Halaman

Jumaat, 30 Oktober 2015

Ulasan Ringkas Buku: Amusing Ourselves To Death -Neil Postman-



  

Sekitar setahun yang lalu, buku Amusing Ourselves to Death karya Neil Postman telah berjaya tamat dibaca oleh penulis. Buku yang sarat dengan pelbagai maklumat baru. Ataupun maklumat lama beserta dengan perspektif yang baru. Buku pertama karya Neil Postman yang dibaca oleh penulis. Yang mengenyangkan minda dan banyak meninggalkan kesan terhadap diri penulis hingga kini berkenaan hal ehwal teknologi, media massa dan lambakan informasi di era digital hari ini.

Persoalan yang berkali-kali wujud di kotak fikiran penulis sepanjang bacaan buku ini adalah:

Neutralkah teknologi?

Kesimpulan awal yang dapat diputuskan, lebih cenderung kepada tidak.

Di dalam buku ini, Neil Postman memulakan dengan persoalan epistemologi. Kemudian perbandingan typograph dan telegraph. Disusuli dengan analisa beliau bilamana media hari ini berfokus kepada permainan 'peek-a-boo' di mana berita-berita pada saban hari dan waktu, tenggelam timbul tanpa sebarang konsistensi. Yang menatijahkan kesan, pengguna media tidak lagi mengikuti isu secara berterusan tetapi hanya memberi perhatian hanya kepada isu baru dan terkini. Yang lama, sudah tidak punya apa makna.

Juga yang menarik, bilamana Postman membandingkan amaran Orwellian di dalam buku bertajuk 1984, dan amaran Huxley di dalam buku Brave New World. Postman mengatakan bahawa amaran Huxley lebih tepat. Memandangkan Postman memberikan pandangan dari sudut pandang warga Amerika untuk negara Amerika, penulis boleh bersetuju. Tetapi memikirkan tanah air sendiri, pada pengamatan penulis, kedua-keduanya merefleksi Malaysia hari ini. Menyedihkan. 


Memetik kata-kata Neil Postman berkenaan perbezaan ramalan Orwellian dan Huxleyan,

What Orwell feared were those who would ban books. 
What Huxley feared was that there would be no reason to ban a book, for there would be no one who wanted to read one. 

Orwell feared those who would deprive us of information.
Huxley feared those who would give us so much that we would be reduced to passivity and egoism.

Orwell feared that the truth would be concealed from us.
Huxley feared the truth would be drowned in a sea of irrelevance.

Orwell feared we would become a captive culture.
Huxley feared we would become a trivial culture, preoccupied with some equivalent of the feelies, the orgy porgy, and the centrifugal bumblepuppy.

In short, Orwell feared that what we hate will ruin us.
Huxley feared that what we love will ruin us.
Komik strip berkenaan petikan di atas boleh dibaca di sini.



Dan, Neil Postman turut mengetengahkan bagaimana hiburan digunakan dalam penyampaian agama. Sesuatu yang dikesalkan bilamana matlamat bukan lagi demi agama, namun demi hiburan. Yang penulis sendiri boleh lihat senarionya berlaku di Malaysia. Filem cinta islamik, program realiti tv islamik, produk islamik, dan lain-lain. Yang tujuannya kelihatan jauh dari niat asal mahu mendekatkan diri insan kepada Tuhan, tapi semata-mata mengeksploitasi tarikan yang ada untuk keuntungan dalam bentuk wang ringgit.

Buku ini, ditulis 30 tahun yang lalu. Namun, isinya bilamana dibaca, sangat relevan hingga ke hari ini. Penulisnya pula sudah meninggal dunia. Membaca buku ini, buatkan penulis terfikir, alangkah bagusnya andai beliau masih ada. Pastinya analisa yang jauh lebih kritikal dapat beliau hasilkan melihatkan perkembangan teknologi hari ini. Dengan telefon pintar, tablet, internet, media sosial masa kini, pasti lebih banyak buah pandang dari beliau yang boleh dimanfaatkan.

Lalu penulis fikir, bukankah Neil Postman sudah melangsaikan amanahnya, pada zamannya. Bukankah pada zaman ini, tanggungjawab itu, sudah tergalas di bahu kau? Dan kau, kau dan kau? Penulis di zaman lalu, menulis supaya boleh dirujuk orang di zamannya dan di masa depan. Bukankah kau juga, seharusnya memikul tugas yang sama?

Hembus nafas panjang.
Masih banyak perkara yang perlu belajar.

*BJJ bakal mengadakan Sesi Bedah Buku pada masa akan datang dan buku Amusing Ourselves to Death adalah salah satu buku yang berkemungkinan dibedah nanti. Oleh sebab itu, penulisan ini adalah serba ringkas sahaja supaya intipati yang lebih mendalam boleh dikongsi dan dibincangkan dengan lebih kritis ketika sesi Bedah Buku nanti. Dan oh ya, sesi pengundian buku yang bakal dibedah masih dibuka. Undian boleh dibuat di pautan ini. Terima kasih dan selamat mengundi. :)

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...