Halaman

Rabu, 29 Oktober 2014

Kekejaman Yang Diterima


Jerman di bawah pimpinan Hitler adalah sebuah negara tidak sah. Walaupun pelbagai kekejaman dilakukan secara terbuka, tiada ataupun hanya sedikit sahaja yang menentang rejim tersebut. Persoalannya, kenapa?

Rejim Nazi mencapai kestabilannya dalam bulan pertama pemerintahan apabila mereka memusnahkan gerakan komunis, gerakan demokrasi sosial (Sozialdemokrat) dan kesatuan pekerja. Puluhan ribu dikurung di dalam penjara dan kem tahanan, ramai yang diseksa dan ribuan orang dibunuh. Walaupun kelihatan kurang kejam, namun turut berkesan adalah penindasan rejim tersebut ke atas parlimen, pentadbiran dan universiti. Rejim tersebut juga menubuhkan "Blockleiter" atau ketua blok. Ketua blok bertanggungjawab terhadap 40 hingga 60 buah rumah. Tugasan mereka ialah mengambil tahu tentang semua perkara. Ketua blok perlu campur tangan dalam setiap perkara. Untuk tujuan tersebut, ketua blok menyediakan satu fail tentang "isi rumah"nya. Siapa pergi ke persatuan mana, siapa menyumbang berapa banyak untuk derma tertentu, siapa yang sibuk pada hari tertentu dan siapa yang dilihat boleh dipercayai atau tidak, semuanya direkodkan dalam fail tersebut. Penubuhan ketua blok ialah alat pertama yang menyebarkan rasa seolah-olah mereka dikawal dan diperhati sepanjang masa dalam kalangan rakyat. Jiran, rakan sekerja, malahan kaum kerabat diperhatikan sebagai punca bahaya.




Semakin lama Hitler memerintah, semakin berjaya slogan Nazi iaitu "Volksgemeinschaft" atau komuniti nasional yang menyatakan, bahawa melalui penghapusan perbezaan kelas, mereka akan mendapat untung dari aspek ekonomi. Dan sememangnya program untuk menstabilkan kadar mata wang mereka yang diadakan pada masa itu telah menyediakan banyak peluang pekerjaan. Terdapat juga kelebihan sosial dan tawaran popular seperti program melancong "Kraft durch Freude" ("kekuatan melalui kegembiraan"). Sama ada kadar gaji ketika itu meningkat, ia masih lagi dipertikaikan, yang pasti, waktu bekerja menjadi semakin panjang. Sesetengah keperluan seperti kereta Volkswagen tetap tidak mampu dibeli bagi rakyat Jerman ketika itu. Slogan "Volksgemeinschaft" itu hanya kekal di dalam bayangan mereka sebagai satu utopia, di mana semua orang mempunyai tempat masing-masing di dalam masyarakat, dengan wujudnya perlindungan dari sebarang kecemasan dan "unsur asing" serta semua perkara berada dalam keadaan terkawal. Kemungkinan besar mereka ingin menerima sebuah negara autoritarian ialah kerana, sekurang-kurangnya ketika itu rakyat Jerman bersatu (secara kasarnya), kelihatan lancar dan ditadbir dengan penuh bertenaga.

Meskipun rejim Hitler melakukan pelbagai keganasan, namun majoriti rakyatnya menerima perbuatan tersebut, memalingkan muka mereka daripada kekejaman yang berlaku dan turut sama terlibat (dan apa yang menguntungkan mereka ialah, mereka turut mendapat hasil daripada rampasan dan lelongan harta golongan Yahudi). Lama kelamaan, rakyat Jerman menjadi semakin biasa dengan keadaan itu, dengan kekejaman terhadap golongan minoriti, lebih lebih lagi golongan Yahudi. Sebahagian ahli sejarah berpendapat, bagi rakyat Jerman ketika itu, hanya dengan penyisihan etnik ini barulah mereka dapat merasai "Volksgemeinschaft" yang ingin dicapai oleh rejim Nazi ketika itu. Mungkin juga rakyat Jerman ketika itu berpendapat bahawa semua itu boleh diterima memandangkan sejak tahun 20-an, demokrasi di negara-negara lain juga seperti Sepanyol, Poland dan Itali telah menjadi mangsa kepada diktator yang menggunakan slogan nasional dan rasis serta berkeinginan menjadi kuasa besar dunia.



Pada awalnya, Hitler telah berjaya menunjukkan kejayaan politik luar yang mengagumkan mereka yang skeptik terhadap ideologinya. Ketaksuban terhadap Hitler semakin meningkat dalam kalangan orang muda ketika itu. Semakin lama rejim tersebut memerintah, reaksi mereka menjadi semakin sensitif terhadap siapa sahaja yang melanggar peraturan, hinggakan mendengar musik Swing atau mendengar stesen radio asing sudah dikira sebagai satu kesalahan. Bukan itu sahaja, malah andainya seseorang "pesalah" itu melakukan kesalahan, seringkali ahli keluarga mereka juga turut ditahan atas alasan mereka berisiko mempunyai ideologi yang sama seperti "pesalah".

Golongan yang paling mungkin menamatkan kezaliman tersebut ialah tentera bersenjata atau "Wehrmacht". Pada awalnya, golongan tentera masih mempunyai kekuatan untuk menghentikan Hitler. Namun, mereka mendapat terlalu banyak kelebihan daripada pelan peperangan diktator tersebut. Tambahan pula, hampir kesemua jeneral ketika itu merasakan perkara seperti "menggulingkan kerajaan" dan "revolusi" perkara yang terlalu mengaibkan untuk dilakukan. Hal ini demikian kerana mereka mendapati matlamat Hitler untuk menjadi kuasa besar Eropah terlalu menarik untuk ditinggalkan.

Sehingga akhirnya, rakyat Jerman tidak melepaskan diri mereka dari cengkaman seorang pemerintah yang telah memesongkan mereka, malahan mereka menjadi sekutu pemerintah tersebut.



Bahagian di atas telah penulis terjemahkan secara kasar dan mengikut konteks daripada artikel bertajuk "Verführung und Gewalt" daripada Majalah GeoEpoche.

Penulis sendiri pernah bertanya hal ini kepada seorang rakan sekerja ketika penulis menjalani latihan praktikal di sebuah syarikat. Kata rakan tersebut, rakyat ketika itu menyokong Hitler kerana setelah parti Nazi memenangi pilihanraya pada 1933, sememangnya parti itu telah meningkatkan taraf ekonomi dan infrastruktur Jerman ketika itu. Oleh sebab itu, rakyat mereka seolah-olah diabui dengan kemajuan tersebut dan akhirnya menyokong pemerintahan Hitler. Rakan penulis kemudian mengingatkan agar tidak mudah ter"hutang budi" atau tertipu dengan sebarang kebaikan sesebuah organisasi. Berikan kredit jika benar pihak itu melakukan kebaikan, tetapi kita juga harus menegur atau menentang sekiranya mereka melakukan kezaliman.

Annas Alias, 5.10.2014

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...