Halaman

Rabu, 29 Oktober 2014

Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) III: GST Menindas?



Saya banyak melihat orang ramai memberi komen, GST akan membebankan ramai rakyat terutama rakyat  miskin dan golongan sederhana. Barang berkadar sifar seperti beras akan dinikmati oleh yang kaya dan miskin. Barang yang dikenakan GST seperti ubat gigi akan dikenakan kepada yang kaya dan miskin. Pukul rata kesannya. Tetapi perlu diingat golongan kaya masih memiliki kuasa beli yang lebih tinggi berbanding  golongan miskin dan secara asasnya mereka akan membayar lebih banyak cukai jika berbelanja lebih.



Saya kurang setuju jika golongan miskin hendak berbelanja seperti golongan kaya. Di luar sana terdapat kategori barang yang disebut sebagai keperluan dan kehendak. Barang keperluan asas seperti beras, minyak masak, ayam, gula dll diletakkan di bawah pembekalan berkadar sifar atau pembekalan  dikecualikan, yakni tiada cukai dikenakan secara mudahnya (cukai 0% atau dikecualikan cukai). Dan saya  tidak rasa telefon pintar yang mahal satu keperluan, begitu juga ASTRO bukan satu keperluan (walaupun tidak dikenakan cukai).



Masalah yang timbul hanyalah sikap golongan miskin yang ingin berbelanja seperti golongan kaya. GST secara asasnya tidaklah menindas golongan miskin, tetapi golongan miskin yang mempunyai tabiat berbelanja yang tidak sepadan dengan taraf ekonomi hidup mungkin rasa tertindas. SST yang dikenakan sebelum ini mungkin kelihatan lebih menindas untuk golongan miskin. Katakanlah GST  dikenakan pada kadar 6%;
1. Makanan asasi akan turun dari 5% ke 0%.       
2. Makanan lain akan turun dari 10% ke 6%.    
3. Buah-buahan dan barang binaan akan naik dari 5% ke 6%. 
4. Untuk barang lain kecuali produk tembakau dan alkohol akan turun 10% ke 6%.      
5. Buku dan petrol, tiada cukai sejak era SST dan mengandaikan juga tiada pada era GST.    
6. Perkhidmatan, 6% ke 6%. (tiada kenaikan).

Sumber:econsmalaysia.blogspot, data dari tahun 2013.

Jadi apa yang kita jangka sebagai kenaikan harga barang, mungkin sekali penurunan harga barang kecuali  jika peniaga masih berkeras menaikkan margin keuntungan dan menjual dengan harga lama dengan untung lebih. Maka di sini perlunya penguatkuasaan dari kerajaan supaya peniaga tidak menaikkan harga sesuka  hati.

Hakikatnya, penurunan cukai bukanlah penyebab peniaga untuk menurunkan harga barang dan kemungkinan mereka akan mengekalkan harga barang seperti dalam sistem SST kerana memang wujud trend dimana peniaga tidak mahu turunkan harga barang (dengan menaikkan margin keuntungan) jika cukai diturunkan, tetapi menaikkan harga serta merta apabila kadar cukai meningkat. Paling teruk yang akan berlaku dalam kes ini ialah harga barang kekal tidak berubah. Mungkin penurunan harga akan berlaku dalam kategori barang yang diklasifikasikan di bawah pembekalan berkadar sifar kerana penurunan kadar cukai agak tinggi (5%).



Apabila kerajaan mengatakan hasil kutipan cukai akan meningkat bukanlah bermaksud peningkatan adalah hasil dari memerah duit dari golongan miskin yang selama ini merasakan diri mereka lari dari cukai tetapi peningkatan hasil cukai berpunca dari beberapa faktor:

1. Seperti yang dijelaskan dalam artikel bahagian pertama, mekanisme rebat cukai akan menggalakkan ramai peniaga atau syarikat untuk mendaftarkan diri secara sukarela dalam GST walaupun terdapat kadar minima yang memerlukan mereka mendaftar dalam GST. Itu salah satu kelebihan GST, yakni self-collect. Semakin ramai yang mendaftar bermakna semakin banyak kutipan cukai.    
2. Cukai kepenggunaan seperti GST akan turun melibatkan mereka yang selama ini terlibat dalam ekonomi bayangan (bukan pasaran gelap), iaitu sektor ekonomi yang tidak mampu diaudit kerajaan kerana saiz yang kecil dan jarang dikenakan cukai pendapatan serta tidak berasa terpanggil untuk melaporkan pendapatan mereka. Satu sektor tambahan untuk kutipan cukai.
3. Cukai kepenggunaan mengikut tabiat berbelanja pengguna, mereka yang memiliki kuasa membeli yang tinggi selalunya akan lebih banyak berbelanja, jadi membayar lebih GST.
4. Sistem kutipan cukai yang lebih efisyen kerana mengenakan cukai pada tahap aktiviti yang menambah nilai seperti perpindahan barang dari pengilang ke peniaga. Penting untuk bisnes kerana ianya mengurangkan kos input.
5. Pengurangan kos kerajaan menguruskan kutipan cukai (rujuk bahagian pertama)
6. Hasil yang lebih tinggi dengan kadar cukai lebih rendah. PEMANDU menjangkakan GST akan meningkatkan kutipan 2 kali ganda berbanding SST, tetapi pada cukai 4% lebih rendah.

Persoalan kenaikan harga sebenar bukanlah terletak pada cukai yang lebih meluas yang dikenakan ke atas semua barang, tetapi pada pelaksanaan sistem cukai yang baru bahkan pelaksanaan sebarang cukai baru akan memberi impak yang sama yakni menaikkan harga barang, tetapi itu cuma akan berlaku sekali sahaja di awal pelaksanaan dan kemudiaanya harga akan lebih stabil. Kenaikan ini merupakan impak yang biasa berlaku berikutan perubahan regim percukaian (tax regime), tidak kiralah apa cukai sekalipun.

Kenaikan harga yang berlaku sekali bukanlah inflasi kerana inflasi sebenar bermaksud kenaikan harga barang yang berlaku dalam satu tempoh waktu. Kata kunci di sini "satu tempoh waktu" dan kesan kenaikan harga dari GST berlaku kerana perubahan sistem cukai. Secara mudahnya kenaikan harga barang merupakan instantaneous change tetapi inflasi merupakan gradient graf secara keseluruhan.

Isu penindasan terhadap golongon miskin atau golongan sederhana merupakan misperception yang    disebabkan kelemahan dalam sebaran maklumat (misinformation) walaupun kedengaran beratus juta  ringgit  akan digunakan dalam memberi penerangan berkaitan GST. Setakat yang saya dengar, ketua  UMNO  bahagian  merupakan antara pihak yang bertanggungjawab dalam memberi penerangan.



Kegagalan pihak kerajaan dan tiada konsistensi dalam membuat kenyataan media seperti yang disebut Prof. Agus Yusuf, “kenyataan yang berbelit” oleh beberapa pimpinan kerajaan menyebabkan rakyat keliru  mengenai GST. Pihak yang terlibat juga gagal memberi maklumat berkenaan bagaimana hasil cukai boleh  meningkat dan rakyat secara spontan merasakan kerajaan akan memerah lebih duit dari golongan miskin yang  sebelum ini tidak merasa dikenakan cukai. Semua ini bertitik tolak dari kelemahan kerajaan yang menjurus  ke arah misinformation. 

GST menindas?

Bersambung di bahagian seterusnya (mungkin yang terakhir).

Rujukan


Muhammad Syafiq Kamarul Zaman, 5.5.2014

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...