Kalau bercakap
soal cinta, aku rasa siapa pun boleh jadi juara. Kau lemparkan sahaja tajuk
‘cinta’, hampir semua boleh ulas dan hurai, tanpa jeda. Berlambakan pakar cinta
dalam dunia ini; yang ada pengalaman, yang tiada pengalaman, yang tengah
kemaruk cinta, yang bercinta setengah jalan. Kau namakan sahaja setiap golongan
manusia, semuanya mampu bicara soal cinta.
“Kau yang
menulis, apa cerita?”
Hah, aku tak
punya apa-apa. Walau sekelumit perasaan cinta itu pun, aku fikir tak layak untuk
aku rasa. Sebab itu aku tak sombong soal cinta, sebab aku tak faham apa itu
cinta. Tapi aku belajar apa itu cinta dari dia.
Si bisu yang
mengajar tentang cinta.
Mampukah kau?
Mengajar cinta sedangkan kau tak langsung mampu berkata-kata? Orang kata manifestasi
cinta itu perlu dengan kata-kata, kalau tak tiada yang nak percaya. Semua kata
hidup perlukan bukti, sedangkan sekecil perkara pun orang tagih bukti sebab nak
puaskan hati, inikan pula cinta yang bermain dengan perasaan dalam jiwa. Yang
kalau kau robek dan tikam sedalamnya aku percaya luka tetap luka, walau kau dah
pun redha.