Halaman

Rabu, 29 Oktober 2014

Manga: Mari Lihat Dari Perspektif Berbeza




Manga. Sesuatu yang tidak lagi asing bagi rata-rata kanak-kanak juga remaja di seluruh dunia. Golongan dewasa yang membesar dengannya juga tidak terkecuali. Manga adalah bahasa Jepun yang merujuk kepada buku komik, dan pada masa ini ia spesifik merujuk kepada komik Jepun. (info tambahan: komik Korea disebut sebagai manhwa.)

Sekalipun sejak dari zaman kanak-kanak, kita biasanya dimaklumkan bahawa manga hanyalah satu kegiatan masa lapang dan rata-ratanya disasarkan kepada pembaca kanak-kanak, penulis merasakan bahawa pendapat sedemikian rupa tidak adil andai ia hanya terhenti di situ. Perkembangan industri manga pada hari ini telah memungkinkan kelahiran pelbagai genre manga dengan variasi strok lukisan, plot cerita yang semakin kompleks juga mesej-mesej positif yang mahu disampaikan kepada pembaca sama ada secara tersurat mahupun tersirat. Adakalanya, 2,3 halaman manga sudah cukup untuk menyampaikan satu mesej yang bermakna. Kadang ada kritik sosial yang mahu disampaikan, imbasan sejarah, kritik sistem politik, psikologi manusia, dan pelbagai lagi.


Jadi, entri yang ini, akan sedikit sebanyak 'highlight' beberapa mesej yang berjaya disampaikan secara bijak dalam 3 buah manga yang dibaca oleh penulis baru-baru ini. Dengan tujuan, moga-moga, cara pandang kita terhadap manga akan lebih matang. Biar manga dengan judul yang sama, yang dibaca di usia 10 tahun, apabila dibelek dan dihadam sekali lagi pada hari ini, rupanya ada sesuatu di dalamnya yang memberi nilai tambah kepada kehidupan. Bacaan yang mampu membentuk peribadi, daya fikir, imaginasi, juga menanam nilai-nilai murni. Sekalipun pada mata masyarakat umum, membaca manga kelihatan seperti aktiviti suka-suka atau/dan membuang masa.

I. SILVER SPOON - Hiromu Arakawa -



Sinopsis

Buat para peminat setia manganime(=gabungan manga dan anime), Hiromu Arakawa pastinya mangaka(=kartunis manga) yang tidak asing lagi. Beliau adalah pencipta siri manga popular Fullmetal Alchemist(FMA). Namun begitu, manga Silver Spoon adalah genre yang ternyata berbeza dari FMA. Tiada pertarungan antara baik dan jahat atau agenda menegakkan keadilan. Secara ringkas, Silver Spoon berkisar tentang seorang remaja lelaki, Yugo Hachiken yang tertekan atas desakan keluarga(terutama bapanya) untuk sentiasa cemerlang dalam akademik dan selalu dibandingkan dengan abangnya yang genius, mengambil keputusan untuk menyambung pelajaran ke sekolah tinggi agrikultur. Para pelajar sekolah itu rata-ratanya berlatarbelakangkan keluarga yang mengusahakan penternakan, manakala Hachiken pula pelajar dari bandar yang mempunyai sifar pengetahuan tentangnya. Di sekolah ini, pembaca diajak untuk bersama-sama Hachiken dalam proses mempelajari perkara baru dan juga memaknakan erti sebuah perjalanan dalam mencipta dan seterusnya mengejar impian. Dan pastinya, elemen humor dan persahabatan tidak ketinggalan diketengahkan dalam manga ini.

Perspektif





Dua halaman di atas adalah berkisar Hachiken dan rakan-rakannya berbincang sekitar strategi pemasaran. Antara elemen menarik di dalam manga ini adalah bilamana mangaka bijak mengetengahkan teori ekonomi dengan cara bersahaja dalam panel manga bagi memudahkan pembaca untuk faham.

Namun, saya tidaklah mahu menekankan tentang teori ekonomi. Tetapi 'caption' di hujung panel manga ini.

"All the other kids here were raised on farms, so they have a different way of thinking about things. Hachiken's views force them to change their perspective."

Dalam situasi ini, kelihatan Hachiken lancar menyatakan pandangannya berkenaan produk tenusu yang dipasarkan. Rakan-rakannya pula turut sama memberi buah pandang, berbincang sesama mereka serta menyatakan info tambahan berdasarkan pengalaman mereka tanpa menolak mentah-mentah pandangan Hachiken. Mereka juga kelihatan menyuarakan pendapat yang barangkali selama ini jarang-jarang difikirkan bilamana sudah selesa dengan kebiasaan. Kehadiran Hachiken dengan sudut pandangnya, memaksa rakan-rakannya untuk mempersoalkan kembali kebiasaan juga membuka ruang mereka untuk meluaskan perspektif. Berfikir bukan hanya dari sudut pandang pengeluar, tapi turut mengambil kira pendapat pembeli yang barangkali sebelum ini terlepas pandang. Tidak pula terdengar suara-suara sumbang seperti:

"Ahh, kau budak bandar apa tahu. Aku lahir dalam keluarga penternak kot. Sejak kecik jaga lembu, sembelih ayam. Kau mana cukup pengalaman lagi."
"Apa pulak. Keluarga aku selama ni berniaga ok je. Tak ada apa masalah. Berpuluh tahun kot. Takkan salah."

Bagaimana pula realiti kita hari ini? Kita, apabila bergaul dalam kelompok manusia yang punya latar belakang pendidikan yang lebih kurang sama, bahan bacaan yang tidak banyak beza, maka jadinya cara fikir dalam melihat dunia juga hampir sama. Di zon selesa. Apabila hadir orang luar yang barangkali mempertikai atau mengkritik apa yang sudah menjadi kebiasaan kepada kita yang berada di kelompok majoriti, apakah boleh kita menerima? Atau pantas sahaja hujah ditolak? Hanya atas dasar; pengalaman lebih banyak, dan kami di pihak majoriti. Makanya kami di pihak yang benar?
 
Sepertimana dalam artikel yang sebelum ini; Behaviourism, manusia ini banyak dibentuk oleh cara ia dibesarkan. Bagaimana didikan di rumah, bahan bacaannya, kawan-kawannya dan banyak lagi faktor luar lain. Fitrah, manusia dicipta berbeza-beza. Namun bilamana hanya satu cara pandang yang dipaksa, bukankah ia sudah melawan fitrah? Bukankah ia satu bentuk doktrinisasi? Benar. Untuk keluar dari kebiasaan, bukan sesuatu yang mudah. Ia memerlukan kekuatan diri untuk melawan sesuatu di dalam diri. Iaitu ego. Juga kekuatan mengawal emosi. Lihat sahaja di media sosial. Perbalahan tidak kira apa jua isu berlanjutan tidak bersudah. Masing-masing mahu menang. Yakin bahawa hanya ada hitam atau putih. Aku benar, maka dia mesti salah. Tapi sayang hakikat bukan begitu. Dunia sekompleks hari ini tidak lagi hanya antara 2 warna itu. Bahkan ia punya warna kelabu. Perbezaan pendapat. Raikanlah. Dengarkan juga telitikan. Mengapa harus melanjutkan perbalahan yang membawa kerugian sedang ada peluang untuk sinergi yang menguntungkan?

II. MONSTER - Urasawa Naoki -



Sinopsis

Monster setakat ini bagi penulis adalah antara manga paling 'thriller' yang pernah penulis baca(Disamping 20th Century's Boy dan Shingeki no Kyojin/Attack on the Titans). Sukar sebenarnya untuk menulis ringkasan cerita ini. Terlalu kompleks dengan banyak watak dan latar tempat. Baiklah secara ringkas, manga ini berkisar tentang seorang doktor pakar bedah, Dr. Tenma yang mempunyai konflik dalam kerjayanya. Hospital tempat beliau berkhidmat mempunyai seorang pengarah yang hanya mementingkan reputasi diri dan hospitalnya. Dr. Tenma sebagai orang bawahan terpaksa hanya menurut arahan. Namun, nilai keadilan yang menebal dalam diri Tenma telah menyebabkannya melanggar arahan dengan bertindak membedah pesakit bukan atas arahan pengarah. Antara dua nyawa, iaitu antara seorang kanak-kanak lelaki yang ditembak di kepala dengan seorang Datuk Bandar yang juga sedang kritikal. Tidak mahu mengulang salah yang lama, Tenma bertindak menyelamatkan nyawa budak lelaki itu dahulu kerana dia yang sampai dahulu di hospital. Kerana baginya, nilai nyawa bagi semua adalah sama. Tidak sesekali ditentukan oleh kedudukan atau pangkat. Kesannya, nyawa Datuk Bandar tidak dapat diselamatkan. Masa depan Dr. Tenma kini gelap bilamana halangan demi halangan muncul. Malang bagi Tenma, bilamana kanak-kanak lelaki, bernama Johan yang diselamatkannya itu melarikan diri dari hospital dan sebenarnya merupakan individu yang bertanggungjawab dalam banyak kes pembunuhan bersiri. Melihat seorang demi seorang mati di tangan Johan, Tenma bertekad untuk menjejak Johan untuk menghentikan kegilaan ini. Sepanjang jejaknya, misteri yang menyelubungi kewujudan Johan dan kembarnya Anna, terungkai sedikit demi sedikit.

Menyentuh Perasaan

Manga ini jelas menekankan persoalan keadilan. Disamping persoalan lain seperti pengkhianatan, 'child brainwashing' dan lain-lain. Namun, ada beberapa halaman manga ini yang tidak perlu punya dialog yang panjang berjela, namun benar-benar menyentuh perasaan. Bilamana manusia itu, fitrahnya, mengharapkan penerimaan. Jemput baca.



Dalam halaman-halaman di atas, situasi menunjukkan bahawa dalam misi menjejak Johan, Dr. Tenma yang juga sedang diburu polis mengambil keputusan untuk belajar mengendalikan senjata api bagi tujuan melindungi diri juga berkemungkinan besar untuk membunuh Johan. Dan panel-panel seterusnya, tidak perlu sebarang ulasan lanjut. Cukup sahaja lukisan berbicara.

Suatu yang sangat menyegarkan, bilamana momen-momen yang menyentuh perasaan, sampai kepada pembaca secara 'natural' tanpa perlu dipaksa. Sekiranya anda juga biasa menonton drama Jepun, penulis tidak pasti sekiranya anda boleh bersetuju atau tidak, tetapi bagi penulis, ada banyak adegan yang mahu menyentuh emosi penonton yang kelihatan seolah dipaksa. Contohnya adegan bilamana watak utama mengatakan dialog seperti:

"Kita kenalah bersatu tidak kira dalam apa jua keadaan. Kerana, itulah nilai persahabatan. Masa muda tak boleh disiakan. Mari, kita berlari ke arah matahari terbenam!"

- Kata si hero atau heroin dengan nada bersemangat. Dengan iringan muzik yang sesuai. Kadang nak tergelak pun ada tengok.

Emosi yang dimanipulasi secara paksa, kurang meninggalkan kesan yang mendalam dalam diri pembaca/penonton. Lihat sahaja sebahagian iklan. Yang kadang tidak menarik langsung(iklan Petronas semestinya suatu pengecualian). Gagal memahami manusia, juga beerti gagal menyentuh emosi manusia.

Barangkali agak lari dari topik namun penulis merasakan bahawa, pautan yang ini, dari blog Cakna Anak Perantau sedikit sebanyak relevan dengan isu yang dibincangkan. Bagi kumpulan aktivis misi kemanusiaan umumnya. Bagaimana isu memperjuangkan golongan tertindas di Palestin, Syria, Rohingya, Afrika dll harus punya pendekatan yang berbeza. Jemput untuk baca andai ada kelapangan masa.


III. NARUTO - Masashi Kishimoto -



Sinopsis

Tak perlu kot penulis tulis. Popular sangat manga ni. Kalau tak tahu juga, mohon google.


Memandangkan penulis dah agak lama tidak mengikuti Naruto secara konsisten, maka di ruang ini, penulis hanya akan menyertakan 'caption' beserta halaman-halaman yang bersesuaian.

Erti Hidup



Hidup pastikan punya matlamat jelas. Agar bila tiba saat kematian, waktu hidup tidak sia-sia.

"The most important thing is to die for a cause." - Iruka -


Perjalanan Menuju Kematangan
Dari anak murid ke bakal guru!

Tanggungjawab


"I'm responsible for all of your lives." - Nara Shikamaru -


Psikologi Lelaki-Perempuan



Kelakar!


Persahabatan

:)


My Way of The Ninja

There's only one path that's right for you. Your very own!


Kesimpulan

Tulisan ini, moga-moga bermanfaat. Ada banyak sebenarnya judul-judul manga yang lain yang turut sarat dengan nilai dan pengajaran tersendiri. Namun penulis tidak menafikan, bahawa dalam kebanjiran judul-judul manga yang terdapat di pasaran, terdapat juga genre yang tidak sesuai buat bacaan semua juga yang punya grafik yang tidak senonoh. Maka di sini ingin penulis menyarankan melalui suatu analogi. Pisau. Pisau boleh diguna untuk memotong bawang. Juga untuk membunuh orang. Pilihan di tangan anda. Pembaca yang bijak, membaca bahan bacaan yang bukan sahaja menghiburkan, namun juga dapat memberi nilai tambah dalam diri.

Juga moga tercapai matlamat untuk mengajak rakan-rakan teman-teman untuk memperbaharu cara pandang dalam pembacaan manga. Hatta, membaca Doraemon sekalipun boleh jadi berbeza. Ya, nilai nostalgianya barangkali sama. Namun, moga-moga penilaian dan interpretasi, semakin matang seiring dengan pertambahan usia.


Rujukan tambahan:

Ulasan manga Silver Spoon.

Ulasan manga Monster.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...