Halaman

Jumaat, 11 Disember 2015

Döner dan Dürüm

Sumber

“Was ließt du da?” Paul menjenguk kepala ke arah skrin telefonku.


Nix. Cuba kau baca ni, faham tak?” Fon itu bertukar tangan, diikuti muka berkerut Paul. Di paparan skrin, tertulis dengan huruf bold — ‘PEKERJA ASING MERUSUH DI KULAI’


Sumber
Was ist da los mit deinem Heimat?” Aku hampir tergelak. Sememangnya manusia mampu berkomunikasi tanpa bahasa. Walaupun tajuk berita tadi langsung tak mampu difahami oleh lelaki Deutsche ini, namun gambar headline yang terpapar jelas sudah mampu menyampaikan nuansa isi kandungan berita yang menyusul.

Aku mengambil kembali fon itu dari tangannya. Sempat aku menghirup sedikit teh kelat yang dihidangkan dalam sebuah cangkir gelas khas, sebelum mula menerangkan apakah makna gambar huru-hara yang dilihatnya tadi.

“Pekerja asing yang datang bekerja kat negara aku buat rusuhan. Sampai bakar-bakar kilang.”

“Achso… Kau tahu, Jerman suatu masa dahulu juga pernah mengalami perkara yang sama? Bapa aku selalu menceritakan tentang kelakuan Gastarbeiter dari Turki, Polen, Greek, Morokko dll yang datang ke Jerman antara tahun 1955 hingga 1973 dulu.”

Sambil mengunyah isi daging dan salad daripada Dürüm yang dipesan tadi, aku mendengar Paul bercerita tentang sejarah negaranya. Lelaki berketinggian hampir 2 meter ini sudah lama menghabiskan Döner XL yang dipesannya bersama aku tadi.

“Pendatang asing tu semua banyak yang jahat. Di tempat aku dulu, Ayah aku selalu cakap, kes-kes jenayah banyak naik selepas kedatangan pekerja asing. Mak aku pula cerita, dia rasa tidak selamat, kerana semua pendatang asing itu berkulit gelap dan kasar, dan mereka kelihatan ganas dan mampu bila-bila masa sahaja mencederakan wanita kulit putih yang cantik sepertinya.”

Aku sedikit mengangguk sebagai isyarat badan bahawa aku mendengar dan boleh memahami apa yang diceritakannya itu. Aku juga pernah membaca sedikit perihal Gastarbeiter ini di pameran tempoh hari. Pada waktu tersebut, lebih kurang 2.6 juta pekerja asing datang ke Jerman. Sebagai pekerja asing, ramai yang terpaksa hidup dalam kesusahan. Tambahan pula, ada segelintir penduduk yang mengambil kesempatan dengan memanipulasi mereka. Harga rumah sewa dinaikkan berlipat kali ganda hinggakan sebuah keluarga 5-6 orang terpaksa tinggal dalam satu bilik sahaja. Tidak hairanlah jika ada yang terdesak sehingga memilih untuk melakukan jenayah untuk terus hidup.

Doch, keadaan hidup mereka memang agak teruk, aber itu bukan alasan untuk mereka melakukan keganasan.”

Seakan membaca fikiran aku, komentar itu keluar daripada mulutnya, membuatkan hujung bibir aku terjungkit naik, dengan muka memerli menandakan bantahan dalam hati.

Benar, semua layanan buruk yang dihadapi para Gastarbeiter itu tidak layak digunakan sebagai justifikasi kepada jenayah dan keganasan yang mereka lakukan. Namun, ingin sekali aku tahu, sejauh mana agaknya kita sebagai manusia mampu bersabar apabila segala jasa baik kita langsung tidak dipedulikan, sebaliknya kita dilihat sebagai sebuah peluang untuk mendapat keuntungan berganda lalu diperah dan dimanipulasi untuk menghasilkan sebanyak mungkin duit.

Lagipula, bukan semua pun pekerja asing yang datang itu adalah penjenayah. Tidak sampai separuh pun mungkin, ataupun mungkin juga hanya segelintir kecil sahaja, tapi disebabkan 'kelainan' yang ada pada mereka — warna kulit, bahasa — menyebabkan media cetak sering meletakkan tema keganasan pekerja asing di muka depan. Setiap isu yang mempunyai tema yang 'lain' itu pasti akan habis dijual kerana semua penduduk takut dengan gelombang 'orang hitam' yang melanda komuniti mereka.

Alter, verstehst ’te, was ich meine?”

“Aaaaahh, sorry!” tepukan Paul di bahu membuat aku tersedar kembali yang aku sedang dalam perbualan dengannya. Mukanya sedikit merah, mungkin marah kerana aku membuatnya bercakap sendirian tadi.

“Suara kau sedap sangat sampai aku nak tertidur pula.” sengaja aku berjenaka, meredakan marahnya itu.

Na, komm. Kita ada Vorlesung lagi lepas ni.” Paul menghabiskan cepat-cepat teh Turki miliknya yang sudah pun sejuk sejak dari tadi. Cepat-cepat kami menyusun pinggan yang digunakan, mengemas kembali meja makan. Langkah diatur ke luar kedai menuju ke Hörsaal.

Beberapa langkah selepas keluar dari kedai, aku berpusing kembali ke belakang.

'Bayram Kebap Haus'

Ironi. Pekerja asing yang digelar penjenayah dahulu sekarang sudah mampu menapak dalam masyarakat kulit putih ini. Malahan budaya dua golongan ini sudah pun bercampur hinggakan Döner atau Dürum kini boleh dikatakan fastfood yang menjadi pilihan kebanyakan rakyat negara ini.

'Oh Malaysia-ku, adakah kau juga akan berevolusi sebegini, mendepani segala perbezaan yang ada, lalu dapat kita hidup dalam kebersamaan dan kekayaan budaya bersama, egal apa jua warna kulit kita, apa bahasa pun yang diguna.’

Komm schon! Kelas dah mula dah ni.”
Ich sehe nur Menschen, keine Nationen

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...