; Gemeinschaft-vis-a-vis Gessellschaft yakni komuniti-vis-a-vis-sosial apabila berbicara tentang (mana-mana) fenomena kemasyarakatan; penggarisan antara ruang awam dan ruang peribadi bilamana kita berbincang mengenai tindakan yg mendatangkan kesan sosial; Kultur (high culture) sebagai pengukur tahap ketamadunan satu-satu bangsa. 

Semua ini adalah mod-mod kognitif yang begitu unik dengan modeniti. Sukar sekali untuk kita merenung dan membincangkan masalah mujtamak atau fenomena kemasyarakatan tanpa mengimpot kosa kata Habermas, tokoh-tokoh pemikir sekolah Frankfurt seperti Adorno dan Erich Fromm yg cuba mengahwinkan idea Freud dan Marx di samping alumni New School For Social Research, dimana Hannah Arendt dan Leo Strauss adalah graduan mereka yang paling popular.

Dengan sumbangan idea yang begitu komprehensif sebegini, tentunya Alam Jerman mempunyai jasa yang banyak kepada cara manusia moden mamandang alam. Pada masa yang sama itu juga bermakna bahaya yg ditawarkannya adalah besar.

Ambil contoh penulisan sejarah dan metodologi penulisan sejarah (historiography) yang mana Jerman merupakan rumah kepada pelopor-pelopor bidang tersebut. Gergasi sejarahwan Jerman seperti Leopold Von Ranke pun tidak mampu untuk menjarakkan bias pendirian politiknya dengan tanggungjawab objektiviti beliau sebagai sarjanawan, sehinggakan penulisan-penulisan sejarah beliau diwarnai dengan tiga tema utama:

1) 'Negara' sebagai hadaf muktamad lantas lahirlah konsep Machtstaat dimana pemerintah perlu memegang kuasa mutlak tanpa kekangan undang-undang perlembagaan
2) Menolak pemikiran normatif dengan menganggap bahawa negara berhak melakukan apa sahaja di dalam memastikan kemaslahatannya terjaga
3) Menolak pemikiran konseptual serta pemikiran abstrak

Von Ranke menulis ini sewaktu 1850-an. Secara retrospektif, susah untuk kita menyingkirkan korelasi antara idea beliau dengan nasionalisme ekstrem Empayar Prussia, seterusnya penolakan konsep objektiviti di dalam bidang kesarjanaan dan kritik ke atas moderniti ala Heidegger; ramuan-ramuan yang akhirnya lengkap dengan penabalan Hitler sebagai Chancellor pada 1933.

Sedikit komentar berkenaan buku ini. Gaya penulisannya adalah jurnalistik moden - mungkin kerana latarbelakang penulis yang merupakan seorang jurnalis, bukan 'sejarahwan' dari menara gading. Baris-baris ayat beliau sentiasa disertakan disklaimer, setiap generalisasi akan dituruti dengan pengecualian. Pembaca mungkin nampak hal itu tanda penulisan yg cermat tapi aku nampak yang penulis perlu mencari seorang penyunting yang baik.

Walaupun Watson tiada audasiti seorang penulis original, tetapi pengetahuan ensiklopediknya sudah cukup untuk menebus mana-mana kekurangan yang wujud. Aku jangkakan The German Genius bakal menjadi bahan bacaan klasik untuk sesiapa yang ingin mengenali latar sosio-budaya Jerman dalam satu jilid.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...