GST atau SST ?
Saya secara teknikalnya menyokong pelaksanaan GST, ianya satu sistem cukai yang
baik dan menyeluruh. Mungkin kita boleh berhujah, tak guna sistem cukai yang
baik kalau kerajaan kita korup. Saya bersetuju dengan kenyataan tersebut,
tetapi cuma pada tiga perkataan terakhir. Jikalau diberi pilihan, kita nak
memilih kerajaan yang korup dengan sistem cukai yang kurang efisyen atau
kerajaan yang korup dengan sistem cukai yang efisyen?
Selepas membaca
beberapa artikel ringkas berkenaan GST dan maklumat dari lawan web kerajaan,
timbul beberapa persoalan berkenaan GST.
Yang pertama berkenaan mekanisme rebat dalam GST. Saya melihat kerja
menguruskan laporan dan lejar untuk diserahkan pada kerajaan agak bermasalah
dari segi pelaksanaan terutama pada peniaga kecil (walaupun mereka diberi
kelonggaran tidak mendaftar di bawah GST, rujuk kembali laman sesawang GST
kerajaan).
Menulis laporan
dan menyediakan lejar untuk syarikat besar atau sederhana mungkin biasa bagi
syarikat besar, tapi untuk syarikat kecil, ianya menimbulkan satu bebanan tugas
administrasi yang baru. Adakah efisyen untuk peniaga pasar malam membuat
laporan dan menulis lejar. Begitu juga dengan kes mak cik di kampung membuat
kuih-muih untuk dihantar di kedai roti canai misalnya, sudah tentu barang yang
dibeli untuk membuat kuih dikenakan GST 6% (cukai input), tetapi untuk
meneutralkan cukai input tersebut mereka perlu sama ada melaporkan dan membuat
lejar untuk dihantar pada kerajaan. Ataupun mereka memilih jalan yang lebih
mudah seperti menaikkan harga kuih-muih.
Mungkin solusi untuk situasi ini adalah BR1M (*sigh).
Kes untuk
peniaga kecil yang tidak perlu mendaftar di bawah GST mungkin dapat dijelaskan
jika kita lihat pada satu mekanisme dari tiga subset GST, pembekalan dikecualikan. Sekalipun
barang yang dijual tidak terletak di bawah subset tersebut, mekanisme pengiraan
yang digunakan adalah sama. Untuk pembekalan dikecualikan pembekal perkhidmatan
B (dalam kes ini peniaga kecil B) tidak boleh menuntut semula GST, tetapi tidak
juga mengenakan GST pada pengguna C.
Jadi GST yang terlibat hanya pada membeli barang input, dan ini hanya
menyebabkan kenaikan pada harga barang, tetapi tidak bermakna GST yang terlibat
dalam transaksi mencecah 12%. Cumanya harga barang akan tetap naik dan kesannya
masih menimpa pengguna walaupun tidak kelihatan dicukai secara terus. Jika
peniaga tersebut masih mengenakan „cukai“ sehingga 12%, maka seharusnya kita
memilih kedai yang lain. Adapun
peniaga kecil ini ingin mengenakan GST, maka mereka perlu mendaftar dan akan
berada dibawah pembekalan standard.
Tetapi untuk mereka yang mendaftar
di bawah GST tetapi berada pada skala perniagaan sederhana atau kecil, tambahan
tugas administratif untuk membuat laporan memang wujud dan negara Australia
turut sama mengalami masalah tersebut ketika mula-mula mengimplementasi GST.
Sama ada mereka perlu memberi tugas tambahan pada akauntan atau menggaji
akauntan baru. Mereka diwajibkan untuk menghantar laporan supaya tidak
mengenakan cukai berlebihan yang akhirnya masuk poket mereka sendiri. Jika
mereka tidak melaporkan pada kerajaan, kemungkinan besar mereka tidak mampu
menawarkan harga yang kompetitif kepada pengguna. Untuk terus bersaing, mahu
tidak mahu mereka terpaksa melaporkan kepada kerajaan untuk mendapat rebat dari
cukai input yang dibayar.
Sebab itu survey yang dijalankan oleh Pikom keatas 1000 syarikat baru-baru
ini menunjukkan perusahaan kecil sederhana (small medium enterprises) memberi
respons kurang bersedia untuk GST kerana beban tugas administrasi seperti mengubah perancangan
ekonomi, membuat lejar untuk invois dan cukai supaya bertepatan dengan format
standard GST.
Antara restoran yang mengenakan caj servis yang sering disalah fahami sebagai SST. |
Sebenarnya SST sebelum ini pun
dicukai pada banyak barang. Mungkin pengguna kurang sedar. Cukai Jualan (Sales
Tax) dibawah SST melibatkan semua barang yang dijual dan dihasilkan di Malaysia
dan petroleum dan barangan eksport dikecualikan sebanyak 10% (standard), tetapi
buah-buahan, beberapa jenis makanan, balak, bahan binaan, rokok, tembakau serta
arak dikenakan cukai 5% (setakat 22 May 2013). Cukai Perkhidmatan yang juga
dibawah SST melibatkan restoran, hotel, tempat letak kereta, disko, peguam dan
konsultan dan banyak lagi dikenakan cukai pada kadar 6%. Tetapi sesetengah
cukai perkhidmatan mensyaratkan kadar minimum untuk pendapatan dari
perkhidmatan tersebut sebelum dicukai.
GST cuma akan menggantikan SST yang disebut di atas. Tidak ada banyak beza
berbanding SST, ada harga yang bakal naik ada harga yang bakal turun, tapi
kemungkinan besar banyak harga barangan akan turun, 5% untuk makanan asas
menjadi 0% cukai. Kerap sekali kita salah faham bahawa cukai SST hanya
dikenakan di restoran besar, atau hotel. 10% yang
dikenakan oleh restoran atau hotel tersebut merupakan caj servis dan caj servis
bukanlah cukai.
Peningkatan hasil kutipan cukai wujud kerana
mekanisme kutipan cukai yang lebih efektif di setiap rantaian pembuatan dan
pengagihan, bukan hasil dari peningkatan bebanan cukai kepada pengguna. Sebelum
ini di bawah SST, ramai pihak dapat lari dari dicukai dan wujud juga perusahaan
yang tidak dapat diaudit oleh kerajaan yang diistilahkan ekonomi bayangan
(shadow economy). Di bawah GST, mereka akan turut sama membayar cukai,
melainkan mereka menanam sendiri segala keperluan dan barang mentah untuk
berniaga, menghasilkan elektrik sendiri dsb. Untuk sebab itu juga kutipan cukai
negara akan lebih tinggi dan sekali lagi ditegaskan beban cukai tidak beralih
kepada pengguna 100%.
Rujukan
Sambung di
artikel seterusnya.
Muhammad Syafiq Kamarul Zaman, 13.4.2014
Tiada ulasan:
Catat Ulasan