Halaman

Selasa, 4 November 2014

Intoleransi laktosa


Berbicara tentang produk tenusu, sesetengah orang akan menghadapi masalah penghadaman setelah memakannya. Perut berangin, rasa mual, dan tinja yang berair. Semua ini berpunca daripada ketidakbolehan menghadam laktosa. Ini dipanggil intoleransi laktosa [1].

Jerman merupakan negara pengguna produk tenusu yang agak besar. Ia terletak pada tangga ke-17 dalam senarai pengguna susu per kapita yang terbesar di dunia, dengan penggunaan sebanyak 247 kg per kapita setahun, berbanding dengan Malaysia dengan angka lebih kurang 37 kg per kapita setahun [2]. Atas sebab itu, tidak mengejutkan yang terdapat jauh lebih banyak pilihan produk tenusu di pasaraya di Jerman berbanding dengan Malaysia, termasuk pelbagai produk-produk tenusu alternatif yang bebas laktosa.

 
Susu bebas laktosa.
Sumber: http://einfach-laktosefrei.de/wp-content/
uploads/laktosefreie-milch-15-minusl.jpg




Reaksi kimia

Laktosa ialah sejenis gula, atau karbohidrat, yang hanya terdapat secara semulajadi di dalam susu mamalia. Ia adalah disakarida, yang bermaksud ia terdiri daripada dua molekul karbohidrat yang lebih asas (yang dipanggil monosakarida) iaitu glukosa dan galaktosa. Laktosa bersaiz besar dan atas sebab itu tidak boleh diserapkan secara terus ke dalam salur darah manusia daripada usus, akan tetapi perlu dipecahkan terlebih dahulu kepada glukosa dan galaktosa melalui proses hidrolisis [3]. Proses ini memerlukan bantuan enzim laktasa.



Dalam susu bebas laktosa, hidrolisis yang biasanya berlaku dalam usus manusia dihasilkan semula di dalam kilang. Ini dicapai dengan menambah enzim laktasa yang dihasilkan menggunakan yis atau kulat ke dalam susu [4]. Oleh sebab hidrolisis ini, susu bebas laktosa mengandungi kandungan glukosa yang lebih tinggi dan atas sebab itu lebih manis daripada susu biasa. Akan tetapi, kandungan gula keseluruhannya tetap sama.

Pil laktasa. Sumber:
http://img.dooyoo.de/DE_DE/orig/1/9/7/0/4/1970439.jpg








Perbezaan etnik [5]

Sebagai spesis mamalia, manusia berkongsi ciri penyusuan dengan kebanyakan mamalia yang lain. Susu berfungsi sebagai sumber tenaga, selain juga sebagai sumber vitamin, mineral dan antibodi bagi bayi mamalia sebelum mereka cukup besar untuk memperolehi zat-zat ini dari sumber yang lain. Untuk itu, enzim laktasa dihasilkan oleh usus bayi bagi membenarkan penyerapan. Kebolehan ini hilang setelah penyapihan (berhenti menyusu dan mula memakan selain susu). Akan tetapi, dalam sesetengah etnisiti, kebolehan untuk menghasilkan laktasa berterusan hingga ke umur dewasa. Fenomena ini hanya dilihat dalam manusia. Kesinambungan penghasilan laktasa ini mempunyai dasar genetik. Atas sebab itu, bangsa yang berbeza mempunyai toleransi (atau intoleransi) yang berbeza. Secara kasarnya, bangsa yang mempunyai sejarah dan budaya mengkonsumsi susu akan menunjukkan kekerapan toleransi yang lebih tinggi. Dalam sejarah sesetengah etnisiti, konsumsi susu mungkin memainkan peranan yang penting dalam membekalkan nutrisi dan atas sebab itu, individu-individu yang mempunyai gen yang mengkod penghasilan laktasa melepasi umur penyapihan mempunyai kelebihan berbanding dengan individu-individu tidak mempunyainya. Ini satu contoh pemilihan semulajadi bertindak dalam spesis manusia. Jadual di bawah menunjukkan peratusan intoleransi laktosa mengikut beberapa etnisiti.


Etnisiti/daerah geografi
% dengan intoleransi laktosa

Etnisiti/daerah geografi
% dengan intoleransi laktosa
1.
Asia Timur
90-100%
10.
Latin/Hispanik (Amerika Utara)
51%
2.
Orang Asli (Amerika Utara)
80-100%
11.
Utara India
30%
3.
Asia Tengah
80%
12.
Anglo (Amerika Utara)
21%
4.
Afro-Amerika (Amerika Utara)
75%
13.
Itali
20-70%
5.
Afrika
70-90%
14.
Utara Perancis
17%
6.
Selatan India
70%
15.
Finland
17%
7.
Selatan Perancis
65%
16.
Austria
15-20%
8.
Yahudi Ashkenazi (Amerika Utara)
60-80%
17.
Jerman
15%
9.
Daerah Balkan
55%
18.
British
5-15%
  Data diambil dari: http://milk.procon.org/view.resource.php?resourceID=000661

Kesimpulan

Intolerasi laktosa ialah ketidakbolehan menghadam susu yang mengakibatkan simptom-simptom berkaitan dengan saluran pencernaan. Lawan kepada intoleransi laktosa, iaitu toleransi laktosa, mempunyai dasar genetik yang membenarkan manusia dewasa menghadam laktosa setelah penyapihan. Produk tenusu alternatif boleh didapati bagi mereka yang mempunyai intoleransi laktosa.

Sumber

[5] http://en.wikipedia.org/wiki/Lactase_persistence

Glosari

antibodi - sejenis protein yang dihasilkan oleh badan untuk pertahanan badan dari jangkitan
genetik - berkaitan dengan baka
hidrolisis - reaksi kimia yang melibatkan pemecahan dua komponen melalui penambahan air
konsumsi - perbuatan makan atau minum
sakarida - pemelayuan perkataan Yunani σάκχαρον (sákkharon) yang bermaksud gula
yis - sejenis mikroorganisma dalam keluarga kulat

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...