Oleh: Ahmad Bin Abdul Rahim
Jenayah Nazi sewaktu Perang Dunia tidak mampu termaafkan oleh sesiapa.
Tapi
tiada siapa boleh mengelak untuk bertanya bagaimanakah sesebuah negara
demokratik yang mempunyai tahap pendidikan am dan kemajuan materi yang
tertinggi di Eropah (jika bukan di dunia), dengan gergasi budaya dan
intelektual seperti Goethe dan Kant, serta legasi kepimpinan tercerah
seperti yang kenampakan pada sosok Friedrich dan Friedrich The Great
serta Bismarck, akhirnya terpedaya dengan karisma dan wacana sektarian
lagi rasis Hitler?
- Sedikit konteks: celik huruf tertinggi dalam
kalangan tentera Jerman adalah yang tertinggi dalam Eropah (hanya 1
dalam 100 ribu buta huruf) begitu juga kadar celik huruf dalam kalangan
rakyat umum. Jumlah pemenang Nobel yang datang dari jajahan Jerman lebih
tinggi dari Britain dan Amerika andai dicampurtambah. -
Bagi aku terdapat pengajaran yang besar boleh digali di situ.
Buku ini mempunyai 856 ms yang tegap; aku tak tahu bagaimana aku boleh merumuskannya.
Satu
generalisasi selamat yang boleh dibuat adalah separuh pertama buku ini
dihabiskan untuk membincangkan 'intellectual history' Jerman dan separuh
yang kedua 'cultural history' yang diladeni dengan fakta-fakta budaya yang
melambak (seni pementasan, seni visual, perfileman, muzik,
orkestra/simfoni, penulisan fiksyen, falsafah dsb).
Bahagian
pertama adalah kegemaran aku; adapun bahagian kedua mulanya memang
mengujakan: aku masih terkejut betapa perkembangan-perkembangan terawal tradisi
sinematik di Amerika atau Hollywood adalah datangnya hasil daripada
perpindahan kemahiran yang dimiliki budayawan dan seniman-seniman Jerman yg
berhijrah ke sewaktu fasa kebangkitan Nationalist Socialist Party
(1933-1945) yang mengekang kebebasan artistik.
Namun,
lama-kelamaan pembaca akan mendapati sebahagian besar tenaganya dan rasa
ingintahunya terbazir apabila tema yang sama diulangsebut seperti konsep
keasingan atau 'alienation' yang terhasil dan diekspreskan di dalam
dramaturgi, pementasan teater, dan penulisan fiksyen.
Untuk
pengetahuan, konsep 'alienation' ini diartikulasikan paling awal oleh
Hegel di dalam sistem falsafahnya, sebelum Marx merampas dan menyerapnya
ke dalam wacana pertentangan kelas (class struggle) bourjuis vs
proletar.
Kata Marx dengan ketibaan era industri, pekerja
menghasilkan satu-satu produk dalam keadaan di mana kewujudannya langsung
terpisah daripada tangan yang memasang dan mencantumkannya
Apakah
bahan yang digunakan untuk menghasilkan produk ini; bagaimanakah ia
digali; ke manakah produk ini akan diekspot; siapakah pembeli-pembelinya;
berapakah marjin keuntungan yang diperolehi dsb... segala persoalan ini
bukan urusan si pekerja kilang untuk diambil peduli.
Aspek 'keterasingan' ini tiada di dalam kalangan penghasil kraftangan atau artisan tradisional dahulukala.
Justeru
dilema eksistensial yang serupa, di mana pekerja-pekerja kilang merasakan
sebahagian daripada makna menjadi manusia di dalam dirinya telah
terhakis, adalah unik untuk Zaman Industrial.
Kata Marx lah.
[Adakah
kehidupan masa kini di mana kita tidak mengenali jiran, pekerja kedai,
penjual daging di sekitar kawasan kejiranan boleh dikira sebagai suatu
bentuk 'keterasingan' - unik dalam satu era 'mass society' sarat dengan
masalah ledakan populasi? Wajar direnung.]
Apa-apa pun aku tak ingat
berapa kali konsep ini berulangkali timbul di dalam penulisan Watson.
Malah, separuh kedua buku ini atau secara umumnya bahagian 'cultural
history' buku ini adalah kelemahan terbesar The German Genius. Tiada latar
belakang historikal yang mencukupi disajikan untuk pembaca. Segalanya
fakta.
Di m/s 715 contohnya, Watson 'memuntahkan' nama demi nama
pelarian-pelarian Jerman ke Amerika yang telah menempa nama di Dunia
Baru tersebut hampir satu muka penuh (nama sahaja)! Seolah-olah Watson baru
sedar -menginjak bahagian terakhir bukunya- bahawa ambisi beliau terlalu
besar sehinggakan beliau tidak kisah pun untuk memberikan konteks
bermakna.
Ini agak menyedihkan kerana selepas membaca buku "The
Closing of American Mind" di mana pengkritik budaya Allan Bloom
menempelak penyusupan fikrah atau ideologi Heidegger ke dalam pemikiran
dan kebudayaan mujtamak Amerika, aku sedikit tertarik dengan budaya
kesenian Jerman. Aku mendapati diri aku tertanya-tanya apakah inspirasi di
sebalik penghasilan adikarya simfoni dan sonata milik Beethoven (Simfoni
Kesembilan dan Keenam), Bach, Strauss II, dan Richard Wagner.
Apakah konflik dalaman, peribadi atau masyarakat, yg cuba mereka nyatakan dan suarakan lewat susunan muzik, melodi dan fugue?
Buku
ini, dengan tebal hampir 900ms, tidak dinafikan telah memberikan pembaca
imbasan-imbasan jawapan kepada persoalan-persoalan tersebut tetapi ia bukanlah
suatu jawapan yang lengkap. Pun begitu, penulis bagi aku, sekurang-kurangnya
telah berjaya mempamerkan bagaimana aspek-aspek kebudayaan itu sebahagian
besarnya adalah terbit daripada pertelingkahan atau dialektik dalaman yang
berumah pada intelek - sepertimana komentar beliau bahawa tanpa
Schopenhauer tiada Wagner mampu menggubah melodi Tristan und Isolde.
Dan di sini kita perlu berbicara tentang sisi atau iklim intelektual Jerman yang begitu mempengaruhi dunia itu.
Jerman,
sehingga abad 17 dan awal abad 18, seperti negara-negara Eropah yg lain,
masih terpesona dengan kebudayaan dan intelektualisme Perancis, serta
praktis kesaksamaan hak politikal di British. Hanya bermula dengan
penerbitan "On Germany" (De l'Allemagne) oleh budayawati Madame Germaine
De Stael, seorang Francophile, baharulah 'Demam Jerman' melanda dunia.
De
Stael jugalah yang menitipkan nama 'Romantisisme' di dalam tinjauan beliau
ke atas gaya penulisan baharu di dalam puisi dan syair-syair Jerman
ketika itu, yang disifatkan De Stael sebagai "meraikan keagungan dan
kehebatan semangat kemanusiaan". Walaupun stereotaip Jerman sebagai
suatu bangsa yg kasar atau celupar (berbanding dengan Perancis yang
sofistikated dan á la mode) masih belum tergoncang, tetapi keaslian
upaya akliah Jerman yg mana Kant merupakan dutanya, tidak tersangkal
oleh sesiapa.
Immanuel Kant - Filsuf Jerman yang popular dengan buku 'The Critique of Pure Reason' |
Malah untuk sesiapa yang mahu memahami cara pemikiran bangsa Jerman, banyak yang mereka boleh pelajari daripada Kant.
Kant
paling terkenal dengan percubaannya untuk membina undang-undang moral, dan
seterusnya, konsep moraliti itu sendiri berdasarkan lojik. Bercakap
benar adalah tindakan yang lojik kerana kalau semua orang bercakap bohong
maka dunia akan menjadi huru-hara justeru semua orang perlu bercakap
benar pada setiap masa dan ketika - walaupun ia mungkin membawa kepada
seseorang itu kehilangan nyawa.
Kaedah deontolojikal beliau
adalah terlampau rigid dan bagi sesetengah orang adalah tidak berhati
perut. Bagaimanapun keampuhan falsafah Kantian
ini diakui ramai dan ia begitu berpengaruh sehinggakan di samping
Utilitarian Bentham/Mills, dua falsafah moral ini adalah sandaran utama
kepada ilmu etika moden - paling terserlah di dalam perbincangan etika
dan medikolegal di dalam bidang perubatan moden.
Di dalam
menggali akar-akar budaya yang membawa kepada falsafah Kantian, penulis
tampaknya mengisyaratkan jawapannya kepada mazhab Pietism, salah satu
mazhab Protestan yg ingin kembali kepada ajaran asal pengasas denominasi
Protestan, Martin Luther (Protestan kuasa dua?).
Pietism lahir
sekitar 1670-an dan berdasarkan seruan-seruannya, mereka tampak begitu
terkesan dengan perkembangan mazhab Puritanisme milik Inggeris. Pietism
ingin lari daripada kerahiban Katolik; penganut Pietist perlu berkerja
keras di dalam kehidupan seharian di dunia kerana inilah cara terbaik
untuk mengenal dan memahami Tuhan - melalui berkhidmat kepada
makhluk-makhluknya.
Perkembangan-perkembangan intelektual, budaya, dan sosial di
Jerman mampu dibingkaikan lewat kerangka pemikiran ini: daripada
'penemuan' etika/moraliti Kant kepada pembentukan disiplin sejarah dan
filologi moden (yang secara paradoksnya telah membawa kepada tradisi
hermeneutik yang mengkritik Bible), seterusnya usaha pencarian
'kerja-tangan' Tuhan di dalam biologi moden oleh saintis-saintis dari
sekolah Naturphilosophie, serta akhirnya kelahiran semangat/agama
nasionalisme yang begitu ikonik dengan Jerman pasca era Bismarck disamping
aktivisme politik yang radikal milik Belia Hitler.
Konsep Bildung
terdapat banyak saham di dalam menggerakkan proses tadi. Istilah ini
sukar diungkapkan di dalam bahasa yang mudah kerana tiada perkataan
dalam bahasa Inggeris pun yang sinonim dengan Bildung. Komen Watson
tentang Bildung:
[...in essence it refers to inner development of the individual, a process of fulfillment through education and knowledge, in effect a secular search for perfection, representing progress and refinement both in knowledge and in moral terms, an amalgam of wisdom and self-realization.]
Sebagai penutur Bahasa Melayu,
aku rasa perkataan paling dekat demi menggambarkan erti Bildung adalah
'pembentukan jati diri', walaupun perlu dititipkan di sini bahawa
beberapa dimensi istilah Bildung masih tercicir apabila diterjemahkan
sedemikian. Antaranya adalah aspek "inwardness" yg wujud di dalam proses
Bildung di mana gerak-daya pendidikan tersebut mengambil tempat secara
refleksi dan infleksi dalaman, dan hakikat bahawa Bildung bergerak pada
lantai sekular tanpa bimbingan Langit.
Jika idea Bildung ini
begitu akrab dengan apa yang kita fahami tentang matlamat pendidikan dalam
konteks moderniti ia adalah bukti kepada betapa berpengaruhnya cara
pemikiran Alam Jerman kepada dunia mutakhir.
Bildung adalah jauh
sekali sumbangan terbesar Jerman. Sebaris dengannya adalah idea Kritik
sebagai teras utama di dalam memajukan (mana-mana) bidang kesarjanaan; atau
idea Wissenschaft yg menyatakan bahawa negara bertanggungjawab menjaga
hal-ehwal rakyatnya melalui birokrasi dan polisi wajib;
Gemeinschaft-vis-a-vis Gessellschaft yakni komuniti-vis-a-vis-sosial
apabila berbicara tentang (mana-mana) fenomena kemasyarakatan; penggarisan
antara ruang awam dan ruang peribadi bilamana kita berbincang mengenai
tindakan yg mendatangkan kesan sosial; Kultur (high culture) sebagai
pengukur tahap ketamadunan satu-satu bangsa.
Semua ini adalah
mod-mod kognitif yang begitu unik dengan modeniti. Sukar sekali untuk
kita merenung dan membincangkan masalah mujtamak atau fenomena
kemasyarakatan tanpa mengimpot kosa kata Habermas, tokoh-tokoh pemikir
sekolah Frankfurt seperti Adorno dan Erich Fromm yg cuba mengahwinkan
idea Freud dan Marx di samping alumni New School For Social Research,
dimana Hannah Arendt dan Leo Strauss adalah graduan mereka yang paling
popular.
Dengan sumbangan idea yang begitu komprehensif sebegini,
tentunya Alam Jerman mempunyai jasa yang banyak kepada cara manusia moden
mamandang alam. Pada masa yang sama itu juga bermakna bahaya yg
ditawarkannya adalah besar.
Ambil contoh penulisan sejarah dan
metodologi penulisan sejarah (historiography) yang mana Jerman merupakan
rumah kepada pelopor-pelopor bidang tersebut. Gergasi sejarahwan Jerman seperti
Leopold Von Ranke pun tidak mampu untuk menjarakkan bias pendirian
politiknya dengan tanggungjawab objektiviti beliau sebagai sarjanawan,
sehinggakan penulisan-penulisan sejarah beliau diwarnai dengan tiga tema utama:
1)
'Negara' sebagai hadaf muktamad lantas lahirlah konsep Machtstaat
dimana pemerintah perlu memegang kuasa mutlak tanpa kekangan undang-undang
perlembagaan
2) Menolak pemikiran normatif dengan menganggap bahawa
negara berhak melakukan apa sahaja di dalam memastikan kemaslahatannya
terjaga
3) Menolak pemikiran konseptual serta pemikiran abstrak
Von
Ranke menulis ini sewaktu 1850-an. Secara retrospektif, susah untuk
kita menyingkirkan korelasi antara idea beliau dengan nasionalisme
ekstrem Empayar Prussia, seterusnya penolakan konsep objektiviti di
dalam bidang kesarjanaan dan kritik ke atas moderniti ala Heidegger;
ramuan-ramuan yang akhirnya lengkap dengan penabalan Hitler sebagai Chancellor
pada 1933.
Sedikit komentar berkenaan buku ini. Gaya penulisannya
adalah jurnalistik moden - mungkin kerana latarbelakang penulis yang
merupakan seorang jurnalis, bukan 'sejarahwan' dari menara gading. Baris-baris ayat beliau sentiasa disertakan
disklaimer, setiap generalisasi akan dituruti dengan pengecualian.
Pembaca mungkin nampak hal itu tanda penulisan yg cermat tapi aku nampak
yang penulis perlu mencari seorang penyunting yang baik.
Walaupun
Watson tiada audasiti seorang penulis original, tetapi pengetahuan
ensiklopediknya sudah cukup untuk menebus mana-mana kekurangan yang wujud. Aku
jangkakan The German Genius bakal menjadi bahan bacaan klasik untuk sesiapa
yang ingin mengenali latar sosio-budaya Jerman dalam satu jilid.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan