Halaman

Rabu, 29 Oktober 2014

Behaviourism


Menjelang awal kurun ke 20, ramai ahli psikologi telah membuat kesimpulan bahawa minda manusia tidak dapat dikaji dengan sepenuhnya melalui kajian berbentuk introspektif, dan mula mencadangkan untuk mengkaji minda melalui tingkah laku yang terhasil dari eksperimen yang dijalankan di makmal.

John Watson bukanlah yang pertama yang menganjurkan untuk mengambil pendekatan behaviorist secara sepenuhnya, tetapi dia adalah yang paling jelas dalam berbuat begitu. Di dalam kerjayanya yang pendek kerana masalah rumahtangganya, dia telah menjadi ahli psikologi paling berpengaruh dan paling kontroversi dalam kurun ke 20. Melalui hasil kerjanya tentang teori 'pembelajaran secara rangsangan-tindakbalas' (bahasa inggeris: stimulus-response) yang dimulakan asalnya oleh Thorndike, dia kemudiannya dianggap sebagai pengasas kepada behaviorism , dan dialah yang telah mempopularkan istilah tersebut. Dalam ucapannya pada tahun 1913, Psychology as the Behaviorist Views It, dia telah menampilkan satu idea revolusi bahawa, "Kajian psikologi saintifik yang sebenar akan mengetepikan sebarang sebutan mengenai keadaan mental...dan sebaliknya akan memberikan fokus kepada ramalan dan kawalan kepada tingkah laku". Ucapannya ini kemudiannya dikenali oleh ahli psikologi sebagai "behaviorist manifesto".


Sebelum kajian Watson di Universiti John Hopkins, di Baltimore, Maryland, majoriti eksperimen mengenai tingkah laku menumpukan perhatian kepada tindak tanduk haiwan dan hasilnya akan dipanjangkan dan dikaitkan kepada tingkah laku manusia. Watson sendiri mengkaji tentang tikus dan monyet untuk sijil kedoktorannya tetapi (mungkin kerana dipengaruhi keterlibatannya dengan ketenteraan dalam Perang Dunia Pertama) lebih berminat untuk menjalankan eksperimennya dengan menggunakan manusia sebenar sebagai bahan uji kaji. Dia ingin mengkaji model rangsangan-tindak balas pelaziman klasik (bahasa inggeris: classical conditioning) dan bagaimana ia diaplikasikan kepada ramalan dan kawalan tingkah laku manusia. Dia percaya bahawa manusia mempunyai 3 emosi fundamental - takut, marah dan cinta - dan dia ingin mengetahui sama ada seseorang boleh dipaksa untuk mempamerkan emosi tersebut sebagai tindak balas kepada sesuatu rangsangan.

Si Bayi Albert

Bersama pembantunya, Rosalie Rayner, Watson memulakan siri eksperimen melibatkan "Albert B", bayi yang berusia 9 bulan yang dipilih dari hospital tempatan. Eksperimennya dirancang untuk melihat sama ada ianya mungkin untuk mengajar seorang bayi untuk takut kepada seekor haiwan dengan cara berulang kali membawakan haiwan tersebut serentak dengan membunyikan sesuatu yang bising dan menakutkan. Watson juga ingin mengkaji sama ada perasaan takut itu akan beralih kepada binatang lain atau objek lain; dan berapa lama perasaan takut ini akan kekal dalam diri bayi itu. Pada masa kini, cara Watson itu akan dianggap tidak beretika, malahan kejam, tetapi pada masa itu ia dilihat sebagai satu langkah yang logik sebagai penyambungan yang biasa kepada kajian yang menggunakan haiwan sebelumnya.

Disclaimer: This is not Albert.


Dalam eksperimennya itu, yang kini dikenali sebagai "eksperimen si bayi Albert", Watson meletakkan Albert yang sihat, tetapi "tidak beremosi" di atas sebuah tilam dan memerhatikan reaksinya apabila dibawakan anjing, tikus putih, arnab, monyet dan beberapa objek seperti topeng manusia dan kertas yang sedang terbakar. Albert tidak menunjukkan sebarang rasa takut terhadap binatang-binatang serta objek tersebut, malahan cuba untuk menyentuhnya. Pada tahap ini, Watson telah meletakkan satu standard, di mana dia dapat mengukur sebarang perubahan pada tingkah laku bayi tersebut (dengan perbandingan kepada tingkah lakunya yang asal).

Pada waktu yang lain, ketika Albert duduk dia atas katilnya, Watson memukul satu batang besi dengan tukul menghasilkan bunyi yang kuat dan menakutkan; seperti dijangkakan, Albert menjadi takut lalu menangis. Watson telah menetapkan bunyi bising itu sebagai satu rangsangan tidak meng'keadaan' yang menimbulkan rasa takut dalam diri Albert. Dengan membawakan seekor tikus bersekali dengan membunyikan bunyi bising itu, beliau membuat hipotesis yang dia dapat meng'keadaan'kan Albert untuk takut kepada tikus itu.

Apabila Albert berusia lebih sedikit daripada 11 bulan, Watson menjalankan eksperimen tersebut. Tikus putih itu diletakkan di atas katil bersama Albert, dan apabila Albert menyentuh tikus itu, Watson memukul batang besi menggunakan tukul. Hasilnya, bayi itu menangis. Prosedur ini diulang 7 kali pada 2 sesi, di mana sesi kedua dijalankan selang seminggu selepas sesi pertama, di mana selepas itu, Albert menjadi takut sebaik sahaja tikus itu dibawa masuk ke dalam bilik, walaupun tidak disertai dengan sebarang bunyi bising. Dengan berulang kali membawakan tikus diiringi dengan bunyi bising itu, Watson menggunakan pelaziman klasik seperti Pavlov dengan anjingnya. Respon asal bayi itu kepada bunyi bising  -perasaan takut-  kini telah dikaitkan dengan tikus. Albert telah di'keadaan'kan untuk menjadi takut akan tikus.

Tikus putih digunakan dalam eksperimen 'si bayi Albert'.


Walaubagaimanapun, pelaziman ini memberi kesan yang lebih jauh sekadar takut akan tikus putih, dan kesannya juga jauh daripada bersifat sementara. Untuk mengkaji sama ada perasaan takut Albert itu digeneralisasikan, atau merebak terhadap objek lain yang bersifat serupa, dia dibawakan kepada objek putih dan berbulu -antaranya arnab, anjing dan kot kulit biri-biri-, 5 hari selepas eksperimen asal. Albert menunjukkan rasa takut dan tertekan yang sama seperti ketika dibawakan tikus tersebut.

Melalui eksperimen ini, Watson menunjukkan yang emosi manusia tertakluk kepada pelaziman klasik. Watson menemukan yang tingkah laku manusia bukan sekadar boleh dijangka -melalui rangsangan dan keadaan tertentu- malahan boleh dikawal dan diboleh ubah. Tinjauan selanjutnya terhadap reaksi Albert kepada tikus, arnab dan anjing mencadangkan bahawa pelaziman ini memberi kesan jangka panjang tetapi tidak dapat dibuktikan kerana Albert selepas itu dikeluarkan daripada hospital. Sesetengah pihak mengatakan Albert dikeluarkan kerana ibunya bimbang (dengan keadaan anaknya), namun mengikut Watson dan Rayner, Albert memang telah diaturkan (untuk keluar hospital) sebelum itu lagi.

Boleh dilentur sepenuhnya

Kerana tidak berkesempatan (Watson kemudiannya dipaksa berhenti daripada menjadi ahli akademik) untuk membuktikan yang ia adalah mungkin untuk meng'keadaan'kan emosi seseorang, Watson dengan bangganya menyatakan bahawa dengan prinsip yang sama, ia adalah mungkin untuk mengawal atau mengubah hampir sebarang aspek dari tingkah laku manusia, tidak kira sekompleks mana. Seperti mana Albert telah di'keadaan'kan untuk menjadi takut akan objek yang putih dan berbulu, walaupun pada dasarnya tidak semuanya berbahaya, Watson percaya yang "Sesiapa sahaja, tanpa mengirakan asal usulnya, boleh dilatih untuk menjadi apa sahaja". Bahkan dia menyatakan di dalam bukunya Behaviorism: "Berikan aku beberapa orang bayi yang sihat dan ruang untuk aku membesarkan mereka dengan cara aku sendiri, dan aku jamin yang aku dapat melatihnya untuk menjadi pakar dalam sebarang bidang yang aku ingini -doktor, peguam, artis, ahli bisnes, dan ya, bahkan peminta sedekah dan pencuri, tanpa mengira bakat, minat, kecenderungan, kebolehan, kerjaya dan kaum nenek moyangnya". Di dalam persoalan "nature versus nurture", Watson tidak dapat disangkal lagi berada pada sisi nurture.

Dipetik dan diterjemahkan daripada buku "The Psychology Book".

Bagi penulis, anggapan Watson yang seorang budak itu seperti kain putih sememangnya ada benarnya. Apa yang dialami sewaktu seorang kanak-kanak itu membesar akan mempengaruhi personalitinya seperti tingkah laku, cara berfikir dan juga kepercayaannya. Penulis melihat sendiri perkara ini, di mana di kampung halaman penulis, seorang kenalan yang pada usia mudanya cemerlang dalam pelajaran, tapi kerana sering diejek dan diperkecil oleh ahli keluarganya, akhirnya hilang keyakinan diri dan tidak dapat lulus dari universiti dan kini tidak mempunyai sebarang pekerjaan. Memang schade. Walaupun cliche, tetapi sememangnya ibu bapa memainkan peranan penting dalam mendidik anak-anak. Seperti sabda nabi Muhammad s.a.w.

Daripada Abu Hurairah r.a., katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda, "Setiap anak dilahirkan di dalam fitrah. Ibu bapanya lah yang membuatnya menjadi seorang Yahudi, Nasrani ataupun Majusi." (Riwayat Muslim)

Walaupun begitu, idea Watson dalam mendidik anak secara objektif dan meninggalkan sisi emosi sehinggakan memandang anak itu sebagai objek sudah pasti satu idea yang ekstrem. Yang mengejutkan, idea ini diadaptasi untuk masa yang singkat di Amerika sekitar 20-an hingga 30-an. Hal ini demikian kerana mereka menganggap idea Watson itu ada betulnya, dimana, persekitaran membentuk anak dan ibu bapalah yang boleh membentuk persekitaran tersebut (walaupun tidak semua). Penulis berpendapat, mendidik anak pada masa akan datang akan menjadi lebih mencabar kerana hampir kebanyakan keluarga pada masa sekarang, kedua-dua ibu dan bapa bekerjaya, dan anak-anak pula semakin banyak menghabiskan masa bersama rakan-rakan mereka, ditambah lagi dengan arus teknologi yang pada pendapat penulis banyak membawa keburukan berbanding kebaikan, akhirnya, menyebabkan hubungan kekeluargaan menjadi semakin renggang dan banyak lagi masalah-masalah lain.

Antara persoalan yang ingin penulis bangkitkan di sini untuk sama-sama kita fikirkan ialah adakah ibu bapa berhak menentukan kerjaya/ bidang pembelajaran anak-anak mereka? Selain itu, setiap daripada kita juga sudah harus bersedia dengan cara mendidik anak-anak mulai sekarang agar tidak tergopoh gapah hendak mencari panduan mendidik anak hanya apabila anak sudah dilahirkan nanti. Antara buku yang baik untuk mendidik anak (dalam kerangka Islam) yang penulis tahu ialah Tarbiyatul Aulad tulisan Dr. Abdullah Nasih Ulwan. Diharapkan penulisan ini bermanfaat. Sebarang teguran dan kritikan sangat dialu-alukan. Sekian, terima kasih.


Epilog:

Memandangkan tulisan asal artikel ini adalah dalam bahasa inggeris ditambah dengan kekurangan penulis dalam bidang bahasa, penulis mendapati beberapa perkataan sukar untuk diterjemah atau terjemahannya tidak boleh diterjemah eins-zu-eins. Oleh itu, penulis menerangkan terlebih dahulu beberapa perkataan tersebut.

1. Pelaziman (asal: conditioning) = Proses membentuk respon/keadaan seseorang dengan menetapkan beberapa parameter tertentu. 

2. Behaviorist = Ahli psikologi yang mengkaji tingkah laku manusia dan menilainya secara kuantiti dan mengabaikan aspek abstrak lain seperti emosi

3. Behaviorism = Kajian mengenai tindak tanduk manusia yang dapat dinilai dan diperhatikan dengan mengetepikan aspek aspek subjektif yang menyebabkannya

4. Rangsangan tidak meng'keadaan' (asal: unconditioned stimulus) = rangsangan yang digunakan bukan untuk menghasilkan keadaan yang diingini dalam proses conditioning

Memandangkan penulis hanyalah seorang pelajar jurusan kejuruteraan, terjemahan ini pastinya bukan terjemahan sebenar yang diambil dari DBP. Terjemahan tersebut hanyalah untuk tujuan penulisan ini. Sebarang penggunaan kemudian adalah atas tanggungjawab sendiri.

Annas Alias, 25.5.2014

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...