Halaman

Jumaat, 26 Jun 2015

Beberapa Puluh Sen Lebih Bagi Ayam yang Gembira



“Akak, apa beza Freilandhaltung dengan Bodenhaltung?”

Tanya seorang rakan junior seuniversiti sedang kami sama-sama membeli-belah barangan rumah di pasaraya Lidl. Kami berada di rak jualan telur ayam ketika soalan itu diajukan secara tiba-tiba terhadap aku.

“Oh. Beza dia, yang Freiland ni, kira untuk keluasan tempat ternak ayam tu luas sikit la dari yang Boden tu. Kiranya Freilandhaltung ni happy sikit la ayam-ayam dia.”

Jawab aku sepintas lalu. Sambil otak cuba mengingat kembali butiran maklumat dari artikel juga rancangan dokumentari yang pernah dibaca dan ditonton satu ketika dahulu. Sepatutnya betul la kot kalau aku tak salah ingat. Fikir aku sendiri.

“Oh ye ke kak. Kawan-kawan biasa suruh beli yang Boden sebab lagi murah.”




 ********

Bajet Kewangan Pelajar: Murah Lebih Baik

Saya percaya rakan-rakan yang masih berstatus pelajar, rata-ratanya akan jauh lebih bersedia untuk membayar satu-satu produk, terutama bagi produk yang dibeli secara berkala, yang tawarannya murah berbanding yang lebih mahal. Hal ini semestinya tidak berlaku apabila melakukan pembelian yang melibatkan risiko tinggi seperti kamera atau kasut sukan baharu. Walau secara sedar, masih percaya bahawa produk yang lebih murah ini kualitinya pada kebiasaan semestinya lebih rendah berbanding dengan yang lebih mahal. Namun, faktor mahu berjimat sentiasa memainkan peranan yang besar. Juga untuk para suri rumah, para isteri yang sentiasa mencuba untuk memotong kos perbelanjaan rumah sebanyak yang mungkin terutama atas sebab tekanan ekonomi contohnya cukai GST, jumlah gaji yang statik dalam tempoh yang lama sedang peningkatan kos hidup pula mendadak naik bagaikan tidak menunjukkan tanda-tanda simpati terhadap masalah kesempitan rakyat dari sudut kewangan.

Saya tidaklah pula mahu berbicara soal ekonomi di sini.

Sekadar mahu mengajak pembaca berfikir. Apabila satu-satu produk dibeli, apa yang biasa difikirkan? Biasanya bagi produk makanan, sudah tentulah tahap kesedapan sesuatu produk.

(Tambah faktor kesihatan jika anda seorang yang 'health-conscious'.) Bagi produk pencuci pula, tahap efektif proses cucian dan pembersihan. Bagi produk baru yang belum pernah dicuba pula, barangkali faktor tarikan oleh rekaan bekas produk atau iklan yang menarik atau boleh sahaja atas cadangan rakan-rakan atau ahli keluarga.

Cumanya, apabila difikirkan kembali, sekalipun faktor-faktor yang disebutkan di atas sangat relevan dalam membuat satu-satu pilihan, tidakkah ia hanya sekadar kepentingan perspektif ‘aku’? Sudah tentulah, ‘aku’ yang bayar, maka kepentingan ‘aku’ lah yang paling utama. Sedap bagi aku, bagus untuk aku, senang untuk aku guna, dan boleh jimatkan duit aku. Namun, bila diluaskan sedikit lebih dari skop ‘aku’, apa lagi faktor pertimbangan yang semestinya penting yang boleh difikirkan lagi?

Proses Sebelum

Rata-rata  pelajar di Jerman yang berada dalam jurusan kejuruteraan saya kira majoritinya ada mempelajari subjek-subjek yang berkaitan pemprosesan produk contohnya subjek Fertigung(Production). Dan penulis juga tahu beberapa universiti yang bidang khusus kejuruteraan mekanikalnya (Maschinenbau) turut mewajibkan para pelajar mengambil subjek ekonomi seperti BWL(Business Economics), KLR(Costs and Performance Calculation) juga Logistik seperti di FH Albstadt setakat pengetahuan penulis. Penulis bernasib baik sedikit kerana, selain subjek-subjek ini, penulis turut mempelajari subjek-subjek VWL(Political Economics), Buchführung(Accountings) dan Marketing yang sedikit sebanyak menambahkan hubungkait sesuatu subjek dengan subjek teknikal yang lain dalam memberi kefahaman yang lebih jelas tentang satu-satu perkara.



Kita tahu dalam usaha memaksimumkan keuntungan, proses penghasilan produk seharusnya mestilah lancar, pantas, dan seoptimum mungkin. Dari meja lakaran dan reka bentuk CAD(Computer Aided Design), ke produk prototaip, seterusnya ke pengeluaran besar-besaran, hinggalah ke Supply Chain Management dan teknik pemasaran, semuanya harus dirancang sesempurna mungkin untuk memastikan produk mendapat sambutan baik oleh pengguna dan dibeli secara konsisten. Dari meja lakaran hinggalah satu-satu produk itu sampai ke rak jualan, semua kos pengeluaran sudah dikira oleh unit jualan syarikat dalam menetapkan harga jualan produk.
 
Penulis tidak mahu mengambil contoh landskap beli-belah di Malaysia kerana kurang maklumat juga jarang membuat pemerhatian. Penulis mahu mengambil contoh di Jerman. Jika kita fikirkan, kilang-kilang semakin lama semakin canggih mesin-mesinnya. Kos hidup pula semaki hari semakin tinggi, menuntut pemberian gaji yang lebih banyak untuk para pekerja. Namun, tidak hairankah kita apabila melihatkan sebahagian jenama, meletakkan harga produknya luar biasa murahnya sekiranya dibandingkan dengan produk yang sama dari jenama-jenama lain?

Kualiti berbeza? Kos marketing untuk jenama mahal itu lebih tinggi?

Yakah? 

Dalam kelas VWL, penulis belajar bahawa, hanya dua sahaja faktor yang digunakan dalam penentuan harga. Iaitu Materialkosten(material costs) dan Gewinnspanne(profit margin). Di dalam Materialkosten sudah terkandung segala kos dari lakaran, pembuatan hinggalah ke pemasaran.

Semasa mula-mula belajar, penulis bingung. Jadi sekiranya dua ini sahaja faktornya, dan mengambil kira harga barang mentah dunia yang tidaklah begitu banyak bezanya, bagaimana perbezaan ketara ini boleh berlaku?

Fikir, fikir. 

Teringat rangkaian kedai menjual pakaian yang harga jualannya luar biasa murahnya di sini jika mahu dibandingkan dengan jenama-jenama lain. Primark, H&M, dan Zara contohnya. Awalnya sudah tentu gembira. Murah, boleh beli kerap dan banyak. Tapi bila belajar, terasa ingin tahu lebih.

Lalu lihat label di belakang pakaian, Made in China, Made in Bangladesh, Made in India. Kalau dulu penulis lihat label ini laju sahaja otak membuat kesimpulan awal seperti: produk tiruan, tak berkualiti dan lain-lain lagi yang mesejnya
semestinya  negatif dan skeptis. 

Namun sekarang, otak laju memikirkan: Personalkosten(labor costs)!
Di situ sahajalah tempat mereka boleh potong kos paling banyak. Di kala pekerja-pekerja kilang di Jerman rata-ratanya memperoleh gaji sekitar 8 ke 10 Euro sejam, pekerja-pekerja di China, Bangladesh, India ini, barangkali sekadar peroleh puluhan sen sahaja bagi setiap jam. Gaji minimum untuk pekerja kilang di Bangladesh hanya $68 sebulan, mengikut dapatan kajian tahun 2013. Rujuk sini. Katakanlah pekerja bekerja 7 jam setiap hari, dan 5 hari setiap minggu. Jadi bagi satu bulan yang punya 20 hari bekerja, pekerja-pekerja ini hanya memperoleh sekitar 48.6sen(!) sahaja setiap satu jam. Itu belum ditambah lagi dengan keadaan tempat kerja yang tidak menepati garis panduan keselamatan dan juga satu isu lain yang besar, iaitu pekerja buruh kanak-kanak.

Kembali Kepada Bodenhaltung dan Freilandhaltung

Dalam penternakan ayam, terdapat beberapa spesifikasi tempat menternak ayam yang telah pun dibuat oleh pihak yang bertanggungjawab. Contohnya, di Jerman, terdapat Bodenhaltung (floor range), Freilandhaltung (free range) juga Bio. Käfighaltung (cage) turut ada sebelum ini namun sejak tahun 2012 telah diharamkan di semua negara Kesatuan Eropah (EU) atas faktor kekejaman terhadap haiwan. 

Freilandhaltung
Bodenhaltung


Beza Freilandhaltung dengan Bodenhaltung adalah ayam Freilandhaltung diberi masa untuk berada di kawasan lapang untuk mendapat cahaya matahari, di mana ayam Bodenhaltung tidak. Ayam Freilandhaltung juga mempunyai spesifikasi iaitu kawasan untuk setiap satu ayam mestilah sekurang-kurangnya 4m². Sebagai contoh mudah, jika penternak mempunyai 100 ekor ayam, keluasan tanah tempat menternak ayam itu mestilah sekitar 400 meter persegi. Bagi Bio pula, spesifikasinya sama seperti Freilandhaltung cuma bezanya adalah makanan ayam mestilah diperbuat daripada bahan yang 'ecologically friendly'. Untuk para pembaca yang boleh memahami bahasa Jerman, klik sini untuk maklumat lanjut. Dan sesuatu yang barangkali juga menarik, anda boleh tahu dari mana datangnya telur ayam yang anda beli dengan mengisikan nombor kod yang tertera pada setiap telur di laman web ini: Was steht auf dem Ei?

Di Eropah, kesedaran masyarakat agak tinggi terhadap hal ehwal alam sekitar dan haiwan. Haiwan sekalipun akhirnya akan menjadi produk makanan, tetapi masih perlu diternak sebaiknya. Dengan itu wujudlah sekian jenis garis panduan yang mesti dipatuhi penternak. 

Penulis terfikir tentang Malaysia. Setakat pengalaman penulis, biasa nampak produk telur yang 6x6 (mungkin) seperti gambar di bawah yang tiada langsung beserta label dan tidak diketahui dari mana asal-usulnya. Memang tidak pernah ada, tidak pernah didesak oleh mana-mana pihak untuk dimaklumkan kepada pembeli, atau kalaupun ada, pembeli rata-ratanya tidak kisah?



Entah. 

Oh. Dan semestinya penulis ingat telur Omega Plus. Yang tak pernah setakat ini penulis belek secara teliti sebab memang tak beli. Mahal sangat.

Barang Murah: Kegembiraan Kita Atas Kesusahan Siapa(Atau Apa)?

Dari sudut pandang seorang Muslim, satu perkara yang sudah lama kita tahu, dalam usaha untuk menjadi hamba yang baik, ada dua tanggungjawab yang mesti kita lakukan. Iaitu Hablumminallah (hubungan dengan Allah), dan kedua, Hablumminannas (hubungan dengan manusia). Hubungan dengan Tuhan, saya kirakan jelas. Tunaikan ibadah khusus, juga umum. Dalam soal hubungan dengan manusia pula, kita biasa terfikir tentang hubungan dengan ibu bapa, guru dan rakan-rakan, jiran tetangga. Manusia-manusia yang dekat dan penting dalam hidup kita.

Namun, bagi manusia-manusia yang jauh aspek geografinya namun dekat aspek sumbangannya, yang penat-lelahnya dalam menghasilkan produk-produk yang kita gunapakai saban hari, bagaimana pula? Adakah cukup kita berlepas tangan hanya sekadar produk itu sudah berada di rak jualan, dan aku pula hanya sebagai pembeli, maka aku tidak punya tanggungjawab? Bukan salah aku, tapi salah syarikat pengeluar? NGO? Kementerian? Kerajaan? 

Pantasnya jari dituding kepada pihak lain tanpa melihat diri sendiri.

Satu konsep mudah dalam ekonomi yang tak perlu ditelaah panjang dan dalam untuk difahami:

Supply won't exist without demand. Tawaran tidak akan wujud tanpa permintaan.

Dan permintaan itu semestinya merujuk kepada pembelian yang kita lakukan.

Di kala masyarakat moden menganggap konsep perhambaan pada zaman dahulu sebagai barbarik, kejam dan tidak bertamadun, tanpa sedar kita sendiri mencipta satu bentuk perhambaan baru. Yang kita tidak nampak. Atau buat-buat tidak nampak?

Di kala Palestin bergolak, rakyat dibunuh kejam rejim Zionis, kita, yang beragama Islam khususnya, pantas melaungkan kempen boikot produk Israel yang memberi bantuan secara langsung dari sudut kewangan untuk ketenteraan Zionis Israel.

Tapi bilamana latarbelakang Muslim tidak wujud, senyap pula kita? Sekalipun pengetahuan agama penulis hanyalah sedikit, namun penulis percaya, bukankah Islam itu Rahmatan lil 'alamin (Rahmat buat seluruh alam)? Bukannya sekadar Rahmatan lil muslimin (Rahmat buat muslimin).

"Tapi diorang tak dibunuh pun."

Oh. Hanya bila diancam bunuh baru boleh tolong? Bagaimana pula aspek tekanan ekonomi, penderaan emosi dan mental yang mereka alami?

Tidak bersimpatikah kita?
Atau masih mahu melontar alasan demi alasan. Untuk mempertahankan hipokritnya diri?
Penulis turut mengajukan soalan yang sama kepada diri sendiri.
 
Juga, manusia juga dipertanggungjawabkan untuk menjaga alam sebaik mungkin kerana hanya manusia sahaja makhluk yang punya akal yang mempunyai kebolehan mengurus dan mentadbir. Namun hari ini, lihat sahajalah apa yang kita sudah lakukan pada alam atas ketamakan dan kerakusan manusia sendiri. Bagaimana sikap kita pada haiwan? Adakah kita memandang haiwan sebagai makhluk Tuhan yang patut dihormati haknya, atau sekadar penjamu selera dan aset mengaut keuntungan semata-mata? 
“The world has enough for everyone's need, but not enough for everyone's greed.”
Kata-kata oleh Mahatma Gandhi terasa terngiang-ngiang di telinga.

Sedar walau betapa pedulinya satu-satu individu atau satu kelompok kecil manusia tentang isu ini, namun tetap terasa kerdil bilamana perlu berdepan dengan tembok besar yang mengawal ekonomi dan pasaran dunia. Syarikat-syarikat besar yang punya banyak wang boleh sekadar membayar wang pampasan berjuta-juta apabila satu-satu skandal terbongkar pada umum. Namun kebanyakannya masih boleh terus beroperasi dan masih lagi mampu mengaut keuntungan besar sekalipun sedikit terjejas imej mereka. Juga media massa yang saban waktu memainkan peranan dalam memanipulasi psikologi manusia untuk membeli dan terus membeli.


Tiada cara lain, melainkan kesedaran perlu disebarluaskan kepada lebih ramai orang.

Untuk perubahan berlaku.

Supaya ketidakadilan dan salah tadbir alam, sedikit demi sedikit, dapat dibanteras semana boleh.

Dan dunia, menjadi tempat yang lebih baik untuk manusia dan seluruh isinya untuk hidup di dalamnya.


********

"Saya nak beli yang ayam dia happy sikitlah. Yang Freilandhaltung ni."

Senyum segaris.

People know, people care.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...