Halaman

Jumaat, 20 Mac 2015

POPULASI & KEMAPANAN [Pemenang Tempat Ketiga Pertandingan Menulis Artikel BJJ]

          

            Dahulunya, menjelang sahaja milenia baru yakni tahun 2000, populasi manusia telah berjumlah 6 billion, dan hingga tahun terkini yakni 2015, populasi melebihi 7 billion (Worldometers, 2015). Populasi manusia atas muka bumi ini semakin bertambah dan semakin kita menghampiri tahun 2100, dijangka-anggarkan populasi akan berjumlah 10.9 billion (Population Division, 2013). Komponen pertumbuhan populasi seperti kesuburan, kematian, penghijrahan, dan momentum boleh dipengaruhi dasar-dasar yang perlu untuk menangani kesan buruk dek perubahan populasi (ibid.).

            Namun, setiap komponen itu, masih ada masalahnya tersendiri, tak pantas ditangani kerajaan. Berikutan itu, nyata, perlu kita tanyakan pada diri-sendiri, apakah kesan buruk tersebut? Gritzner (2009) juga tak lepas mempertanyakan hal yang sama, namun lebih terperinci: Apakah sumber makanan akan mencukupi buat semua insan? Apakah akan ada ruang yang cukup untuk semua insan tinggal menetap? Bagaimana dengan kecukupan bekalan air, tenaga, dan sumber semulajadi yang lain pula? Adakah akan ada pergelutan untuk masing-masing teruskan hidup lantas menjadikan dunia ini terpecah kepada dua pihak: pihak yang memiliki dengan pihak yang tak memiliki apa-apa? Adakah bumi ini ‘menderita’ akibat letupan populasi?

          Yang terawal meneliti masalah populasi melampau-lampau adalah Thomas Malthus (1998 [1798]) dengan taakulannya manusia ini meningkat secara geometrik manakala makanan meningkat secara aritmetik —lantas bumi bakal gagal menampung pertumbuhan populasi manusia.2 Ada hal-hal yang bakal untuk menangani masalah ini, yakni melalui kebuluran, penyakit dan peperangan (dan kita tahu hal tersebut bukanlah langkah yang wajar diambil). Namun kritik atas teori populasi Malthusian ini kata Gritzner (2009) lagi, agak tersasar —memandangkan Malthus terlepas pandang akan kemajuan pesat dalam pertanian dan penghasilan makanan. Gritzner menawarkan suatu sudut pandang lain, populasi melampau-lampau bukan lagi suatu masalah, sebaliknya huru-hara yang berlaku di sesebuah tempat. Makna kata, ketidakberfungsian politik dan ekonomi. Begitu juga dengan masalah kebuluran, di mana masalahnya bukanlah ketidakcukupan makanan, sebaliknya pengagihan makanan. Maka sekiranya kita meneliti hujah-hujah Gritzner, maka kita akan sedar persoalan yang lebih halus bukanlah persoalan yang disenaraikan awal-awal tadi, tapi persoalan ini: Bagaimana segala sumber keperluan tersebut kita gunakan? Untuk menyelesaikan perkara-perkara yang rumit, lagi-lagi masalah berstruktur lemah, perincian semasa pentakrifan itu nyata perlu. Namun Gritzner tak juga pantas menyatakan bahawa ramalan Malthus itu sama sekali meleset —bahkan turut mengulang kembali kebimbangannya, makna kata, adakah suatu hari nanti ramalan Malthus itu akan terbukti benar?




           Masalah-masalah sedemikian tak hanya difikirkan oleh golongan pemikir kajian populasi, namun juga oleh pemikir bidang kemapanan. Dan perkara yang sama, akibat persoalan yang sama masih, menimbulkan kebimbangan. Sekalipun benarlah populasi manusia yang meningkat ini bukanlah barah terhadap bumi, namun kesan negatif yang wujud tak dapat dinafikan terus. Perubahan iklim, kepupusan spesis hidupan lain, lohong pada lapisan ozon, pemanasan global, pencemaran rantaian makanan dek merkuri, hakisan tanah, kebolehtelapan tanah, pengurangan kawasan air, dan sebagainya lagi, tidak wujud akibat aturan alam semulajadi sahaja, namun juga akibat kegiatan manusia (Munier, 2005). Maka di sini kita dapat menemui kritik atas Gritzner yang tadinya mendakwa populasi melampau-lampau bukan masalah. Populasi melampau-lampau adalah suatu masalah masih, memandangkan kadar kelahiran manusia terlalu tinggi lagi pesat, kadar pengurangan bahan cemar tak selari dengan kadar peningkatan bahan cemar. Penyelesaian yang dicadangkan Munier, manusia boleh mengurangkan penggunaan untuk jenis benda (makanan, air, kertas, tanah, dan sebagainya yang wajar). Masyarakat juga boleh meningkatkan efisiensi penghasilan, lantas mengurangkan sisa buangan dan bahan cemar, menghasilkan pertanian yang semulajadi untuk mengurangkan bahan pencemaran udara.
            
           Tapi, persoalannya sekarang, adakah kita semua sudah bersedia? Cabarannya ada, dan untuk melaksanakan program-program yang disebutkan Munier tadinya itu bukan mudah. Sepertimana menurut Elliot (2006), salah satu cabaran yang dihadapi adalah keterpusatan sumber untuk manusia teruskan hidup. Cabaran yang kedua adalah ketaksaksamaan peluang mengakses sumber itu sendiri. Yang ketiga adalah kemiskinan yang berdasarkan keadaan geografik. Yang keempat adalah kos manusia untuk pembangunan yang terkini. Yang kelima, adalah daya tahan persekitaran itu sendiri. Yang keenam, adalah cubaan untuk menjadikan globalisasi itu berjalan di negara-negara yang miskin. Yang ketujuh, adalah persoalan tanggungjawab dan tindakan balas. Yang kelapan, adalah pada kuasa untuk bertindak-balas itu sendiri. Yang kesembilan, adalah persoalan kedaulatan.

           Jika kita berbalik kepada komponen pertumbuhan populasi tadi, mungkinlah dasar awam yang digubal boleh menangani masalah-masalah yang wujud sekitar komponen, namun apakah dasar awam berkesan untuk mendepani cabaran yang dikupas Elliot tadinya? Sedang kita tahu, bahawa cabaran yang dinyatakan Elliot itu adalah masalah lapisan kedua. Dan masalah sebegitu pun juga masih sifatnya berstruktur lemah. Masalah-masalah itu bernafas dalam populasi sebagaimana populasi turut bernafas, dan nyata, masalah itu adalah pada diri manusia itu sendiri. Di sini, biopolitik hadir.




           Jika kita bergerak dari titik perbahasan sains menuju perbahasan falsafah —makna kata falsafah kehidupan dan kematian, kita boleh menanyakan persoalan yang lebih abstrak, sebagai contoh: Kenapa manusia perlu membiak? Ruang ini menandakan kita sudah masuk kepada perbahasan biopolitik, khusus berkenaan natalisme lawan anti-natalisme. Dan berkenaan bagaimana manusia itu membiak dan sebanyak mana dari sudut pandang kenegaraan, itu lantas termasuk dalam hal eugenik. Di ruangan ini jugalah, Zizek menempelak, tak hairan jikalau Jurgen Habermas yang berperanan sebagai ahli falsafah negara itu terus jadi tak tentu arah (seperti yang dipetik dalam Zizek dan Badiou, 2009). Zizek menanyakan soalan provokasi: Apa fungsi utama falsafah negara (state philosophy) dalam masyarakat kapitalis-dinamika masa kini? Jawabnya, tak lain tak bukan, hanya untuk mendukung, apa yang perlu untuk kapitalisme, seperti kemajuan dalam bidang sains terkini, teknologi, serta perniagaan, dan dalam masa yang sama, mengekang sebarang kesan radikal etika dan sosialnya. Inilah yang Habermas telah lakukan, dengan menawarkan jalan penyelesaian yang bersifat neo-Kantian yang tipikal, dan akhirnya menimbukan persoalan pendefinisian masalah yang bagi Zizek langsung bukan masalah!

            Persoalan sekarang bukanlah sejauh mana kita boleh mendalami biogenetik, atau apakah kemajuan biogenetik akan menggugat kebebasan dan autonomi, namun persoalan yang benar-benar berfalsafah, adalah, “Apakah wujud suatu perkara, hasil daripada kemajuan bidang biogenetik, yang akhirnya bakal memaksa kita kembali memperhalusi pemahaman kita tentang sifat semulajadi manusia?” (ibid.). Kata Zizek lagi, agak menyedihkan, lagi-lagi, dalam bicara Elmauer oleh Sloterdjik yang mencadangkan harus ada aturan baru untuk etika, alih-alih Habermas hanya terbayangkan eugenik Nazi (ibid.). Kritik Zizek ini tak hanya ada dalam bukunya sahaja, malahan kerap diulang dalam beberapa sesi syarahannya.

           Perihal eugenik dan biogenetik buat umat manusia sebagai suatu projek sains untuk mendepani cabaran semulajadi pertumbuhan populasi yang turut bercampur-baur antara apa yang semulajadi (nature) dengan apa yang diada-adakan (culture) adalah hal-hal biopolitik. Dan jika kita berbalik kepada cadangan penyelesaian oleh Munier tadi, iaitu penghasilan tanaman semulajadi juga melibatkan persoalan semulajadi lawan budaya. Kata Zizek (2014, 2010), alam semulajadi (nature) tidak wujud. Dan jikalau wujud pun, “Mother nature is a bitch,” kata Zizek (2014), dalam nada bergurau tapi serius. Lagipun, tidak ada cara lain, tinggal satu cara sahaja untuk menangani masalah ekologi ini, iaitu melalui sains sendiri caranya —sekalipun ‘sains’ itu sendiri yang merancakkan masalah tampaknya (Zizek, 2010).

           Masalah populasi melibatkan masalah kemapanan, dan masalah kemapanan melibatkan hal ekologi, dan kita hanya ada sains dan teknologi yang dahulunya menerokai manusia dan alam namun sekarang mengubah manusia dan alam itu sendiri. Mungkin benar, dalam biopolitik, tiada lagi beza antara semulajadi dengan budaya, namun, apakah kita mampu, dengan sains dan teknologi yang kita ada sekarang untuk berhadapan dengan masalah pertumbuhan populasi? Adakah perlu untuk kita kembali bertanya, pada diri kita sendiri serta orang lain, apakah kita semua sudah bersedia?

Butiran Penulis:

Nama Pena: El Ferdöwsi.
Unit think-tank The Welfare Society.
Bidang khusus: ekologi manusia (human ecology).


NOTA AKHIR

1. Ketidaktepatan data oleh kebanyakan sumber ada diingatkan oleh Gritzner memandangkan cara kutipan data mengikut negara itu belum tentu seragam dan menyeluruh. Namun harus saya ingatkan juga, ini hanyalah masalah teknikal dan bukan termasuk dalam konteks perbahasan.

2. Dalam bab 2 bukunya Malthus tidak menggunakan istilah ‘food’ awalnya, tapi menggunakan istilah ‘subsistence for man’ yang berkembang secara aritmetik. Saya menyebut food (makanan) atas dasar mengikuti kata-kata Gritzner.



RUJUKAN

Elliot, Jennifer A. (2006). Introduction to Sustainable Development. Edisi ke-3. Terbitan Routledge.

Gritzner, Charles F. (2009) The Human Population. Terbitan Chelsea House.

Habermas, Jurgen (2003). The Future of Human Nature. Terbitan Polity Press.

Malthus, Thomas R. (1998 [1798]). An Essay on The Principle of Population. Terbitan ESP Foundations of Classical Genetics.

Nolberto, Munier (2005). Introduction to Sustainability: A Road to a Better Future. Terbitan Springer.

Population Divison, Economic and Social Council of United Nations (2013). Demographic Components of Future Population Growth. Terbitan United Nations.

Sloterdijk, Peter. (t.t) Elmauer Rede, Rules for the Human Zoo. Didapatkan pada 24 Januari 2015 di http://web.stanford.edu/~mvr2j/sloterdijk.html

Worldometers (2015). Dalam: Population. Didapatkan pada 23 Januari 2015 di pautan laman sesawang: http://www.worldometers.info/world-population/

Zizek, Slavoj & Badiou, Alain (2009). Philosophy in the Present. Terbitan Polity Press.

Zizek, Slavoj (2010). Living In The End Times (According To Slavoj Zizek). Terbitan Vpro Netherland.

Zizek,
Slavoj. (2014) In Conversation With Paul Holdengraber. Terbitan Det Kongelige Bibliotek Denmark.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...