Artikel ini bertujuan memberi sedikit maklumat ringkas berkenaan Cukai
Barangan dan Perkhidmatan (CBP) atau lebih biasa disebut GST (Goods and
Services Tax) oleh kebanyakan orang (bahkan CBP mengingatkan saya pada CBN,
cubic boron nitride yang digunakan secara meluas dalam alatan industri). Dan
seperti semua kita tahu, cukai terbahagi kepada dua jenis; cukai terus (direct
tax) dan cukai tidak terus (indirect tax) dan cukai yang terus ini memang
nampak kesannya terus ke atas kita dan memang terasa seperti income tax, dan
indirect tax hanya dikenakan dibawah beberapa situasi, contohnya ketika beli
barang. GST yang menjadi perbincangan artikel
diletakkan di bawah indirect tax. Jadi let's cut to the chase supaya artikel
ini menjadi sependek dan sepadat mungkin.
Isu GST menjadi
hangat semula apabila Dewan Rakyat (Parlimen) telah meluluskan Rang
Undang-Undang untuk melaksanakan GST pada minggu lepas. Rakyat kembali bising
berkenaan impak yang mungkin berlaku kesan dari pelaksanaan cukai tersebut, tok
imam tiba-tiba menjadi ahli ekonomi segera di atas mimbar khutbah Jumaat,
menawarkan pahala lebih untuk pembayar cukai.
Saya tidak akan membicarakan berkenaan pahala dari Tuhan di sini kerana
ada ustaz di luar sana yang lebih layak dirujuk seperti Ustaz Zaharuddin Abdul
Rahman yang baru menulis berkenaan GST, tetapi cuma menyentuh sedikit aspek teknikaliti dari bacaan seorang bukan
pelajar ekonomi.
Seperti yang
kita selalu lihat pada resit di Jerman, semua barang yang dibeli di sini
dikenakan cukai dan kadar cukai ditentukan berdasarkan jenis barang, barang
kategori A dikenakan cukai sebanyak 19% dan selalunya terdiri dari barang
kehendak. Barang kategori B seperti barang keperluan (coklat dan beberapa
makanan ringan dimasukkan sekali) dikenakan cukai 7%. Cukai disini disebut
Mehrwertsteuer (MWSt) atau dalam bahasa Inggeris disebut sebagai Value Added
Tax (VAT). Terdapat perbezaan kecil diantara VAT dan GST dan kurang relevan
dibincangkan di sini.
Terdapat
beberapa salah faham yang menyelubungi GST dan yang paling didengari adalah GST
akan menaikkan harga barang. Itu
kenyataan separa betul, GST memang akan menaikkan harga barang yang sebelum ini
dikecualikan dari Cukai Jualan dan Perkhidmatan (CJP) atau Sales and Services
Tax (SST).
Tetapi GST juga
akan menurunkan harga barang yang sebelum ini dikenakan SST kerana GST yang
dicadangkan (6% ) adalah lebih rendah dari SST (10%). Maknanya ada barang yang
akan naik dan ada yang akan turun. Ianya juga bukan cukai atas barang yang
sudah kena cukai, yakni GST akan menggantikan SST dan bukannya dikenakan keatas
SST sedia ada yang menjadikan jumlah (10% +6%).
Kadar GST sebenar yang dicadangkan adalah 6%. 4% hanya contoh. |
Salah faham kedua yang wujud adalah GST
menyebabkan cukai bertindih dan kesan cukai akan terkumpul di setiap peringkat
dan pengguna yang akan terpaksa menanggung kesan terbanyak. Dalam kes SST,
ianya mungkin betul tetapi dalam kes GST terdapat mekanisme untuk meneutralkan
kesan tersebut. Rujuk Panduan Umum CBP (GST)
Pembuat ‘A’->
Pemborong ‘B’ -> Penjual ‘C’ -> Pengguna ‘D’.
Dari A (6%) untuk kos pembuatan, B (6%), C(6%0 dan D (6%). Tetapi ini tidak bermakna pengguna di peringkat D akan membayar
cukai sebanyak 4x6% =24% (non-cumulative tax). Pengguna masih akan membayar 6%
pada akhirnya kerana dalam sistem GST, wujudnya instrumen rebat untuk
meneutralkan cukai disetiap peringkat kecuali pengguna akhir. Ambil contoh
pemborong B.
1. Input (Bahan mentah, elektrik, barang
dari pembuat ) akan dikenakan GST dan dinamakan cukai input.
2. Peniaga
3. Output. Pembeli yang membeli dari
peniaga (barang atau perkhidmatan) akan dikenakan cukai output.
Untuk
meneutralkan(offset) cukai input (dari
kos membeli bahan mentah atau barang yang hendak dijual), penjual boleh
menuntut kembali cukai yang dikenakan keatas input tersebut dari kerajaan dan
pada masa yang sama perlu menyerahkan cukai output( yang dibayar pengguna)
kepada kerajaan. Ini akan memaksa penjual bertanggungjawab untuk menyediakan
invois cukai input dan output untuk
diserahkan pada kerajaan supaya mekanisme mengutip cukai dapat dilaksanakan.
Jika peniaga tidak mahu membuat demikian, bermakna mereka sendiri yang akan
menanggung risiko yakni membayar lebih untuk input dan mengenakan harga yang
tinggi untuk output. Mereka akan menjadi kurang kompetitif dan pembeli atau
pengguna seharusnya memilih peniaga yang menawarkan harga paling baik untuk
mereka.
Terdapat tiga
subset untuk mekanisme rebat dalam GST kerana terdapat barangan yang tidak
dikenakan cukai seperti beras, minyak masak, tepung dan gula serta perkhidmatan
yang dikecualikan dari GST seperi perkhidmatan awam.
Subset dalam GST;
1. pembekalan berkadar standard
Pengilang A ( GST dituntut semula)-> Pemborong B ( GST dituntut
semula)-> Penjual C (GST dituntut semula -> Pengguna D (Pengguna bayar
GST kepada kerajaan)
2. pembekalan berkadar sifar
Pengilang A ( GST dituntut semula)-> Pemborong B ( GST dituntut
semula)-> Penjual C (GST dituntut semula -> Pengguna D (Pengguna tidak
bayar GST kepada kerajaan)
3. pembekalan dikecualikan
Pembekal A (GST dituntut semula) -> Pembekal perkhidmatan B (GST tidak
boleh dituntut semula) -> Pengguna C ( pengguna tidak bayar GST secara terus
sekurang-kurangnya, tetapi pihak B tentu menaikkan harga kerana input kos
meningkat)
Yang pasti bahan asas seperti beras, gula, tepung, minyak masak
dikategorikan dalam subset kedua mekanisme rebat GST.
Secara ringkas GST hanya dikenakan secara efektif sekali saja dalam rantai
pembekalan (terjemah sendiri dari chain of supplies), yakni penjual->
pengguna. Semua yang terlibat dalam rantaian tersebut kecuali pengguna akhir
akan dikenakan GST. Cukai yang agak baik kerana ianya
mengenakan cukai berdasarkan tabiat pembeli pengguna (tax on consumption
habit).
Kadar GST walaupun lebih rendah mungkin akan meningkatkan pendapatan negara
kerana skop GST lebih luas berbanding SST. GST juga lebih efisyen kerana SST sebelum
ini memerlukan kos untuk menguruskan cukai tersebut, wakil kerajaan (auditor)
perlu pergi ke perniagaan/rakyat dan perlu memproses dan mengaudit maklumat dan
lejar, timbul kos audit dan masa di situ. GST pula bersifat self-collect,
peniaga sendiri akan menghantar laporan/lejar yang telah diaudit peniaga
sendiri untuk menuntut kembali GST yang dibayar pada kos input. Peniaga juga boleh memilih untuk tidak
melaporkan kepada kerajaan, tetapi itu atas risiko sendiri.
Terdapat kadar minima dimana peniaga boleh melepaskan dari mendaftar di
bawah GST dan kerajaan telah menetapkan nilai jualan tahunan pembekalan
bercukai. Namun begitu, pendaftaran secara sukarela adalah digalakkan.
Tajuk inflasi juga sangat relevan untuk dibangkitkan di sini kerana wujud kemungkinan
GST akan memberi banyak kesan pada inflasi negara. Dari aspek teknikaliti, saya
lebih cenderung memilih GST berbanding SST yang bukan saja kurang efisyen
bahkan membuka ruang untuk ramai orang berlepas diri dari cukai. Insyaallah
saya akan menyentuh beberapa aspek di lagi berkenaan GST pada artikel akan
datang.
Rujukan artikel
Muhammad Syafiq Kamarul Zaman, 12.4.2014
Tiada ulasan:
Catat Ulasan