Meninjau Kedudukan Negara-Negara Timur Tengah dan Sekitarnya (Bahagian 2)
9 November 2014
16. Sebelum menyambung artikel pada bahagian 1 sebelum ini, suka untuk dinyatakan bahawa artikel ini berkonsepkan satu tinjauan kasar dan ringkas. Ini boleh dilihat daripada tajuk artikel ini senditi iaitu "Meninjau...", dan bukannya meneliti, menyelidik atau merenung. Oleh itu, artikel ini ditulis seringkas mungkin dan berkonsepkan penyebutan fakta sekali lalu, dengan cara membentangkan kata kunci-kata kunci yang berkaitan, untuk mendapatkan gambaran menyeluruh terlebih dahulu. Bacaan lanjut dan mendalam dianjurkan menyusul dengan merujuk bahan-bahan lain.
Arab Saudi
17. Dari membicarakan tentang Emiriah Arab Bersatu kita bergerak pula untuk meninjau Arab Saudi. Arab Saudi ialah negara yang mengamalkan sistem beraja mutlak, yang berajakan raja dari Keluarga Alsaud. Jika direntet dari aliran sejarah, kita akan dapati bahawa negara Arab Saudi kini ialah berada dalam kemunculannya yang ketiga. Dalam Bahasa Inggeris disebut sebagai Third Saudi State.
Kedudukan Arab Saudi di tengah-tengah Semenanjung Arab |
18. Third Saudi State atau Negara Arab Saudi Ketiga ini diasaskan dengan beberapa rentetan peristiwa, pada tahun 1932 oleh Raja Abdul Aziz Ali Saud, atau biasa disebut sebagai Ibn Saud. Dipendekkan cerita, selepas kematian baginda, anak baginda yang bernama Saud menduduki takhta. Kemudian, adik Saud pula menggantikan tempatnya, iaitu Raja Faisal yang terkenal dengan kepimpinannya. Masjid keempat terbesar di dunia dinamakan sempena nama beliau, iaitu Masjid Faisal di Pakistan. Baginda telah dibunuh oleh kerabat diraja sendiri, melalui satu peristiwa yang tragik.
Ibn Saud, pengasas negara Arab Saudi "Third Saudi State" |
Raja Faisal, seorang Raja Arab Saudi yang sangat terkenal dalam sejarah tempatan dan antarabangsa. |
19. Selepas Raja Faisal naik pula adiknya, Khalid. Nama bagindalah yang diambil untuk menamakan masjid di Universiti Sains Malaysia Pulau Pinang. Kemudian tiba giliran adik mereka Fahd untuk menduduki takhta. Baginda terkenal dengan penggunaan semula gelaran "Penjaga Dua Tanah Haram Yang Mulia", yang pernah digunakan oleh pemerintah-pemerintah kerajaan-kerajaan Islam suatu masa dahulu. Kini kedudukan Raja Arab Saudi disandang oleh adiknya, Abdullah.
20. Jika diperhatikan, pewarisan takhta ini berlaku pertamanya dari bapa kepada anak namun seterusnya dari abang kepada adik dan berterusan. Pewarisan kerajaan Arab Saudi ini baru melalui dua generasi. Tidak pastilah bila pula generasi ketiga akan memerintah.
21. Dari segi sejarah penubuhan negara ini pula, ia sering dipandang saling berkaitan dengan satu kumpulan yang dinamakan Golongan Wahhabi. Memahami kewujudan golongan ini amat penting bagi mereka yang ingin memahami sejarah lalu serta perkembangan semasa di Arab Saudi.
Iraq
22. Kini tinjauan kasar ini berpindah pula ke negara Iraq. Maklumat tentang negara ini juga tidak kurang pentingnya pada memahami bangsa Arab dan negara-negara mereka. Salah satu sebabnya ialah kedudukan Iraq di bahagian paling timur Dunia Arab. Ini bermakna merekalah yang menjadi pintu masuk, pintu keluar dan benteng bagi kebudayaan Arab, misalnya.
Kedudukan Iraq. Negara besar di sebelah timurnya ialah Iran, dan disebelah selatannya ialah Arab Saudi yang dibicarakan sebelum ini. |
23. Bercakap tentang pintu masuk, pintu keluar dan benteng, satu fakta yang paling jelas tentang masyarakat Iraq ialah keberadaan dominan kedua-dua golongan Islam Sunni dan Syiah. Inilah salah satu ciri yang agak membezakan Iraq dengan beberapa negara Arab yang lain. Hal ini mungkin boleh difahami melalui kedudukannya yang bersempadan dengan Republik Islam Iran di sebelah timurnya. Apatah lagi bandar-bandar yang penting dalam tradisi golongan Syiah banyak terletak di Iraq seperti Karbala dan Najaf.
Makan Sayyidina Hussain di Karbala, Iraq. |
24. Dari segi geografi pula, Iraq memang terkenal dengan dua batang sungai yang sering disebut-sebut dalam sejarah keagamaan dan ketamadunan iaitu Sungai Furat dan Sungai Tigris. Kedua-dua sungai ini masing-masing disebut dalam Bahasa Inggeris sebagai Euphrates dan Tigris.
25. Dua sungai ini kemudian bertemu di selatan Iraq, membentuk sungai yang lain pula dengan nama Shatt Al-Arab, dan terus mengalir ke Teluk Parsi. Tamadun Mesopotamia memang terkenal dan dipandang sebagai antara tamadun yang pertama di dunia. Nama Mesopotamia itu sendiri bermaksud "Tanah di antara dua sungai". Dua sungai yang dimaksudkan, inilah.
Sungai Furat dan Tigris. Berhampiran dengan muara sungai dapat dilihat sebuah negara kecil. Itulah Kuwait yang bakal disebut selepas ini. |
26. Di selatan negara Iraq, tidak boleh dipandang enteng ialah sebuah negara kecil bernama Kuwait. Iraq dan Kuwait pernah sama-sama menjadi perhatian dunia kerana peristiwa Penaklukan Kuwait atau Perang Iraq-Kuwait. Hari ini negara Kuwait diperintah melalui sistem raja berpelembagaan, berajakan raja dari Keluarga Al-Sabah. Matawang Kuwait iaitu Dinar Kuwait disebut sebagai matawang yang termahal di dunia, dengan kadar tukaran semasa sekitar 1 KWD = MYR 11.
Taktik "Bumi Hangus" berlaku di Kuwait ketika pencerobohan Iraq. |
Bersambung.
MSHMI 9 November 2014
Tiada ulasan:
Catat Ulasan