Halaman

Jumaat, 27 November 2015

Pemilikan


Kata kerja ada menurut Kamus Besar Bahasa Indonesia bermaksud "1. hadir; telah sedia" dan "2. mempunyai". Ia adalah perkataan yang paling ringkas untuk menyampaikan maksud pemilikan. Perhatikan struktur ayat ini: Saya ada rumah. Ayat ini mempunyai tiga ahli. Yang pertama ialah pemilik, iaitu saya. Yang kedua ialah kata kerja ada. Yang ketiga ialah objek yang dimiliki atau milik (bermaksud kepunyaan atau hak), iaitu rumah.

Mari kita lihat pemilikan dalam bahasa Inggeris pula. Ayat tadi jika diterjemah ke dalam bahasa Inggeris berbunyi I have a house. Struktur pemilikan dalam bahasa Inggeris juga sama seperti bahasa Melayu. Ada pemilik, kata kerja have (atau sinonimnya own, possess, dll.), dan milik. Setakat ini mudah.

Kita selalunya akan fikir apa yang terasa semulajadi bagi kita, itulah cara yang paling masuk akal untuk melakukan sesuatu. Jadi tak hairanlah jika pemilikan diekspresi dengan struktur yang lojik ini, iaitu pemilik---kata kerja---milik. Bagaimana lagi kalau bukan begitu, kan? Tapi, kalau kita memeriksa bahasa-bahasa lain, kita akan cepat sedar yang sebenarnya terdapat pelbagai cara untuk mengekspresi konsep pemilikan.

Bagi mereka yang pernah mempelajari bahasa Arab, maka mereka telah kenal satu cara lain untuk mengekspresi konsep pemilikan. Ada beberapa cara untuk berbuat demikian, tapi antara cara yang paling mudah ialah dengan mengatakan عندي بيت ('indii bait) yang secara literalnya bermaksud “Pada saya rumah”. Binaan ayat dalam bahasa Arab tidak mengikut skema pemilik---kata kerja---milik. Malah, ayat ini tidak mempunyai kata kerja pun. Binaan ayatnya adalah kata depan+imbuhan pemilik---milik. Kerana binaan ini tidak melibatkan kata kerja pemilikan yang transitif, yakni yang memerlukan objek, maka perkataan bait (rumah) muncul dalam bentuk nominatif. Dalam erti kata lain, dalam mengekpresi konsep pemilikan, tidak perlu untuk pemilik melakukan apa-apa; tidak memiliki, tidak mempunyai, tidak ada, atau lain-lain kata kerja; kepada sesuatu objek untuk menjadikannya dimiliki. Hanya dengan adanya objek itu pada atau berdekatan dengan pemilik, maka difahami yang objek itu dimiliki oleh pemilik.

Untuk menjelaskan lagi kelainan binaan ini, mari kita lihat apa yang biasanya dimaksudkan jika kita menyebut Pada saya rumah dalam bahasa Melayu. Ayat ini dari awalnya adalah aneh. Mungkin kita boleh tambah perkataan ada dalam erti kata “wujud” atau “terdapat”, yakni Pada saya ada rumah. Walaupun sekarang ayat ini sedikit lebih baik, tapi kita fahami daripada ayat ini bukannya bahawa “saya memiliki rumah”, akan tetapi "dekat dengan saya terdapat rumah".

Bahasa Turki juga mempunyai binaan yang berbeza iaitu evim var yang secara literalnya bermaksud “rumah saya ada”. Binaannya ialah milik+imbuhan pemilik---kata sifat wujud. Seperti dengan kes bahasa Arab, kita tidak boleh menggunakan transliterasi (terjemahan literal) binaan yang sama di dalam bahasa Melayu untuk mengekspresi pemilikan. “Rumah saya ada” adalah sebutan yang sangat janggal yang tidak digunakan dalam percakapan normal. Mungkin dalam sesetengah situasi, binaan ini boleh digunakan, tapi bukan dalam mengatakan bahawa seseorang itu mempunyai sesuatu. Contohnya dalam kes seorang yang prihatin tentang kawannya yang selalu tertinggal dompet di kantin setelah makan tengahari: “Ahmad, dompet kau ada?” setelah mana Ahmad menepuk poket seluarnya dan menjawab “Ada! Fuh, selamat.” Dalam konteks ini, binaan “dompet kau ada” merujuk kepada sama ada dompet Ahmad terletak pada tempat yang sepatutnya ia berada, yakni dalam poket Ahmad, dan bukannya sama ada Ahmad memiliki dompet, seperti dalam bahasa Turki.

Bahasa Tondano dari Sulawesi Utara menggunakan satu lagi cara yang berbeza, iaitu posesif topikal. Kita lihat satu contoh yang sedikit berbeza daripada ayat yang telah kita gunakan tadi, iaitu bukan Saya ada rumah, tetapi Lelaki itu ada dua rumah. Ayatnya dalam bahasa Tondano berbunyi Si tuama si wewean wale rua. Si tuama bermaksud “itu lelaki”, si yang kedua ialah penanda topik, wewean wale rua bermaksud “ada rumah dua”. Jika diterjemah ke dalam bahasa Melayu, ayatnya lebih kurang bermaksud “Berkenaan dengan lelaki tersebut, ada dua rumah”. Binaan pemilik---penanda topik---kata kerja eksistensial---milik ini langsung tidak mempunyai bandingan dalam bahasa Melayu. [1]

Secara ringkas, kita telah melihat beberapa cara untuk mengekspresi pemilikan. Bahasa Melayu dan Inggeris menggunakan binaan transitif, iaitu pemilik---kata kerja pemilikan---milik. Bahasa Arab menggunakan binaan kata depan+imbuhan pemilik---milik. Bahasa Turki menggunakan binaan milik+imbuhan pemilik---kata sifat wujud. Bahasa Tondano menggunakan binaan pemilik---penanda topik, kata kerja eksistensial---milik.

Kita baru sahaja memerhatikan lima daripada beribu bahasa yang dituturkan oleh manusia di seluruh dunia. Hanya pada satu sudut pemilikan ini sahaja pun kita telah melihat perbezaan yang ketara antara bahasa-bahasa. Bayangkan pelbagai banyak perbezaan lain yang mungkin kita temui jika kita menyiasat sudut-sudut lain seperti kala (sekarang, lampau, masa depan), aspek (berkaitan dengan sama ada sesuatu perbuatan itu sedang berlangsung, telah tamat, atau berulang-ulang), “jantina” kata nama (dalam sesetengah bahasa, kata nama mempunyai jantina tersendiri, contohnya pembaris ialah “lelaki”, pemadam ialah “perempuan”, dll.), konjugasi (be => am, are, is), jumlah (satu = house, dua dan lebih = houses), dan lain-lain.

Atas sebab itu cubaan untuk mencari dan mengisytiharkan ciri-ciri universal dalam kesemua bahasa dalam dunia perlu dilakukan dengan berhati-hati. Selain daripada itu, kita juga boleh mengambil pengajaran yang dalam menyelesaikan sesuatu masalah, terdapat pelbagai pendekatan yang boleh diambil. Dan sesetengah pendekatan mungkin pada awalnya tidak masuk akal bagi kita yang tidak biasa dengannya.

[1] http://wals.info/chapter/117

 *         *         *

Ini membebel sikit, harap siapa yang ada pengetahuan lebih untuk betulkan dan tinggalkan komen!

Sedikit komentar berkenaan dengan kandungan laman web rujukan [1]. Jika dilihat klasifikasi pemilikan (locational, genitive, topic, conjunctional, have-), bahasa Indonesia (dan atas sebab itu bahasa Melayu) tergolong dalam kelas topic dan ini dirumuskan dari buku Leerboek Indonesisch oleh Steinhauer (2001). Saya masih belum merujuk buku Steinhauer ini, dan oleh itu masih belum pasti kesimpulan yang bahasa Indonesia ialah topic datang daripada memerhatikan ayat yang mana. Binaan mudah Saya ada rumah boleh diinterpretasi dengan pelbagai cara, bergantung kepada part of speech mana yang kita mahu berikan kepada ada. Satu masalah yang saya hadapi dalam menulis artikel ini ialah kamus online DBP tidak memaparkan sama ada sesuatu perkataan itu ialah kata nama, kerja, sifat atau sendi (atau lain-lain), menyebabkan saya terpaksa menggunakan Kamus Besar Bahasa Indonesia online. Kamus Besar Bahasa Indonesia menyenaraikan ada sebagai kata kerja yang bergantung kepada konteks boleh jadi sama ada intransitif (hadir, telah sedia) atau transitif (mempunyai). Memeriksa ayat Saya ada rumah, kalau kita mengandai ada ialah kata kerja transitif, maka bahasa Indonesia sepatutnya diklasifikasikan sebagai have-. Kalau kita mengandai yang ada ialah kata kerja eksistensial (yang intransitif), maka Saya ada rumah mungkin analog dengan Si tuama si wewean wale rua. Ini bermaksud, bertentangan dengan apa yang telah saya sebut, sebenarnya terdapat bandingan antara binaan bahasa Melayu dengan Tondano, cuma binaan bahasa Melayu tidak melibatkan apa-apa penanda topikal dan hanya bergantung kepada kedudukan Saya pada awal ayat sebagai penanda bahawa yang dibicarakan tentangnya sekarang ini (dan yang kepadanya kewujudan rumah adalah relevan) ialah Saya.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...