Hari ini, tamat bahagian satu subjek Volkswirtschaftslehre(=political economy) iaitu tentang Mikroökonomie(microeconomics). Minggu depan akan masuk kepada bahagian kedua pula iaitu tentang Makroökonomie(macroeconomics). Kelas kegemaran bagi semester ini. Satu-satunya kelas yang aku rasa, bila sampai sahaja masa kelas hampir tamat akan terdetik di fikiran, "Ala, dah nak habis dah ke kelas.. nak dengar lagi.."
Banyak sebenarnya perkara baru yang aku belajar sepanjang hampir dua bulan mempelajari subjek ini. Seronok, dan sangat membuka perspektif baru. Selain lebih faham konsep-konsep dan terma yang ada dalam dunia perniagaan serta lebih memahami tentang perkembangan serta sistem ekonomi di negara Jerman ini.
Hari ini, aku bertanyakan soalan di dalam kelas. Suatu perkara yang jarang-jarang sekali aku lakukan. Takut sebenarnya nak bertanya di dalam kelas. Dengan kehadiran pelajar sekitar 40-50 dalam satu kuliah, bertanyakan soalan sebenarnya satu cabaran. Kalau tidak pada orang lain, bagi aku ia satu cabaran besar. Tambah lagi bahasa Jerman ku tidak begitu lancar. Dan untuk tiba-tiba menyusun ayat dalam otak secepat mungkin dan bertanya on the spot, menambahkan lagi kesukaran. Dan kadang, aku juga takut adakah aku tidak faham kerana tidak faham konsepnya, atau atas sebab bahasanya? Tetapi tadi, entah mengapa aku beranikan diri untuk bertanya di tengah kelas. Berkenaan satu perkara yang sudah 2 kali diulang di dalam kelas. Semalam, dan juga hari ini bilamana Prof. Schmidt mengulang ajar. Dan semalam juga aku bertanya kepada rakan Jermanku, masuk kali ketiga diterangkan. Namun tidak juga aku faham.
Dan kali ini, soalanku, dijawab oleh Prof. Schmidt dengan baik. Akhirnya faham juga aku. Rupanya selama ini 3 kali aku diterangkan, tapi cara penerangan itu rumit tambah dengan kosa kata baru yang aku tidak tahu maksudnya. Juga barangkali laju sangat penerangannya. Namun penerangan ringkas dari Prof. dengan susunan kata yang mudah, menjadikan aku senang memahaminya. Mujur Prof. mengambil kira aku ini Auslaender(foreigner), jadi dia guna bahasa yang mudah-mudah sahaja.
Kadang dalam hidup, kita akan menghadapi fasa-fasa kesukaran dalam memahami sesuatu. Tidak kiralah dalam apa jua subjek, bidang ilmu atau apa jua isu. Tidak faham, sukar dan payah dihadam. Bukan semua perkara boleh difahami sepintas lalu. Dan bukan juga semua perkara boleh difahami dengan satu cara. Dalam kita cuba mendalami sesuatu ilmu, perkara pertama sekali yang perlu kita lakukan, adalah jangan berputus asa pada permulaan pencarian. Tidak faham, cuba lagi. Lagi dan lagi sampai ketemu faham. Kedua, untuk peroleh ilmu, punya cara yang banyak. Dengar, tanya, baca, dan lain-lain. Ketiga, setiap orang punya kelajuan tersendiri dalam cubaan untuk memahami sesuatu perkara. Jangan disangka diri tidak pandai hanya kerana lambat faham berbanding kawan-kawan. You have your own, unique pace. Dan kalau sudah laju, teruskan dengan kelajuan itu. Agar potensi yang ada, digunakan semaksima mungkin. Manusia itu, sememangnya dicipta berbeza-beza. Dan itu sebenarnya suatu perkara istimewa yang diatur Tuhan.
Dan tadi, di kelas, belajar tentang bagaimana sesuatu syarikat menetapkan gaji pekerja(rujuk gambar). Juga apa kesan bilamana kerajaan campur tangan dalam menetapkan Mindestlohn(=tahap gaji minimum). Adakah ia suatu kebaikan atau keburukan? Di sini tidaklah saya mahu menerangkan konsep pengiraan disebaliknya. Namun, apa yang saya mahu kongsikan adalah mesej disebaliknya. Dalam model graf gaji yang dibincangkan tadi, kelihatan ternyata penetapan Mindestlohn akan membawa kebaikan yang lebih besar. Namun, kenyataan itu betul HANYA dalam model yang sedang dibincangkan. Untuk mengatakan sesuatu itu baik dan buruk bukanlah sesuatu yang mudah. Kata Prof. Schmidt, kita perlu lihat pula dari sudut pandang lain, kesannya, faktor-faktor yang mungkin terlibat. Dan banyak lagi data dan informasi yang diperlukan sebelum betul-betul membuat kesimpulan akhir. Dan kesimpulan akhir itu juga barangkali boleh jadi tidak cukup tepat atas sebab informasi yang kita masih gagal untuk peroleh.
Dari kelas ini, sepertimana kelas-kelas dahulu, satu perkara yang konsisten yang ditekankan oleh Prof adalah, untuk sentiasa berhati-hati. Berhati-hati bila memberi pendapat, solusi, atau jawapan kepada sesuatu perkara. Ia semestinya akan mengambil masa untuk kita perhalusi sesuatu buah fikiran untuk sampai kepada jawapan. Namun perkara yang paling penting yang perlu diutamakan bukanlah semata jawapan, tetapi PROSES menuju kepada jawapan.
Dan realiti kini, melihatkan ramai sekali orang yang mahu memberi pandangan berkenaan isu yang timbul. Meski diri, masih banyak yang tidak tahu dan ilmu pula masih kurang. Fakta diragui. Sumber tidak jelas. Bilamana satu-satu isu naik, kadangkala kita terlalu mengikut perasaan untuk menyatakan komentar atau kritikan tanpa asas ilmu. Terus terjun kepada kesimpulan awal. Terus share di media sosial. Mahu dilihat orang seolah diri cakna akan perkembangan semasa. Namun banyak tempangnya dalam penghujahan(kalaupun ada). Sungguh, banyak perkara di dunia ini, tidak semudah hitam atau putih. Tapi banyak yang kelabu. Yang memerlukan penelitian, kajian, dan proses berfikir.
Isu yang datang dan pergi, kini selalu kelihatan seperti angin lalu. Barangkali punca utama adalah bagaimana isu semasa itu sendiri berlegar di ruang media. Lihat saja ruang Newsfeed di Facebook. Saban hari dan waktu, ada sahaja cerita dan berita baru yang timbul. Yang menjadi bualan ramai sekitar 2, 3 hari, sebelum isu lain yang lebih menarik perhatian timbul. Persoalan perpindahan minat ini berlaku, jelas kelihatan bukan atas perpindahan dari isu yang kurang penting kepada isu yang lebih penting, tetapi ia semudah perpindahan isu lama ke isu baru. Sifirnya, isu lama sudah basi, sudah out-dated. Hal ini sejajar dengan tulisan Neil Postman di dalam bukunya, Amusing Ourselves To Death;
"My point is that we are by now so thoroughly adjusted to the "Now... this" world of news - a world of fragments, where events stand alone, stripped of any connection to the past, or to the future, or to other events - that all assumptions of coherence have vanished. And so, perforce, has contradiction. In the context of no context, so to speak, it simply disappears. And in its absence, what possible interest could there be in a list of what the President say now and what he said then? It is merely a rehash of old news, and there is nothing interesting or entertaining in that. The only thing to be amused about is the bafflement of reporters at the public's indifference. There is an irony in the fact that the very group that has taken the world apart should, on trying to piece it together again, be surprised that no one notices much, or cares."
Dalam sedar atau tidak, dengan hanya menumpu perhatian kepada isu yang tenggelam dan timbul, kita sebenarnya tidak dapat mendalami permasalahan yang timbul, secara mengakar. Hanya mampu berenang-renang sekitar permukaan, sedang ruang dasar, seolah tidak wujud dalam pandangan. Memetik pula sebahagian tulisan status di Facebook Hazman Baharom:
"Terlalu banyak isu; daripada pembalakan besar-besaran, sampailah kepada ketidakadilan ekonomi, kodifikasi fatwa yang mengarut, pengurusan dana awam--tak habis kalau nak disenaraikan.
Kita harus pergi lebih jauh daripada wacana berteraskan isu. Wacana yang dominan kini; selepas selesai satu isu, hilang begitu saja daripada memori anggota masyarakat. Kemudian timbul pula isu baru. Sebab itu walaupun setiap tahun mahasiswa banyak buat forum tentang belanjawan, tetapi MPP universiti sembang merapu juga tentang ekonomi atau polisi awam.
Masyarakat perlu dididik mencintai ilmu untuk ilmu, bukan sebagai wahana material seperti wacana yang mendominasi kini. Ia amat sukar, kerana masyarakat kita (masih) terlalu percaya pada politikus. Politikus akan sentiasa bermain dengan isu, terutamanya yang menguntungkan mereka."
Cintailah ilmu. |
Untuk menyokong atau membantah, perlu atas dasar ilmu.
Bilamana ilmu dibelakangkan dan emosi diutamakan, sungguh tidak adil untuk kita mengambil pihak secara melulu.
Tidak mengapa untuk tidak mengambil pihak terlebih dahulu. Anda bukan neutral. Bukan juga atas pagar.
Anda cuba untuk setia dengan kebenaran.
Dan kebenaran itu bertunjangkan asas ilmu.
Kerana sungguh, bilamana kita tidak disibukkan dengan ILMU, kita akan disibukkan dengan ISU.
[Artikel dengan sedikit penambahbaikan dari tulisan lama penulis bertarikh 7 Mei 2014]
Tiada ulasan:
Catat Ulasan