Halaman

Rabu, 29 Oktober 2014

Meninjau Kedudukan Negara-Negara Timur Tengah dan Sekitarnya (Bahagian 1)



Meninjau Kedudukan Negara-Negara Timur Tengah dan Sekitarnya (Bahagian 1)

19 Ogos 2014

1. Negara-negara Timur Tengah (Inggeris: Middle East, Arab: الشرق الأوسط) terus menjadi tumpuan lensa-lensa kamera antarabangsa atas kepelbagaian isu dan peristiwa yang berlaku, disamping sejarahnya yang merangkumi satu garis masa yang sangat panjang serta melibatkan pelbagai kelompok manusia (agama, bangsa, etnik dll) yang wujud di dunia hari ini.

Timur Tengah diapit benua Eropah, Asia dan Afrika.


2. Mereka yang mengikuti perkembangan ini akan kerap menemui pelbagai perkataan bersifat geografik yang kadang-kala boleh menimbulkan ketidakjelasan ataupun kekeliruan antara satu perkataan dengan perkataan yang lain. Dalam membicarakan isu Palestin misalnya sekurang-kurangnya ada 3 nama geografik yang terlibat; Palestin, Gaza dan Tebing Barat. Apa persamaan dan perbezaan antara ketiga-tiga perkataan ini? Apakah ruang lingkup dan garis sempadannya?

3. Dalam membicarakan isu yang lain, perkataan yang baru muncul pula ialah ISIS (Islamic State of Iraq and Syam) atau ISIL (Islamic State of Iraq and The Levant). Jika dibelek peta dunia hari ini, tidak akan ditemukan perkataan Syam mahupun Levant. Maka apakah ia sebenarnya? Hairan juga apabila berita televisyen tanah air menterjemahkan ISIS sebagai Kerajaan Islam Iraq dan “Jajahannya”, yang mana sangat tidak tepat dan tidak dapat mempamerkan makna yang sebenar.


4. Penerangan lebih mendalam tentang kepentingan pengetahuan geografi sebagai asas mendalami ilmu-ilmu kemanusiaan (ilmu sejarah, bahasa, politik, sosiologi dll) boleh diperoleh melalui pautan http://saifulislam.com/2012/12/geografi-menantarabangsakan-diri/

Timur Tengah

5. Perkataan Timur Tengah amat berkait rapat dengan bangsa Arab. Tetapi persamaan (equation) “Negara-negara Timur Tengah adalah negara-negara Liga Arab” adalah tidak tepat. Negara-negara Timur Tengah lebih kecil keluasannya berbanding Negara-negara Liga Arab. Tidak semua Negara-negara Timur Tengah termasuk dalam senarai Liga Arab. Iran misalnya, secara geografi ia terletak dalam kawasan Timur Tengah, tetapi penduduknya bukanlah berbangsa Arab dan mereka tidak menyertai Liga Arab. Begitu juga dengan Turki.

6. Terdapat beberapa pengertian (definition) terhadap istilah Negara-negara Timur Tengah. Untuk memudahkan perbincangan, negara-negara Timur Tengah yang dimaksudkan dalam artikel ini ialah Bahrain, Cyprus, Mesir, Iran, Iraq, Israel, Jordan, Kuwait, Lubnan, Oman, Palestin, Qatar, Arab Saudi, Syria, Turki, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Yaman. Nama Israel disebut dalam artikel ini semata-mata atas tujuan penggunaan perkataan semasa, bukan sebagai satu pentuk pengiktirafan terhadap penubuhan negara ini.

Palestin, Gaza dan Tebing Barat

7. Agak sukar di dalam artikel ini untuk direntet sejarah dari penghujung zaman Daulah Uthmaniyyah kerana ia melibatkan dua kawasan iaitu Vilayet Beirut dan Sanjak Jerussalem. Maka diambil persempadanan Mandatory Palestine (1920-1948) sebagai titik mula untuk memudahkan penerangan. Berikut adalah peta Mandatory Palestine. Ia merentas dari persisiran Laut Mediterranean di baratnya hingga ke Sungai Jordan dan Laut Mati di sebelah timurnya. Utaranya ialah Lubnan serta Syria dan barat dayanya ialah Mesir.

Peta Mandatory Palestine (1920-1948). Perhatikan Sungai Jordan memisahkan Palestin dan Jordan.


 8. Namun begitu, penghijrahan beramai-ramai orang Yahudi ke Tanah Palestin diikuti dengan pelbagai peristiwa dan konflik yang berlaku membawa kepada tertubuhnya sebuah negara yang dipanggil Israel. Ini membawa kepada pengecilan keluasan kawasan yang masih dipanggil Palestin. Pengecilan ini telah membentuk dua “pulau” daratan yang dipisahkan oleh “lautan” Israel. Dua pulau inilah yang disebut masing-masing sebagai Gaza dan Tebing Barat (Inggeris: West Bank).

Perhatikan dua "pulau" yang terhasil, iaitu Gaza dan Tebing Barat.


9. Untuk memudahkan pemahaman tentang pembentukan dua “pulau” ini, bayangkan seluruh Republik Persekutuan Jerman didatangi oleh satu kuasa lain dan telah mengambil semua negeri-negeri dalam Jerman kecuali Baden-Württemberg dan Sachsen. Begitulah masing-masing Gaza dan Tebing Barat. Penamaan Jerman dalam artikel ini hanya untuk tujuan pemahaman semata-mata.

10. Gaza terletak di bahagian barat daya Mandatory Palestine, bersempadan dengan Mesir. Di sinilah terletaknya pintu kawalan sempadan yang terkenal iaitu Pintu Rafah. Tebing Barat pula, disinilah letaknya Masjid Al-Aqsa. Tebing Barat bermakna tebing Sungai Jordan di arah barat. Tebing sebelah timur Sungai Jordan pula kini menjadi apa yang dipanggil sebagai Kerajaan Jordan Al-Hasyimiyyah.

Jambatan Allenby atau Jambatan Raja Hussein merentas Sungai Jordan, menghubungkan negara Jordan dan Tebing Barat.


Syam dan Levant

11. Sebahagian daripada kita yang mengikuti sejarah hidup Nabi Muhammad , pasti akan melalui episod “Nabi Muhammad berniaga di Syam”. Nama Syam kini mula disebut semula oleh bukan penutur Arab setelah tertubuhnya “Islamic State of Iraq and Syam”. Pencarian menggunakan cetakan peta hari ini mahupun Google Maps tidak akan menemukan sebarang jawapan. Syam (Inggeris: Levant) adalah nama lama yang merangkumi sebuah kawasan yang luas yang kini merangkumi negara Syria, Lubnan, Jordan dan Palestin. Namun begitu, kadang-kala penggunaan perkataan Syam pada masa kini hanya merujuk kepada negara Syria semata-mata.

Bandingkan dengan peta Timur Tengah di awal artikel. Syam meliputi sebahagian kawasan Timur Tengah.


12. Berbalik kepada ISIS, dari zahir namanya boleh dicongak bahawa mereka adalah kumpulan yang ingin menubuhkan kerajaan Islam yang meliputi kawasan Iraq dan Syam (atau Syria dalam beberapa penggunaan) dan bukannya “Kerajaan Islam Iraq dan Jajahannya”. Bahkan terjemahan yang tidak tepat ini hakikatnya tidak membawa sebarang makna dalam konteks Iraq. Hairan masih ramai yang menuturnya dan menggunakannya dalam media.

Negara-Negara Teluk

13. Istilah lain yang akan disebut dalam membicarakan perkembangan di Timur Tengah ialah Negara-Negara Teluk (Inggeris: Gulf States). Negara-Negara Teluk secara mudahnya boleh difahami sebagai negara-negara Timur Tengah yang mengelilingi Teluk Parsi. Negara-negara tersebut ialah Kuwait, Bahrain, Iraq, Oman, Qatar, Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Iraq (di utara Arab Saudi) tidak ditanda dalam peta ini.


14. Antara ciri-ciri perbezaan yang ketara antara Negara-Negara Teluk dengan Syam ialah, kebanyakan negara-negara Teluk adalah negara monarki dan kebanyakan negara-negara Syam ialah negara bukan monarki. Di kawasan Teluk inilah terletak negara-negara Arab yang kaya.


15. Dalam membicarakan negara-negara Teluk, selalu juga disebut nama Abu Dhabi dan Dubai. Tetapi mengapa nama mereka tiada dalam senarai di atas? Ini kerana Abu Dhabi dan Dubai adalah negeri yang telah bergabung bersama beberapa negeri yang lain seperti Sharjah dan Ras Al-Khaimah dan lain-lain untuk membentuk sebuah negara Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Peta Emiriah Arab Bersatu. Negeri Abu Dhabi (berwarna kuning dalam peta) merangkumi lebih kurang 80% keluasan UAE.


Bersambung.
MSHMI, 19.8.2014

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...