“Simpan dulu semangat revolusi kau Sasuke. Sekalipun
aku tahu mereka yang mengarahkan supaya dibawa kereta perisai dan askar
bersenjata mengepung dan membunuh penduduk kampong Uchiha dulu secara
beramai-ramai, tetapi revolusi bukanlah caranya demi untuk kepentingan penduduk
Konoha. Apa yang terhasil dari revolusi mungkin menyebabkan penduduk lebih
sengsara berbanding memiliki penguasa dan anjing yang korup.”
“Itu kata kau Naruto. Tetapi sudah berapa
lama kita hidup sebegini? Konoha yang sudah lama ditubuhkan sepatutnya sekarang
menghasilkan rakyat yang kalau tidak bijak pun cukup sedar untuk menolak
penyelewengan pemerintah dan tidak berkompromi dengan korupsi. Aku
tertanya-tanya adakah rakyat Konoha sudah lali atau persoalan melibatkan
integriti tidak penting.”
“Aku juga melihat sedemikian. Kelihatan
wujud satu kesengajaan oleh pemerintah untuk membodohkan rakyat Konoha untuk
tidak lagi mendokong nilai-nilai murni seperti keadilan, kebenaran, menolak
kepalsuan dan kezaliman. Kesengajaan ini penting untuk mereka kekal di tampuk
kuasa. Aku juga tidak selesa melihat rakyat leka hidup dalam keamanan palsu
sebegini. Tetapi aku melihat perubahan itu perlu, walaupun perlahan penting
untuk kita bermula membangunkan masyarakat sivil terlebih dahulu. Revolusi
mungkin cepat, tetapi ke mana akhirnya sukar di jangka. Lihat sahaja apa yang berlaku di Tsunagakure di
Timur Tengah. Kestabilan negara mereka kian merudum selepas kudeta pasca
revolusi.“
“Engkau masih
ingat kisah Hang Tuah-Hang Jebat dari alam Melayu Naruto?”
“Rasanya pernah
dengar. Silibus di akademi dulukah?”
“Mungkin ketika
kecil kita biasa menonton kisah Hang Tuah lakonan Tan Sri P. Ramlee, ataupun
mendengar cerita hasil dari Hikayat Hang Tuah versi Dewan Bahasa dan Pustaka
selenggaraan Kassim Ahmad atau Hikayat Hang Tuah Pahlawan Melayu karya Syed
Alwi al-Hady. Aku akui, Hang Tuah
menjadi inspirasi kepada aku terutama melalui konsep keperwiraan dan kecintaan
pada tanah air.“
Naruto terus
khusyuk mendengar.
“Tetapi wujud
juga beberapa karya lain seperti Hang Jebat Menderhaka karya Ali Aziz dan
Matinya Seorang Pahlawan oleh Usman Awang. Karya-karya ini merupakan hasil
penelitian masyarakat bahawa disamping perlunya untuk kita memiliki kecintaan kepada
tanah air, kita juga harus berpegang pada prinsip keadilan dan kebenaran.
Karya-kaya ini meruntuhkan mitos dan lagenda Hang Tuah, dengan menempatkan Hang
Jebat sebagai wira sekali gus menolak pemikiran yang ditonjolkan Hang Tuah.
Seperti mana bangsa melayu, penduduk Konoha juga memiliki daulat yang sama;
raja adil raja disembah, raja zalim raja disanggah. Kerana daulat dan maruah
ini juga setia kita bersyarat, derhaka kita bersebab.”
“Tidak kusangka
kau begitu mendalami sejarah banga Melayu Sasuke. Apa yang aku faham dan lihat
dari cerita kau tadi jika diterjemahkan pada konteks kenegaraan sepertinya raja
diwakili oleh golongan penguasa dan golongan berpengaruh dalam masyarakat yang
gagal membawa kemakmuran dan kedamaian dalam negara manakala Jebat diwakili
oleh mereka yang menentang kezaliman tersebut.“
“Benar Naruto.
Sebab utama Usman Awang mengangkat Jebat sebagai pahlawan mungkin sekali
berasal dari tradisi mengangkat wira yang berani menegakkan kebenaran. Usman
Awang juga dengan sengaja meletakkan Hang Jebat sebagai pahlawan dan bukannya
pendekar.“
Sasuke dan Naruto
termenung panjang. Cuma kedengaran bunyi angin dan daun yang berguguran. Tidak
mungkin Jebat menderhaka kalau tidak kerana kezaliman pemerintah. Pemerntah
tentu tidak akan diderhakai kalau dia mendengar suara rakyat. Rakyat tidak akan
menderhaka jika sultan sendiri tidak menderhaka secara berleluasa terlebih
dahulu. Bukankah rakyat Melayu itu sangat berpegang dengan adat dan setianya
pada sultan. Itu Naruto cukup sedar apabila isi Sejarah Melayu atau Sulalatus
Salatin kembali menerjah di kepala. Dia yakin, Sasuke juga teringatkan perkara
yang sama.
Dan kezaliman raja amat jelas terserlah dalam masa pemerintahan Sultan
Mahmud, seorang raja yang dianggap cukup zalim dan kejam. Baginda yang
mementingkan nafsu bukan sahaja sanggup menodai isteri Tun Biajid yang amat
setia kepadanya, tetapi juga sanggup membunuh Tun Mutahir semata-mata untuk
mendapatkan Tun Fatimah.
Maka Tun Biajid pun tahu Sultan Mahmud bermain
dengan isterinya. Kalau hendak dibunuh pada masa itu dapat kerana tiada berapa
orang yang mengiringinya, daripada hamba Melayu tiada mahu ia mengubah
setianya, sekadar ditimang-timang lembingnya.
(Sejarah Melayu, 1981 :hlm. 143)
“Tetapi Sasuke, ingatkah kau pada kisah Tengku Muhammad Putera Mahkota
Sultan Mansur Syah yang dastarnya terkena bola sepak raga yang disepak Tun
Besar, Anak Bendahara Tun Perak. Tengku Muhammad kemudiannya cepat menghunus
keris membunuh Tun Besar. Pengikut-pengikut Bendahara Tun Perak cuba menentang
perbuatan Tengku Muhammad, Putera Sultan Mansur Syah yang telah membunuh Tun
Besar. Tetapi mereka ditahan oleh Bendahara dengan berkata,
‘Hai! Hai! Hendak derhakakah kamu sekalian, ke
Bukit? Hendak derhakakah? Cis kamu sekalian, cis, kerana tiada adat, hamba
Melayu tiada pernah derhaka.‘
(Ibid
; hlm. 149)
Rakyat kemudiannya bertindak dengan memprotes Tengku Muhammad daripada
ditabalkan menjadi Sultan Melaka kerana rakyat sendiri tidak mahu menabalkan
anak raja yang zalim, mentang-mentang anak raja senang-senang sahaja
bermaharajalela sebagai sultan. Sultan Mansur Syah akur dengan kehendak rakyat
dengan tidak menabalkan putera kesayangannya sebagai sultan.
‘Celaka engkau wahai
Muhammad. Apakan daya aku engkau ditolak bumi Melaka.’
Bukankah peristiwa ini menolak keadilan ditegakkan melalui cara pantas
seperti revolusi seperti ditunjukkan oleh Bendahara Tun Perak yang melarang
pengikutnya dari membalas dendam terhadap Putera Mahkota sekalipun anaknya
sendiri dizalimi. Dan akhirnya Tengku Muhammad ditolak sendiri oleh rakyat
Melaka secara demokrasi.“
Sasuke mengangguk setuju.
“Kesetiaan Melayu kepada raja bukanlah kesetiaan membuta tuli. Sebelum ini
kita telah menolak teori simplistik bahawa proses Islamisasi yang berlaku di
alam Melayu berlaku kerana ikutkan sultan kerana ini menggambarkan Melayu
sebagai bangsa tidak berotak dan pada masa yang sama menunjukkan Islam tiada
nilai dan daya tarikan kerana menurut teori ini bangsa Melayu memeluk Islam
kerana raja, bukan kerana Islam. Melayu tertarik pada Islam kerana Islam datang
sebagai agama yang menjanjikan maruah dan ketinggian martabat keinsanan kepada
masyarakat Melayu yang tertindas dan terhina di dalam sistem feudal. Dengan
kata lain, kedatangan Islamkah yang memberi martabat keinsanan kepada Melayu
seterusnya melahirkan keberanian untuk bersikap raja adil raja disembah, raja
zalim raja disanggah.“
Sasuke turut teringatkan episod lain sewaktu Sultan Mahmud mengarah
petandanya membunuh Bendahara Tun Mutahir, Sri Nara Diraja, Tun Hassan Temenggung
dan Tun Ali. Pengikut-pengikut Bendahara cuba menentang arahan sultan. Tetapi
jawab Bendahara,
‘Hei Hassan, hendak membinasakan nama orang
tua-tua kitakah? Kerana adat Melayu, tiada pernah derhaka.‘“
(Ibid.
Hlm. 262)
“Tapi selama mana harus diredhai kezaliman yang berlaku kini? Pemerintah
sekarang bukan lagi seperti Sultan Mansur Syah dulu. Sultan Masur Syah
mendengar suara rakyat, tetapi pemerintah sekarang hanya mengikut telunjuknya
sendiri. Seperti tiada undang-undang yang mampu mengadili pemerintah sekarang. Ini
yang patut kita ubah Naruto. Ucapan derhaka hanya akan kedengaran setiap kali
apabila timbul suasana seorang rakyat cuba menentang pemerintahnya. Apa sahaja
yang berkaitan dengan unsur penentangan terhadap pemerintah, termasuk niat
untuk menentangnya dianggap sebagai menderhaka. Sang Rajuna Tapa di Singapura
membuka pintu kepada Raja Iskandar Syah. Jebat yang bermaharajalela untuk
keadilan, engkau cap derhaka Tuah, Bendahara dan Laksamana yang cuba menghalang
Raja Tua dianggap cuba menderhaka. Malah Seri Nara Diraja sendiri pernah
mengaku dirinya akan menderhaka jika Sultan Mahmud enggan santap makanan yang
sedia terhidang, lebih awal dicap sebagai penderhaka. Maka tiada juga baginda
santap, maka kata Seri Nara Diraja ‘ Marilah santap, jikalau tuanku tiada
mendengar sembah patik, tuanku patik amuk; sekali inilah Melayu derhaka!’”
“Natijahnya, sampai bila rakyat yang cuba melanggar kedaulatan seorang raja
harus dianggap sebagai menderhaka walaupun terkadang ia dilindungi oleh niat baik
dan mahu membetulkan kesalahan pemerintah.”
Naruto terus mendiamkan diri, cuba mencantumkan hujah Sasuka di kepalanya.
“Jangan salahkan sesiapa, gejala ini sebenarnya berasal-usulkan sejarah
perjanjian yang termeterai antara Sang Sipurba yang berdiri bagi pihak raja dan
Demang Lebar Daun yang mewakili rakyat. Telah ditetapkan bahawa mana-mana pihak
yang mengingkari perjanjian ini maka,
‘….dibalikkan Allah bumbungnya ke bawah, kaki
tiangnya ke atas.’
(Ibid,
hlm. 26)
“Apa yang kau sebut mengingatkan aku pada waadat atau kontrak sosial sultan
dan hamba Melayu yang dibuat antara Sri Tri Buana dengan Demang Lebar Daun.
Titah baginda,
‘barang siapa hamba Melayu derhaka mengubah
perjanjian, dibalikkan Allah bumbung rumahnya ke bawah kaki ke atas.“
Maka sembah Demang Lebar Daun,
‘Jikalau raja Melayu itu mengubah perjanjian
dengan hamba Melayu, dibinasakan Allah negerinya dan takhta kerajaannya.‘
Itulah dianugerahkan Allah Subhannahuwataala pada
segala raja-raja Melayu yang tiada pernah memberi aib kepada segala hamba
Melayu, jikalau sebesar mana sekalipun dosanya, tiada diikat dan tiada
digantung. Difadihatkan(dinistakan/diaibkan) dengan kata-kata yang keji hingga
sampai pada hukum mati, dibunuhnya. Jikalau ada seorang raja-raja Melayu itu
memberi aib kepada seorang hamba Melayu, alamat negerinya akan binasa.‘“
“Aku pun tak tahu Naruto. Aku bukan mahu mendahului Allah S.W.T., tetapi
pada aku sepatutnya sultan atau pemerintah yang memalukan hamba Melayu atau
rakyatnya itu wajar diterbalikkan bumbung istana ke bawah kaki ke atas.”
Kedua-dua mereka tertawa, seolah-olah tahu apa yang bermain di fikiran
sesama mereka tanpa perlu diungkapkan melalui kata-kata.
“Jom ke Ichiraku Sasuke. Kau belanja.“
Tiada ulasan:
Catat Ulasan