Terkadang helaian demi helaian buku tidak akan mampu
mencorak pemikiran sesuai idaman. Sama ada jiwa merasakan bakaran semangat atau
tidak, iman dalam hati akan menuntut bela. Lantas iman dan ilmu terpaksa juga
digabungkan. Dan yang demikian itu akan menagih mujahadah.
***
Kejadian
demi kejadian yang datang bertimpa memaksa pemprosesan otak untuk menjadi lebih
laju dalam menanggap makna dan menghasilkan kesimpulan yang wajar dan seimbang.
Toleransi yang diacuhkan, niat yang disalah erti bahkan direndahkan ke dasar
bumi, sabar yang dibuang ke dalam longkang serta ungkapan ayat al-Quran yang
sering menjadi hiasan dinding rumah dibanding hiasan dinding hati memaksa jiwa
untuk menilai semula apa yang selama ini dipegang, diyakini bahkan berakar
menjadi prinsip. Saat orang tersayang di sekeliling menguji jiwa agar
mengeluarkan yang paling pahit di dalam diri. Jiwa. Kalaulah sabar bukanlah
sesuatu yang dihitung satu persatu, ditatap dan ditatang sedikit demi sedikit,
bergoyang jugalah nanti graviti bumi yang memegang tangan dan kaki agar patuh
pada pemiliknya. Rabb. Bagaimanakah Engkau boleh bersabar?
Aku
kagum.
Saat
muka telah dihadapkan dengan wajah-wajah yang selayaknya dibenci namun lebih
wajar dikasihi, juga dengan situasi yang acapkali membutuhkan pemikiran yang
bersudut begitu dan begini, terpaksalah hati menebalkan tanggapan yakin kepada
Tuhan. Bahawa Tuhan ada. Bahawa Tuhan tahu. Bahawa Tuhan pasti menghulur
tolong. Bahawa Tuhan tidak menguji melainkan atas dasar mampu. Bahawa Tuhan
seperti itu dan seperti ini. Jiwa. Lantas kenapakah saat semua yang susah lagi
menyusahkan itu dihentikan Tuhan, hati cepat sekali lupa pada kadar sabar tadi?
Ah, ironi! Tangan pantas dihulur saat mahu dan disembunyikan di bawah ketiak
apabila jiwa sudah nyaman. Lalu hakikat ujian itu apa??
Jiwa.
Hari-hari
kelmarin bukanlah saat-saat penentu. Kerana hakikat perkara basi tidak akan
sesekali boleh dielokkan semula. Lantas sudut pandang baru diperlukan. Dada
perlu dididik dengan rasa lapang. Kalaulah asyik terlalu difokuskan pada salah
dan kesalahan, bukankah waja potensi dan keupayaan diri akan terluput dan
terlupakan dari ingatan?
Lalu bismillah. Dengan nama Allah.
Senyuman
dari hati yang indah dan disirami semangat yang bersih pasti akan melunakkan
jiwa dan membuahkan nyaman pada wajah yang memandang atau pada wajah yang
merasa. Bukanlah bererti tiap saat itu dicantumkan padanya nyaman senyum
sedekah sahaja; namun ia menjadi perisai kala hati mustahak butuhkan sisi
positif pada diri. Itulah dia. Being
optimistic in the seas of pessimism. Sudahkah berani duhai hati?
Hati.
Buah-buah
mulut orang akan selalu kedengaran; terkadang jauh menusuk ke dalam dada lantas
menjadi pedih. Muhasabahlah, pesan buat diri dan teman. Mustahillah dakwah yang
suci didirikan atas niat yang bercampur baur atau nawaitu yang disandar pada
ikhlas sahaja; dan minda terlupa untuk bersifat kritikal. Simplistic. Bersifat simplistik bimbang jatuh pada menghukum
sahaja; menghukum semata-mata. Sedang manusia kering jiwa dari rasa cinta pada
Allah saat sujud. Maka jadilah, dikhuatirkan keadaan mulut sahaja mengucapkan
Allah itu begitu dan begini. Rabb. Ampunilah mulut kami dan hati kami yang
payah sekali hendak kami selarikan. Betapa. Makna sebuah cinta.
Ya
Allah.
Kisah
kelmarin bukan sekadar buat ditatap; dan dicari nilai positif sahaja. Sifat
hati kadang ingin sekadar mencari apa yang disebut "the safe side".
Yang demikian itulah sering mengundang bahaya pula. Orang yang ingin selamat
tanpa strategi tertentu dengan menilai dan memerhati keadaan bimbang akan
mengajak orang lain ke jurang paling bahaya; jurang neraka. Kerana bahaya di
dunia masih punya ruang nilaian kata "sementara" yang membawa kepada
membetulkan, memperbaik dan menilai semula. Alangkah. Peluang demi peluang yang
tersisa.
Soal
kelmarin dalam membentuk ruang hari ini ialah akhirnya berdasar pada ilmu dan
iman. Tapi persepsi tentang diri amatlah wajar diperbetulkan; dengan fokus
utama pada keupayaan diri saat menghadapi suasana genting. Hal ini demikian
kerana, saat senyum indah dan nyaman menyapa diri, peribadi pada masa itu boleh
jadi sekadar dekoratif rasa yang tidaklah begitu jauh tertunjang ke dalam diri;
dan kefahaman terhadapnya pula masih tidak begitu murni. Takkanlah wajar
debu-debu hendak dibentang menjadi penghalang batu-bata ujian yang barangkali
begitu mampat dan padat? Ah, imaginasi.
Semoga
hati akan terus dan terus diselidiki keikhlasannya, dari masa ke masa. Rajin-rajinlah
wahai diri dan teman; kerana hanya ummah mampu mencetak ummah. Akhirnya, saat
nawaitu dipersoalkan, biarlah Dia.
Butiran Penulis:
Wan Nazira binti Che Nor
Nama pena: Mukhlisah Nazira
Graduan UKM dalam bidang Ijazah Sarjana Muda TESL
Emel: wannur_yaqolbi@yahoo.com
Nama pena: Mukhlisah Nazira
Graduan UKM dalam bidang Ijazah Sarjana Muda TESL
Emel: wannur_yaqolbi@yahoo.com
"Jiwa penulis ialah jiwa yang merasa. Dan orang yang merasa dengan tepat ialah orang yang melihat dengan tepat. Akhirnya semua itu memerlukan kejelasan pemikiran."
Tiada ulasan:
Catat Ulasan