Halaman

Rabu, 29 Oktober 2014

Kelahiran bahasa isyarat Nicaragua


Bahasa isyarat Nicaragua yang dinamakan Idioma de Señas de Nicaragua (ISN) ialah satu bahasa yang agak baru. Ia tidak wujud sebelum 1980. Sebelum revolusi yang berlaku di Nicaragua pada tahun 1979, kanak-kanak pekak Nicaragua hidup terasing daripada mereka yang mempunyai kekurangan yang sama. Kerana ketiadaan hubungan antara satu sama lain, populasi pekak Nicaragua tidak mempunyai kondisi yang sesuai bagi membenarkan perkembangan bahasa isyarat yang tersendiri.

Setelah revolusi tersebut, Nicaragua melihat kelahiran bahasa isyaratnya yang pertama. Kerajaan Nicaragua akhirnya mengambil langkah untuk memperbaik kualiti kehidupan populasi pekak. Pada tahun 1980, sebuah sekolah bernama Villa Libertad telah ditubuhkan di Managua untuk mengajar kanak-kanak pekak untuk membaca bibir dan bercakap bahasa Sepanyol (bahasa rasmi Nicaragua). Akan tetapi, hasilnya tidak seperti yang dimahukan. Cubaan untuk memaksa kanak-kanak ini untuk bercakap menggunakan sistem yang asing ini gagal, kerana mereka gagal untuk memahami konsep-konsep yang mendasari perkataan-perkataan Sepanyol. Keadaan tidak dibantu oleh komunikasi yang sangat terhad antara murid dan guru, yang hanya mengisyarat menggunakan sistem ejaan untuk mengeja perkataan-perkataan Sepanyol.


Gambar menunjukkan perkataan Sepanyol feliz (bahagia) seperti yang dieja oleh bahasa isyarat. Perkataan-perkataan yang mewakili objek yang boleh dilihat oleh mata mungkin mudah untuk difahami, seperti gato (kucing). Tapi untuk menyampaikan maksud bagi konsep-konsep abstrak seperti kebahagiaan, mengeja perkataan sahaja tidak mencukupi.


Tapi kegagalan ini hanya kepada kakitangan yang menilai kanak-kanak ini menggunakan bahasa Sepanyol sebagai ukuran. Lain pula bagi para murid Villa Libertad ini, yang tidak melihat kepentingan bahasa Sepanyol dalam komunikasi sesama mereka. Melalui interaksi mereka di taman permainan, jalanan dan juga di dalam bas sekolah yang mereka ambil untuk pergi dan pulang dari sekolah, mereka telah mewujudkan sistem komunikasi mereka yang tersendiri. Dengan mengumpul pelbagai sistem yang dulunya mereka gunakan untuk bercakap dengan keluarga mereka sendiri, mereka mewujudkan satu pijin* yang boleh digunakan oleh mereka semua. Pijin ini dinamakan Lenguaje de Signos Nicaragüense (LSN). Akan tetapi, kerana LSN ialah satu pijin, maka kanak-kanak ini selalunya berisyarat dengan cara yang tersendiri dan tidak sistematik. Mereka banyak bergantung kepada mimikan dan penggunaan perkataan yang banyak untuk menerangkan konsep yang sukar atau samar. Selain daripada itu LSN tidak mempunyai tatabahasa yang konsisten.

Tetapi perkembangan LSN tidak terhenti setakat itu. Generasi baru yang tidak terlibat secara langsung dalam penciptaan LSN, tapi yang masuk ke Villa Libertad setelah penciptaannya telah membawa LSN ke tahap kompleksiti yang lebih tinggi. Begitu ketara perbezaan penggunaan LSN oleh generasi baru ini, sehingga kakitangan Villa Libertad menyangkakan yang kanak-kanak muda ini hanya menggunakan mimik. Kerana gagal untuk memahami apa yang dikatakan oleh kanak-kanak ini, bantuan luar telah diperlukan dan dan kementerian pendidikan Nicaragua telah menghubungi ahli linguistik Judy Kegl untuk menganalisis “bahasa mimik” yang digunakan oleh kanak-kanak Villa Libertad. Beliau akhirnya menyimpulkan bahawa bahasa ini dibina menggunakan LSN sebagai asas, akan tetapi sangat berbeza dengan LSN sehingga ia diklasifikasikan sebagai sebuah bahasa baru, yang dipanggil Idioma de Señas de Nicaragua (ISN). Bahasa ini dikategorikan dalam bahasa kreol, iaitu sebuah bahasa yang lahir daripada pijin. ISN dicirikan dengan kekayaan ekspresi dan perincian tatabahasa yang tidak wujud dalam LSN. ISN juga mempunyai struktur tatabahasa yang seragam. Dari segi pengisyaratan, ISN lebih lancar dan padat.

ISN memberikan para pengkaji bahasa satu pemerhatian yang sangat berharga. Bukan sahaja sebuah bahasa yang dulunya tidak wujud telah dicipta, malah ciptaannya telah dilakukan oleh kanak-kanak. Di sini kita boleh perhatikan yang kanak-kanak mempunyai keupayaan untuk mempelajari dan mencipta bahasa yang tersendiri, tanpa adanya campur tangan daripada pihak atasan yang mempunyai pendidikan formal dalam sintaks. Pemerhatian ini digunakan oleh saintis kognitif Steven Pinker di dalam bukunya “The Language Instinct” untuk menyokong ideanya yang bahasa ialah kebolehan intrinsik manusia, ataupun naluri. Pinker membuat perbandingan naluri bahasa ini dengan naluri labah-labah yang membina sarang dan beaver yang membina empangan. Bagi pemerhati luar, seekor labah-labah seakan-akan pakar geometri dan binaan yang mampu untuk membina sarang yang paling efektif dengan menggunakan bahan yang paling sedikit. Akan tetapi, labah-labah itu sendiri tidak menyedari yang kemahirannya adalah sesuatu yang luar biasa. Baginya, tiada cara lain untuk membina sarangnya. (Dah memang begitulah cara membina sarang. Ada cara yang lainkah?) Dengan menggunakan analogi ini, Pinker cuba untuk mengatakan bahawa bahasa ialah sesuatu yang manusia mampu gunakan tanpa memerlukan kesedaran tentang kemampuan mereka untuk berbahasa.

*Dalam linguistik, pijin ialah istilah yang digunakan bagi satu bahasa rekaan baru yang digunakan oleh penutur dari pelbagai bahasa ibunda sebagai bahasa pengantar. Pijin biasanya dicirikan dengan tatabahasa yang sangat asas.

Shakir Zainuddin, 22.6.2014

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...