Halaman

Rabu, 29 Oktober 2014

Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) Akhir : Dari Rakyat untuk Rakyat.



Saya melihat antara punca utama rakyat patut menentang pelaksanaan GST adalah bagaimana atau ke mana duit cukai tersebut dihabiskan. Saban tahun kita melihat, bahkan saya sendiri secara konsisten membaca Laporan Ketua Audit Negara sejak dua tahun lepas melihat sendiri bagaimana duit pembayar cukai dihabiskan. Dan tahun ini terasa mangli untuk membaca laporan tersebut (laporan tahun 2013) kerana terasa boleh menjangkakan isi laporan tersebut secara umum.

Semua salah laku dan penyelewengan tersebut dilaporkan secara rasmi oleh badan rasmi negara. Pembelian dengan harga yang tidak munasabah, penyalahgunaan dana awam oleh penjawat awam diperingkat bawahan merupakan kes pada tahun lepas dan semua itu menggambarkan betapa buruknya akhlak rakyat Malaysia. Bahkan laporan dari Ernst & Young, salah dari dari empat firma audit terbesar dunia meletakkan Malaysia sebagai negara yang paling korup yang dikaji selidik.



Lebih menghairankan tiada kedengaran satu pun individu yang dibawa ke mahkamah kerana penyelewengan dan rasuah sejak beberapa tahun lepas. Atau mungkin sekali tidak menghairankan kerana kita kan Bolehland. Apabila keruntuhan akhlak berleluasa sebegini maka jangan hairan apabila berlaku cacian dan carutan di Fesbuk, ulama, ahli akademik dan pemimpin tidak lagi dihormati bahkan dimaki, kerana kita sendiri tidak membawa contoh serta akhlak yang baik untuk anak muda. Mungkin common sense di Bolehland tidaklah secommon yang kita rasa.




Tidak perlu kencang mengatakan sistem GST lebih baik kerana mampu meningkatkan pendapatan negara, GST membuka ruang pahala dll kerana sebelum mengisi sesuatu di dalam sesuatu bekas, bekas tersebut perlu ditampung dan dipastikan tidak bocor terlebih dahulu. Mengisi dalam bekas yang bocor atau tiris menampakkan kepandiran kita, bahkan mungkin menzalimi mereka yang memberi amanah kepada kita untuk mengisi barang mereka ke dalam bekas tersebut.

Rakyat bantah GST



Rakyat yang turun ke Dataran Merdeka pada 1 Mei juga perlu jelas, mereka bukan perlu menentang kenaikan harga barang atau kos sara hidup dan kemungkinan inflasi yang mungkin berlaku hasil dari pelaksanaan GST kerana semua itu bukanlah masalah sebenar hasil dari GST. Juga tidak perlu terus bermain dengan mainan politik pembangkang yang kelihatan bermain dengan politik populis untuk menyemarakkan kemarahan rakyat kepada negara, politik populis hanyalah politik emosional. Untuk memperkasakan rakyat, tiada jalan mudah melainkan ilmu, dan sikap segelintir pihak pembangkang yang menyembunyikan fakta berkenaan GST sangat mengecewakan. Tidak kurang juga usaha penerangan dari pihak kerajaan yang memakan kos yang tinggi tetapi pemahaman rakyat terhadap GST masih rendah.

Usaha Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli mencadangkan alternatif pelaksanaan cukai seperti capital gain tax dilihat sebagai usaha yang kurang efisyen berbanding GST.


  1. Capital gain tax, seperti namanya akan dikenakan apabila individu atau syarikat menjual capital asset melebihi harga aset tersebut dibeli. Contoh yang mudah dapat pada skala individu dilihat pada jual beli emas, beli emas, simpan untuk satu tempoh, harga emas naik, dan jual. 
  2. Cadangan yang kedua pula adalah windfall tax yang dikenakan pada sesuatu industri apabila keadaan ekonomi menyebabkan industri tersebut mengalami keuntungan yang lebih tinggi dari purata keuntungan biasa. Cukai ini biasanya disasarkan pada industri yang banyak mendapat hasil dari economic windfall, dan biasanya industry yang berasaskan komoditi.
  3. Kedua-dua cukai tersebut bukanlah alternatif yang baik berbanding GST kerana capital gain tax berkemungkinan melarikan pelabur asing untuk lari dari melabur di Malaysia seterusnya mencetuskan inflasi yang teruk seperti krisis ekonomi 1998. Begitu juga dengan windfall tax yang terlalu bergantung pada keadaan ekonomi pasaran untuk mendapat hasil cukai bukanlah alternatif yang baik.
  4. Jika motif kerajaan untuk memperbaiki sistem cukai maka mengganti SST dengan GST adalah pilihan yang terbaik dan jika kerajaan juga hendak menambah pendapatan negara, kenakan cukai capital gain, dan windfall (cukai progresif) bersama dengan GST (cukai regresif), dan kadar GST boleh dikurangkan.

Saya teringat lagi frasa yang digunakan saudara Wan Saiful Wan Jan ketika membicarakan Liberalisme dalam ekonomi, “no representation without taxation”, tiada perwakilan tanpa percukaian. Cukai merupakan satu mekanisme utama yang mengikat rakyat dengan wakil rakyat, ahli parlimen, menteri serta segala penjawat awam. Dan hubungan ini bersifat dua hala yakni mereka yang dibayar gaji mereka oleh rakyat sepatutnya merasa terpanggil untuk bertanggungjawab memberi yang terbaik untuk rakyat dan negara. Dan pada masa yang sama rakyat perlu menuntut integriti dan akauntabiliti dari pihak yang menguruskan duit cukai yang dibayar mereka. Oleh kerana sekarang tidak ramai yang membayar cukai secara terus melalui cukai pendapatan,atau ramai yang kurang sedar mereka sebenarnya sedang membayar cukai melalui SST yang dikutip pada jumlah yang kecil (berbanding cukai pendapatan) mereka kurang merasakan bahawa perlunya duit yang mereka bayar perlu diuruskan dengan baik. Lihat sahaja sekarang, belum lagi GST dilaksanakan rakyat dah mula bising bagaimana duit mereka diuruskan.

Dengan pelaksanaan GST, harapnya rakyat akan lebih menuntut kerajaan dan pihak yang menguruskan dana awam supaya tidak mengulangi salah laku yang dilaporkan setiap tahun oleh Ketua Audit Negara,  supaya mereka yang melakukan penyelewengan dihadapkan ke muka pengadilan. Harapnya rakyat menuntut lebih ketelusan dan melihat mereka bukan membayar cukai supaya lebih banyak korupsi dan pembaziran dapat dilakukan. Pihak pembangkang juga seharusnya bijak menghala kemarahan rakyat ke arah yang lebih tepat seperti mendidik rakyat supaya lebih sedar hak dan tanggungjawab mereka, bukan sekadar memberi maklumat separa betul kepada rakyat.



 Dalam isu GST, saya secara peribadi bersama dengan pihak kerajaan. GST per se adalah satu cukai yang baik berbanding cukai sebelumnya, dan pelaksanaan GST merupakan satu pendidikan tidak langsung kepada rakyat untuk menunaikan kewajipan mereka dalam menuntut kerajaan dan kedudukan negara yang lebih baik. Faham GST, tolak penyelewengan.

Pautan:

Glosari:
  • Cukai progresif : cukai yang dikutip dari peratusan besar pendapatan golongan berpendapatan tinggi berbanding golongan berpendapatan rendah. Satu cara membahagikan semula pendapatan rakyat yang kaya kepada masyarakat.
  • Cukai regresif : cukai yang dikutip dari peratusan besar pendapatan golongan berpendapatan rendah dan dilaksanakan secara seragam untuk semua. Kesan terbesar adalah pada golongan berpendapatan rendah.

PS: Terima kasih untuk semua pembaca, tajuk yang popular tetapi terasa malas nak menulis apabila mengetengahkan pandangan yang tidak popular. Artikel 1, 2, dan 3 berkenaan GST telah disemak semula dan dikemaskini dengan jawapan yang lebih kemas dan tepat sekadar pengetahuan penulis dan selebihnya mungkin berlaku kerana kelemahan penulis mendapatkan rujukan. God knows best, Wallahu'alam wa'ala wa ahkam.

 Muhammad Syafiq Kamarul Zaman, 8.5.2014

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...