Halaman

Jumaat, 18 Oktober 2019

Ulasan Buku: The End of Education

Oleh: Nuruddin Azri



Buku ini saya capai di sebalik selaput-selaput debu dan di celah-celah kesempitan rak buku di dalam sebuah stor kedai buku terpakai di Maadi. Terjahan buat kali kedua ini menemukan saya dengan beberapa buku emas yang lain, tidak seperti terjahan pertama yang sedikit mengecewakan beberapa tahun lalu.

Naskhah ini merupakan hasil tangan kelima beliau yang telah saya baca selepas Technopoly, Amusing Ourselves to Death, Teaching As a Conserving Activity dan The Disappearance of Childhood. Keempat-empat karya beliau ini telah membedah sejarah, falsafah dan implikasi teknologi terhadap kebudayaan, psikologi, politik dan pendidikan masyarakat di Amerika Syarikat pasca abad ke-19.

Walaupun terdapat beberapa pertindihan mesej yang tipis dalam buku ini dengan buku-buku beliau yang lain, buku The End of Education ini menjanjikan beberapa sisi pandang baharu dalam menanggapi dunia teknologi dan perselingkuhannya dengan gelanggang pendidikan.


Pertamanya, Postman menjentik minda masyarakat hari ini yang kian silau dan sibuk dengan teknikaliti dan modus operandi pendidikan sehingga menenggelamkan apakah tujuan akhir pendidikan itu sendiri. Masyarakat hari ini terlalu sibuk memikirkan adakah penswastaan sekolah itu perlu, adakah kita mempunyai KPI di peringkat kebangsaan, bagaimana kita hendak menggunakan komputer, apakah kegunaan televisyen, bagaimana kita ingin mengajar masyarakat membaca dan sebagainya.


Fenomena ini mula membiak dengan marak dan pantas khususnya pada abad ke-19 yang telah menemukan banyak inovasi baru seperti telegraf, fotografi, telefon, mesin taip, fonograf, kabel wayar, cahaya elektrik, filem, lokomotif, roket, X-ray, komputer, stetoskop, makanan dalam tin, majalah moden, agensi pengiklanan dan juga birokrasi moden!





Sebahagian masyarakat dunia pada awalnya bertuhankan Komunisme, Nazisme dan Fasisme yang menemukan jalan buntu mula setapak demi setapak berganjak kepada tuhan-tuhan baru iaitu Utiliti Ekonomi (Economic Utility), Konsumerisme dan Teknologi yang juga menambahkan parah pada luka sedia ada.

Masyarakat Teknologi (Technological Society) mula berubah tabiat dan gaya hidup mereka. Waktu malam jika tidak diisi dengan permainan video game, mereka akan menatap skrin untuk berjam-jam di atas katil untuk melayan informasi-informasi segera sebelum melelapkan mata.

Sebahagian besar yang lain pula merasakan sekolah dan universiti itu merupakan satu perkara yang tidak signifikan dan membosankan. Katanya, bukankah semua maklumat boleh diperoleh melalui akses internet dan bukankah dunia berada di hujung jari kita sahaja!

Bertitik tolak daripada penyakit terselindung inilah buku ini ditulis kerana kemahiran bersosial, membina jaringan kenalan yang luas, berdisiplin, beradab, bertanggungjawab, memelihara sensitiviti, semangat kerjasama, menjinakkan keegoan, mematuhi peraturan, berkongsi apa yang ada dan bermain dengan adil tidak dapat diperoleh di depan kaca komputer dan televisyen. Sedangkan perkara ini merupakan aspek penting dalam membentuk masyarakat bertamadun dan tuhan Teknologi tidak berminat pun untuk memikirkan tentang perkara-perkara ini.

Maka, dalam isu pendidikan ini Postman menawarkan pembaca kepada tiga paradigma: i) Para pelajar perlu berani dan tidak segan untuk membuat kesalahan ketika belajar (cipta suasana kelas yang sebenar), ii) Kita perlu merangsang kepelbagaian budaya (untuk melihat kreativiti dan mencapai standard masyarakat bertamadun) dan iii) Kita perlu memahami kepentingan dan kedalaman bahasa itu sendiri dalam melakukan reformasi pendidikan.

Menurut Postman, suasana kelas yang sebenar (the classroom environment) ialah apabila guru-guru dan rakan-rakan mampu bertoleransi dengan kesalahan yang dibuat oleh pelajar. Kesalahan pada hakikatnya bukanlah sesuatu perkara yang memalukan. Malah, ia merupakan pemangkin untuk pelajar meningkatkan kefahaman.

Apabila pelajar takut untuk melakukan kesalahan dan seterusnya segan untuk belajar daripada kesalahan, mereka akhirnya berkesudahan dengan menipu guru-guru mereka, bimbang tidak semena-mena dengan 'hari persekolahan', meniru sewaktu membuat kerja rumah dan berada di dalam dewan peperiksaan, enggan untuk menyampaikan buah fikiran serta keras kepala apabila pendapat mereka dicantas oleh orang lain.

Penulis mencadangkan penulisan Plato, Erasmus, Jonathan Swift, Jacques Ellul, Stephen Jay Gould, I. A. Richards, Mina Shaughnessy dan S. I. Hayakawa untuk perbahasan lanjut yang menyentuh tema ini.

Kepelbagaian budaya pula menurut kaca mata Postman, terakam pada empat entiti: bahasa, agama, adat dan kesenian-artifak. Daripada bahasa kita dapat melihat dan memahami pandangan alam (worldview) tamadun lain. Daripada dimensi agama pula terakam Tokoh-tokoh Penemu (Founding Fathers) dalam sejarah Amerika seperti Jefferson dan Paine yang turut mempercayai akan kewujudan Tuhan walaupun kedua-duanya mempunyai jenis skeptik yang berbeza terhadap kehidupan beragama.

Daripada sudut adat masyarakat setempat pula telah melahirkan cabang ilmu baru seperti sosiologi yang bertunas daripada ilmu antropologi. Daripada sudut kesenian-artifak pula tidak kurang hebat impaknya. Kesenian telah membentuk bahasa hati sesebuah masyarakat manakala ilmu mempelajari muzium (seperti yang dilontarkan oleh Postman dalam buku ini) mampu melakar potret kemanusiaan dalam hati masyarakat.

Bernard Shaw mengungkapkan dalam The Quintessence of Ibsenism bahawa ia turut menayangkan kesedaran sosial, mencetak sejarawan masa hadapan, menjadi senjata pertahanan daripada kegelapan dan kehampaan serta merupakan tempat kerohanian bagi kemajuan insan.

Apabila wujudnya peringkat deria dan faham yang berlapis-lapis ketika mendengar muzik, melihat potret, menatap seni bina, membaca karya sastera, menuturkan bahasa dan melontarkan idea, maka di sinilah peranan pendidikan itu bermula – meningkatkan kapasiti pelajar untuk memahami pemikiran dan perasaan manusia melalui kisah-kisah kemanusiaan. Dengarlah simfoni-simfoni Bach, Mozart, Beethoven, Haydn, Chopin, Brahms, Grieg dan Tchaikovsky. Bacalah tinta-tinta Milton, Keats, Whitman, Melville, Poe, Molière, Ibsen, Williams, O'Neill, Shakespeare, Twain dan Dickens. Tatapilah simbahan lukisan-lukisan Goya, El Greco dan David.

Sudut terakhir yang dibahas oleh Postman ialah sudut terpenting sekali – sudut bahasa. Di sini, Postman menyeru pembaca untuk mengetahui hakikat bahasa yang membentuk sesebuah realiti. Bahasa juga bukan sahaja berfungsi sebagai kenderaan, tetapi bahasa itu – seperti yang disebut oleh Wittgenstein – merupakan pemandu. Kita menuju ke mana yang mereka bawa. Kita melihat dunia seperti yang dibenarkan oleh mereka dan dari situlah kita menggunakan bahasa untuk mencipta dunia.




Tidak dilupakan juga, bahasa menjadi jalur pembeda antara kesucian dan kekotoran. Apabila kita menggunakan bahasa untuk menyakiti hati orang, menipu, mengutuk, dan mengatakan apa yang tidak kita ketahui, maka kita telah mencemarkan moraliti bahasa itu sendiri seperti yang telah ditekankan dimensi moralnya oleh tokoh-tokoh terdahulu seperti Confucius, Socrates, Bertrand Russell dan John Dewey.

Postman menambah lagi, bahawa tiga elemen terpenting dalam bahasa yang menukang pandangan alam seseorang ialah definisi, soalan dan metafora. Ketiga-tiga elemen ini perlu diberikan prioriti yang tinggi untuk diajar di sekolah.

Metafora misalnya bukan sahaja berfungsi sebagai alat perhiasan yang cantik molek. Bahkan, metafora itu juga merupakan salah satu organ deria kerana dari situlah seseorang pembaca puisi mampu melihat, mendengar, merasa dan menghidu aroma yang terkandung dalam setiap lenggok bait-bait puisi.

Penulis mencadangkan pembaca dua perkara: i) Baca The Story of My Life oleh Hellen Keller dan ii) Setiap subjek – dari biologi sehinggalah matematik – perlu diajar dengan seluas-luas ufuk wacana (benar-salah, makna teori, fakta, inferens, asumsi, penilaian, generalisasi, bersikap kritikal, apa itu definisi-persoalan-metafora & bagaimana ia terbentuk melalui lensa sejarah) bagi memahami pertalian antara bahasa dan realiti.

Dalam teks klasik pendidikan seperti Mishnah juga terkandung contoh-contoh metafora ini. Menurutnya, terdapat empat jenis pelajar: span, penapis segi tiga, penyumbat penapis dan penapis tepung. Span menyerap semua benda; penapis tiga segi menerima pada satu penghujung dan menyingkirkan pada penghujung yang lain; penyumbat penapis membiarkan arak terkumpul lalu bertakung di situ; tetapi penapis tepung – iaitu yang terbaik sekali menapis debu-debu tepung dan mengekalkan tepung-tepung halus di atasnya!

5 bintang lagi untuk Postman.


LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...