Halaman

Ahad, 13 November 2016

Mengenai Kejahatan

Ketika artikel ini ditulis, dunia baru sahaja digegarkan dengan berita menyedihkan mengenai pengeboman di Lahore yang berlaku pada hari suci bagi penganut Kristian, iaitu Ahad Palma. Kira-kira 72 warga Pakistan maut, antaranya anak-anak kecil, kerana pengebom tersebut memilih untuk menjadi Tuhan di sebuah taman awam yang sering dikunjungi keluarga.

Aku tertanya-tanya, bagaimana hari si pengebom tersebut bermula? Mungkin, seperti aku, dia bangun awal pagi sebelum terbit matahari untuk menunaikan solat Subuh, dan kemudian tidur kembali. Namun aku rasa, seseorang yang ingin mencabut nyawanya sendiri serta orang lain mungkin tiada masa untuk tidur.

Aku bayangkan si pengebom ingin menjalani saat-saat terakhirnya melakukan perkara-perkara bermakna. Mungkin matanya singgah untuk menatapi barang-barang miliknya; cawan kopi dari malam sebelumnya di atas meja, kaca mata sederhana besar di sebelah cawan, buku nota catatan-catatan penting, pen hitam yang dakwatnya sudah separuh,  beberapa cebisan kertas yang tidak penting, sampul surat yang terbuka berisi bil atau saman, dan kemudian, wayar-wayar yang bersambung kepada alat detonasi yang telah dipasang dalam sebuah jaket.

Mungkin si pengebom memulakan harinya dengan menjerang air di atas dapur, dan membuatkan kopi panas untuk dirinya. Apakah si pengebom ada berbual-bual dengan orang lain? Adakah si pengebom membuat panggilan telefon kepada ibunya, ayahnya, kekasihnya, ataupun sahabatnya untuk mendengar suara mereka buat kali terakhir? Apakah mungkin dia menjatuhkan beberapa klu mengenai hari yang terakhir baginya, namun klu itu tidak dapat ditangkap oleh orang di sebalik panggilan tersebut. Aku bayangkan si pengebom mungkin mempunyai sedikit keraguan mengenai aksi yang akan dilakukannya, namun keraguan itu dibunuh dengan kepercayaan bahawa aksi yang dilakukan adalah betul dan perlu. Mungkin juga si pengebom menghubungi ketuanya dan menyatakan keraguannya, hanya dibalas dengan syarahan yang menggamit emosi mengenai sambutan meriah para penganut syurga yang dikatakan telah lama menantinya. 

Orang ramai tidak suka, apa yang aku cuba buat. Iaitu percubaan untuk memanusiakan seseorang yang sudah melakukan kejahatan yang berskala sebegini besar. Orang ramai lebih suka untuk melihat si pengebom sebagai haiwan, bajingan, ‘monster’, setan; apa-apa sajalah asalkan bukan manusia. Orang ramai mahu memperluaskan jurang antara mereka dengan si pengebom sebesar-besarnya. Kita, tidak sama seperti pengebom, fikir mereka. Pengebom sudah kehilangan nilai kemanusiaan, si pengebom seorang penjahat yang maha jahat, seorang pengecut dan bahlul yang membunuh dirinya sendiri, pengecut kerana tidak berani untuk berdepan dengan efek dari perbuatan jijiknya; bahlul, kerana beranggapan penganut syurga menyukai pertumpahan darah, lebih-lebih lagi darah anak-anak kecil yang tidak bersalah.

Dan orang ramai adalah betul. Si pengebom adalah semua ini, dan mungkin lebih lagi. Kita pasangkan semua adjektif negatif yang boleh difikirkan kepada pengebom, dan tiada siapa yang boleh bantah, kerana si pengebom adalah kesemuanya. Namun, orang ramai tidak boleh lupa, bahawa si pengebom bukan lah seorang yang supernatural. Di sebalik semua adjektif-adjektif negatif ini, adalah satu fakta bahawa si pengebom adalah manusia. 

Sese-ORANG. Seperti kita juga.

Memanusiakan kembali seorang pengganas, walaupun suatu yang amat kontroversi, pada pendapat aku merupakan suatu usaha yang amat penting sekali untuk menganalisa, mengapa ia jadi begini. Bukankah itu persoalan semua orang ketika mana-mana aksi terorisme berlaku? Di Paris, Brussels ,  Baghdad, Jakarta? Semua orang tertanya,  bagaimana seseorang sanggup melakukan perbuatan terkutuk ini? Dan orang hanya fokus kepada “perbuatan terkutuk”, dan memang betul, tidak dinafikan ianya adalah perbuatan terkutuk. Tetapi bahagian pertama persoalan tersebut adalah “bagaimana seseorang”. Orang ramai perlu sedar akan fakta ini. Bahawa sebelum pengebom menjadi pengebom, dia adalah sebahagian daripada orang ramai. Yang, seperti kita juga, mempunyai hidup, kerja, keraguan, masalah, keseronokan, cinta, kekecewaan. Bagaimanakah seseorang yang biasa-biasa sahaja, boleh terdorong untuk melakukan sesuatu yang sangat tidak biasa?

Ingin aku tegaskan di sini, bukanlah niat aku untuk menganalisa faktor sosio-ekonomi yang mendorong seseorang dari kawasan konflik ataupun bangsa minoriti kepada aksi keganasan. Itu adalah tugas penganalisa sains sosial. Bukan juga niat untuk menulis sebuah wacana apologis kepada sebuah aksi terorisme. Tidak, aku dengan sepenuh yakinnya menolak aksi terorisme, apatah lagi yang dilakukan dibawah nama Tuhan yang juga aku sembah. Jauh lagi dari merasa simpati terhadap mana-mana pelaku keganasan mahupun apa yang mereka perjuangkan. Namun, ini merupakan sebuah percubaan untuk menyelidiki apa yang mendorong si pengebom untuk membuat sebuah aksi kejahatan dengan mengikuti tradisi filsuf terkenal pasca moden, Hannah Arendt. (Dan sebagaimana percubaan-percubaan yang ingin meniru langkah tokoh yang terkenal, percubaan aku sentiasa mempunyai kemungkinan untuk tersilap langkah dan tersadung tidak menemui hujung jalan. Apologi kepada Arendt.)

Persoalan-persoalan ini merupakan persoalan yang cuba dirungkai oleh Hannah Arendt dalam bukunya berjudul Eichmann in Jerusalem; Banality of Evil. Buku ini sebenarnya merupakan koleksi laporan  kewartawanan yang dilakukan oleh Arendt dalam membuat liputan perbicaraan seorang pegawai Nazi, iaitu Adolf Eichmann, oleh mahkamah di Jerusalem atas penglibatannya dalam jenayah holokaus di Eropah.
Eichmann, selepas kekalahan pihak Jerman di penghujung Perang Dunia Kedua, berjaya melarikan diri ke Argentina dan memulakan kehidupan baru bersama keluarganya, meninggalkan jenayah-jenayah kejinya terhadap mangsa holokaus . Namun, pada tahun 1960, ajen Mossad dari Israel menculik Eichmann dari kediamannya di Argentina, kemudian membawanya ke Israel, di mana dia dibicarakan. Dan insiden ini merupakan insiden yang amat besar pada ketika itu, antara sebabnya adalah persoalan adakah penculikan Eichmann sah dari segi undang-undang, dan wajarkah Eichmann dibicara oleh mahkamah Israel, bukan mahkamah antarabangsa seperti perbicaraan Nuremberg yang dilakukan beberapa tahun sebelumnya.

Gambar 1. Adolf Eichmann dalam perbicaraannya di Jerusalem (Gambar diambil dari Times of Israel)

Hannah Arendt pula merupakan seorang intelektual Yahudi yang berasal dari Jerman, dan berada di Jerman ketika Nazi masih menguasai negara itu. Berpindah ke Amerika Syarikat bersama ibunya setelah peristiwa dirinya ditangkap dan di soal siasat oleh pegawai Nazi. Namun, nasibnya begitu baik apabila dilepaskan oleh pegawai tersebut yang membuatkannya tekad untuk meninggalkan negara kelahirannya. Orang-orang Yahudi di Eropah yang kurang bernasib baik seperti Arendt, diperlakukan terhadap mereka sebuah jenayah kemanusiaan yang mengejutkan dunia. Kerakyatan mereka diluputkan, harta-harta mereka dirampas, yang lebih bernasib baik diusir keluar, jutaan yang tidak bernasib baik dikumpulkan dan dihantar ke kem konsentrasi, identiti mereka dimusnahkan,  di mana ada antara mereka yang dijadikan buruh paksa, namun hampir kesemuanya menemui maut di dalam kamar gas beracun ataupun pasukan senjata api. 

Gambar 2. Hannah Arendt (diambil dari The New Yorker)


Kembali kepada perbicaraan Eichmann  yang berlangsung selama beberapa bulan, Arendt mengambil sudut lain dalam menilai tertuduh (Eichmann) serta kejahatan yang dilakukan terhadap  kaumnya. Arendt melaporkan, perkara yang amat mengejutkannya mengenai Eichmann yang pada waktu itu sudah berumur ialah betapa biasa-biasanya dia. Dia seperti orang-orang tua lain. Eichmann bukan seorang yang bodoh, namun seseorang yang berpendidikan. Eichmann mempunyai pengetahuan yang agak luas mengenai orang Yahudi dan ini memudahkan kerjanya. Kerja Eichmann ketika pemerintahan Hitler adalah untuk memikirkan logistik berkaitan perpindahan besar-besaran masyarakat Yahudi. Dan perpindahan yang dimaksudkan termasuklah perpindahan Yahudi ke kem-kem konsentrasi dan kem-kem pembunuhan yang lain. 

Dan Arendt menjelaskan bahawa tugas ini bukanlah sesuatu yang mudah. Bukannya memindahkan beberapa puluh keluarga Yahudi, tetapi ratusan ribu yang berada dibawah seliaan Eichmann. Ianya melibatkan logistik mengenai kereta api, bandar-bandar, kawasan-kawasan kem, dan battalion SS. Ianya memerlukan seseorang yang berakal, bukannya lembab. Dan Eichmann adalah orang yang terpilih ini. Dalam perbicaraan tersebut, Eichmann mengakui dia sedar apa yang dilakukannya,  serta sedar akan nasib yang menanti orang-orang Yahudi pada ketika itu, namun tegas mengatakan bahawa dia hanyalah menurut perintah dan undang-undang pada ketika itu.

Persoalan mengenai Holokaus merupakan isu yang banyak dibahaskan oleh para pemikir falsafah dan sains politik. Banyak teori yang dikedepankan untuk cuba memahami titik hitam sejarah manusia ini. Antara teori popular pada ketika itu adalah teori yang mengatakan kejahatan ini berpunca daripada niat jahat seseorang atau sekelompok manusia; Adolf Hitler dan parti Nazi-nya. Mereka memang mempunyai niat untuk membuat jahat terhadap masyarakat Yahudi, Gipsi dan pihak yang menentang ideologi mereka. Yang ditekankan oleh pendapat ini ialah niat untuk membuat kejahatan. Arendt menentang keras teori ini.

Baginya, parti Nazi itu tidak hanya tertakluk kepada penglibatan beberapa figura, ianya melibatkan ratusan ribu masyarakat Jerman, dari askar yang menggerakkan kereta api sehinggalah para petani dan pekedai yang mengundi dan menyokong ideologi Nazi. Adakah mereka ini rata-ratanya jahat juga sama seperti Hitler? Bagi Arendt, jawapannya tidak semestinya. Mereka ini, seperti sudah disebutkan sebelumnya, kebanyakannya adalah manusia-manusia biasa. Jadi apakah yang menyebabkan mereka sanggup membiarkan serta mengambil bahagian dalam kejahatan yang berlaku?

Arendt mengatakan, ianya bukanlah sesuatu yang inheren, dan mereka bukanlah sejak azalinya jahat, tidak, jawapan ini begitu mudah dan simplistik. Ianya tidak lain tidak bukan hanya bertujuan untuk membezakan diri kita dengan si tertuduh, sekaligus mewujudkan dikotomi jahat-baik di mana dia berada di bahagian jahat; kita, baik. Namun, sesuatu yang menguasai ratusan ribu manusia pada ketika itu adalah sesuatu yang pasif. Ianya sesuatu yang dipanggil ; thoughtlessness. Manusia-manusia yang terlibat pada ketika itu menggantungkan keupayaan mereka untuk berfikir, menilai dan membuat keputusan secara independen. Profesor-profesor di universiti-universiti Jerman, askar-askar yang mengusir Yahudi masuk kedalam kereta api, jurutera-jurutera yang melakar pelan pembinaan ruang gas beracun, penduduk kampung-kampung yang berada di sepanjang trek kereta api menuju kem konsentrasi, mereka semua pada ketika itu semuanya terlibat dalam apa yang digelar thoughtlessness ini. Semuanya gagal mempersoalkan, apa yang aku buat sekarang ini? Adakah betul perbuatan aku? Jika difikirkan, yang mengepalai parti Nazi hanyalah sebilangan ketua-ketua, yang disokong oleh jentera Nazi yang terdiri daripada golongan marhaen. Betapa destruktifnya autoriti apabila bercampur dengan kegagalan mereka secara individu untuk mempersoalkan dan menilai perlakuan mereka. Akhirnya ini menghasilkan sebuah gergasi kejahatan yang membunuh jutaan manusia yang tidak bersalah. Inilah, kata Arendt, apa yang menghasilkan kejahatan. Kejahatan yang bukan berasal daripada unsur kejahatan yang inheren dalam diri manusia, namun kejahatan yang biasa sekali.  Banality of Evil

Terdapat juga golongan minoriti bangsa Jerman yang menentang ideologi Nazi. Arendt menerangkan adanya golongan ini bukan hanya kerana pengetahuan nilai moral yang mereka miliki. Sudah tentu semua orang belajar dan tahu akan nilai-nilai kemanusiaan di Jerman pada ketika itu, yang mana merupakan negara majoriti Kristian yang antara pegangannya ialah  perintah: Thou shalt not kill. Namun zaman pemerintahan Nazi menyaksikan nilai-nilai moral yang biasa sudah tunggang terbalik dimana ketakutan yang tidak rasional dan propaganda berleluasa menyaksikan orang yang sepatutnya paling bermoral seperti guru atau ketua agama terlibat dalam perlakuan yang paling tidak bermoral. Semua orang menerima sahaja undang-undang totalitarian Nazi. 

Arendt turut mengaplikasikan teori Kant dalam  membuat penilaian estetik, iaitu meletakkan pengadil di luar objek yang diadili. Sudah tentu kita yang melihat kecantikan pada sebuah objek seni tidak mempunyai invested emotion/interest kepada objek tersebut, melainkan kitalah penghasilnya. Begitulah kata Arendt apa yang sepatutnya kita lakukan dalam mengadili keadaan ketika mana Nazi berkuasa. Kita perlu meletakkan diri kita di luar dan cuba mengadili sebuah undang-undang ataupun perintah Nazi seolah-olah kita tidak mempunyai apa-apa kaitan dengan keadaan itu; disinterested judgment. Hanya dengan inilah kita dapat membuat keputusan yang bermoral pada ketika keruntuhan nilai moral berleluasa dalam masyarakat serta perintah Nazi yang amat dituruti ketika itu. Inilah yang berjaya dilakukan oleh golongan bangsa Jerman yang menentang dan tidak mahu melibatkan diri dalam agenda genosid Hitler.

Kesan daripada analisa unik ini, laporan Arendt serta penerbitan bukunya mendapat tentangan daripada ramai pihak, terutamanya dari para intelektual bangsa Yahudi akibat dari teorinya ini. Beberapa buku, editorial surat khabar dilancarkan bagi mematahkan teori Arendt. Bagi mereka,  begitu kurang ajar untuk menyamakan perkataan biasa-biasa(banal) kepada kejahatan yang begitu menyakitkan dan hampir menghapuskan bangsa mereka dari bumi, sebuah ancaman eksistensi yang benar amat. Bagaimana Arendt, yang dirinya juga seorang Yahudi dan hampir melalui nasib yang sama, menyamakan holokaus dengan aksi yang dikatakannya biasa-biasa?

Namun, perkataan biasa-biasa disini bukanlah kerana Arendt berniat untuk memperkecil atau memandang rendah akan skala kejahatan holokaus. Arendt tidak menidakkan fakta bahawa holokaus adalah suatu kejadian genosid yang unik di dunia ini. Dan ia bukanlah bermaksud yang terlibat adalah orang-orang yang bodoh, lantas seolah-olah mengurangkan keterlibatan dan tanggungjawab pelaku Holokaus. Namun, kejahatan ini dilihat Arendt sebagai sesuatu yang biasa kerana penglibatan mereka-mereka yang biasa, normal. Orang-orang normal yang boleh menghasilkan kejahatan yang luar biasa.

Dan fakta inilah yang amat menakutkan sekali. Bahawa yang melakukannya bukanlah seorang jin atau setan yang memang berjanji untuk memusuhi umat manusia, namun manusia yang amat biasa sekali.  
Kembali kepada si pengebom di Lahore, aku yakin, dia juga sebelum menjadi statistik pengebom berani mati, adalah seorang manusia yang biasa. Seorang manusia yang mana jika aku dan dia duduk bersebelahan di bangku taman, aku tidak akan dapat agak bahawa dia mendokong ideologi teroris. Apa yang mendorongnya melakukan perbuatan terkutuk tersebut ialah daripada kegagalannya untuk berfikir mengenai perintah dari ketuanya. Dia tidak berhenti untuk menilai propaganda terorisme yang disuapkan kepadanya, tidak berhenti untuk bertanya apakah perintah yang dikeluarkan ini betul dari segi moral? Kegagalannya untuk menilai inilah yang membuatnya sanggup melakukan aksi kejahatan walaupun ianya bercanggah dengan semua nilai moral yang diajar oleh agamanya.

Analisis Arendt terhadap betapa normalnya Eichmann melawan persepsi  orang ramai terhadap pegawai Nazi yang selalu dikatakan sebagai seorang psiko. Ianya tidak dinafikan, lebih mudah untuk mengatributkan kegilaan kepada pelaku jenayah daripada cuba untuk memahami sebuah aksi gila yang dilakukan oleh orang yang waras. Kerana ke-normal-an seseorang ini, membuka ruang pertanyaan, apakah kemungkinan orang-orang sekitarku yang aku anggap normal juga boleh membuat perlakuan sebegini juga? Apa yang lebih menakutkan ialah, persoalan; apakah aku yang amat biasa-biasa ini juga sebenarnya merupakan skru kepada mesin kejahatan yang tidak aku sedari? Dan mungkin, analisis Arendt terhadap kejahatan boleh diperluas kepada ruang-ruang lain dimana kepincangan sesuatu sistem dapat dilihat. 

Petani yang berada di Jerman yang bersorak dengan semangat mendengar syarahan Hitler, profesor universiti yang tekun mengajar biologi yang mementingkan supremasi orang kulit putih terhadap bangsa lain, pegawai polis yang menangkap, mengherdik dan menampar mahasiswa-mahasiswi yang duduk bantah di universiti, pegawai-pegawai kedutaan di luar negara yang mengugut pelajar tajaan yang menyertai protes, wartawan-wartawan yang menurut perintah menukarkan sudut berita untuk memaparkan cerita yang berat sebelah, dan guru sekolah yang menengking pelajar yang memakai selipar ke kelas kerana hari sebelumnya hujan dan kasut sekolahnya basah.

Jika Arendt benar, maka mereka (baca : kami, aku) tidak berniat jahat. Mereka yang, meminjam kata Nietzsche, "human, all too human," tidak mempunyai satu zarah jahat pun didalam nurani mereka. Namun, mereka hanyalah menurut perintah. Dan ketika mendapat perintah tersebut, gagal untuk berfikir, menilai, bertanya diri sendiri, apa yang aku buat ini, betul atau tidak? Dan Eichmann, sehingga menghampiri saatnya dihukum bunuh, masih menunjukkan tiada rasa bersalah atas kesalahannya. Kerana baginya, dia hanyalah menurut perintah. 

He was not stupid. It was sheer thoughtlessness- something by no means identical with stupidity - that predisposed him to become one of the greatest criminals of that period." - Hannah Arendt, Eichmann in Jerusalem : The Banality of Evil.

Rujukan :
  1. Hannah Arendt, Eichmann in Jerusalem: The Banality of Evil
  2. Hannah Arendt, Responsibility and Judgment.

H-z. K
Suntingan: Kru Buku Jalanan Jerman

Sabtu, 30 April 2016

01001101 01100001 01101011 01101100 01110101 01101101 01100001 01110100

    





     Maklumat mungkin sekali merupakan blok binaan paling asas di alam semester ini, lebih asas berbanding zarah-zarah asas (fundamental particles) seperti boson atau fermion. Ini kerana semua objek yang wujud dapat dipecahkan dan dihuraikan dalam bentuk maklumat. Namun begitu, tidak seperti zarah-zarah asas yang wujud secara konkrit, maklumat sekadar wujud secara abstrak dalam bentuk binary, flip-flops dan betul-atau-salah.

     Ledakan dan kebanjiran maklumat yang berlaku kini banyak dibantu dan dimangkin oleh internet. Internet mencipta kebanjiran maklumat secara dwiarah, i.e. internet menyediakan akses kepada pelbagai jenis maklumat dengan mudah di hujung jari dan pada masa yang sama menyediakan platform untuk sesiapa sahaja menyumbang dan memuat naik isi kandungan dan maklumat ke dalam internet (seperti blog ini).


     Neil Postmann dalam Technopoly (1992) turut mendedikasikan dua bab untuk membicarakan secara khusus berkenaan maklumat, bab 4 The Improbable World dan bab 5 The Broken Defenses. The Improbable World membicarakan bagaimana perkembangan sains dan teknologi telah membawa satu masalah baru: kebanjiran maklumat (information glut) dan mengakibatkan kekacauan maklumat (information chaos). Masalah yang timbul dari kebanjiran maklumat menurut Postmann bukan berpunca dari kekurangan maklumat, tetapi kekurangan kemampuan untuk menganalisa dan meletakkan prioriti pada maklumat tersebut. Bab seterusnya The Broken Defenses menerangkan kepentingan untuk mengawal dan menghadkan maklumat supaya manusia dapat mencari makna dalam maklumat. Kurikulum universiti, mahkamah, keluarga, sekolah, parti politik, agama dan negara merupakan mekanisme untuk mengawal maklumat dan ini dilakukan dengan mengutamakan sebahagian maklumat dan menyisihkan sebahagian maklumat lain yang tidak relevan.

      Kita dapat lihat pada zaman sekarang bagaimana mekanisme pertahanan maklumat tidak dapat mengekang atau mengawal ledakan maklumat yang berlaku terutama yang bersumberkan internet. Meskipun internet membuka ruang untuk menerokai rimba maklumat, internet juga turut membuatkan orang ramai semakin lemas dan keliru tentang apa yang betul atau salah. Jika sebelum ini mereka biasa berpegang dengan satu pendapat pakar atau autoriti sesuatu bidang dalam sesuatu isu, kini mereka telah didedahkan dengan pelbagai jawapan (walaupun tidak sahih) berkenaan isu yang sama; untuk sesuatu fakta akan wujud anti-fakta, tesis dan anti-tesis walaupun tidak semua kepelbagaian pendapat merujuk kepada percanggahan pendapat.

     Kebanjiran maklumat turut mengaburkan garisan pakar/autoriti ilmu dengan amatur. Berbekalkan maklumat yang mudah di Internet, amatur percaya mereka dapat menyanggah pendapat dari pakar yang telah menerima bertahun latihan dan ilmu dalam sesuatu bidang. Kebangkitan golongan amatur ini dapat dilihat agak jelas dalam bidang agama  dan perubatan. Amatur bukan sahaja menerima maklumat tidak sahih dari internet, bahkan mereka turut sama menyumbang kekeliruan dengan memuat naik lebih banyak maklumat tidak sahih ke dalam internet. Blog, YouTube dan media sosial merupakan platform utama untuk menambah satu lagi versi ‚kebenaran‘ dalam lambakan ‚kebenaran‘ yang sedia ada.  

     Kemahiran logik, mantik dan critical thinking  merupakan alat minda yang penting untuk menilai dan menapis maklumat. Kemahiran logik membantu dalam proses menghubungkan maklumat, menilai, melakukan sintesis, membuat deduksi/induksi seterusnya menyimpulkan maklumat.  Selain itu, logik turut menekankan supaya hujah atau fakta perlu dicari bukan sekadar untuk mengukuhkan sesuatu pendapat, tetapi hujah yang menolak pendapat juga perlu dicari tersebut untuk mengelakkan confirmation bias. Formal fallacy pula misalnya membantu menilai sesuatu kesimpulan berdasarkan struktur( form) hujah dan informal fallacy membantu dalam mengenal pasti kesahihan isi hujah. Untuk mereka yang selalu terdedah dengan internet terutama media atas talian, media sosial, dan blog, saya rasa amat penting untuk sekurang-kurangnya menguasai asas kemahiran logik.

     Kebanjiran maklumat dan teknologi internet terdapat banyak sisi hitam dan putihnya. Sekalipun artikel ini tidak menggariskan sisi positif kebanjiran maklumat dan internet tidak bermaksud ianya tidak wujud atau tidak penting. Artikel ini membiarkan artikel atau buku lain untuk mengetengahkan atau mengemukakan kajian tentang kesan positif dan kesan negatif selain daripada yang yang tertulis di atas. Bacaan lanjut berkenaan topik ini sangat digalakkan.




















Jumaat, 1 April 2016

Generasi


[Tulisan cerpen pendek ini adalah hasil rekaan penulis semata-mata. Namun begitu, perbualan antara Naruto dan Boruto turut diselitkan dengan maklumat dan sejarah sebenar yang berlaku dalam dunia Naruto ciptaan mangaka Masashi Kishimoto]



Bunshin no jutsu!” jerit Boruto sambil matanya terpejam dan kedua tapak tangan dirapatkan membentuk jurus.

Hasil?
Hanya satu sahaja klon yang berjaya terhasil. Itupun warnanya putih. Dan hanya terbaring lesu di tanah.

“Hahaha!” Naruto tertawa besar sambil kedua tangannya diletakkan di atas perut, menahan gelak. Tak dapat menahan diri melihat telatah anaknya itu.

“Ayah tak perlulah ketawa sampai macam tu!” cebik Boruto sambil pipi kanannya dikembungkan tanda merajuk.

“Iyalah, ayah minta maaf,” pujuk Naruto.

Ukiran wajah Naruto dengan contengan dek kenakalan Boruto.
 
Bukan mudah untuk Naruto punya masa lapang sebegini. Sejak menjadi Hokage kampung Konoha, saban waktunya sentiasa sahaja sibuk. Banyak perkara kini menjadi tanggungjawab penuh Naruto selaku orang paling penting Konoha. Menghadiri mesyuarat, menjaga keselamatan Konoha serta mengagihkan tugasan misi bagi ninja di setiap tahap sudah menjadi rutin hariannya.

Dan sebab itu, jarang sekali Naruto mempunyai masa untuk diluangkan bersama anak-anaknya. Mujur hari ini dia dapat mencuri sedikit waktu pada petang sebegini memandangkan banyak tugasan sudah pun selesai.

Anak sulungnya, Boruto tidak lama lagi bakal menduduki peperiksaan untuk menamatkan pengajian di Akademi Ninja. Jadi hari ini dia menemani anaknya untuk berlatih. Tidak sangka walaupun sudah belasan tahun berlalu, syarat untuk lulus peperiksaan masih sama seperti dahulu. Iaitu harus berjaya menghasilkan sekurang-kurangnya tiga klon menggunakan teknik bunshin no jutsu. Sedangkan Naruto dahulunya semasa hari peperiksaan gagal dengan hasil yang sama seperti apa yang baru dilakukan Boruto tadi. Itu yang membuatnya tidak tahan ketawa. Terus sahaja terkenang zaman kanak-kanaknya sendiri.
 “Tahulah ayah ninja yang hebat, Hokage malah. Senang sahaja mahu kawal chakra untuk hasilkan klon,” cebik Boruto lagi. Kali ini kedua pipinya pula dikembungkan.

‘Ah, tak habis lagi rajuk anak aku ni rupanya,’ fikir Naruto sendirian.

Boruto, tidak puas hati.
Anaknya ini, sebenarnya tidak jauh keletah dan perangainya seperti Naruto semasa kecil dahulu. Sentiasa sahaja mahukan perhatian. Pernah dahulu Boruto mengecat ukiran para Hokage, sama sepertinya ketika kecil. Sekilas pandang, seolahnya sama. Namun Naruto tahu, perhatian yang dipinta dari Boruto sedikit berbeza dari perhatian yang dia mahukan dulu.

Naruto, memang sejak kecil lagi tidak punya ahli keluarga. Sebatang kara. Tidak ada hubungan perasaan yang mendalam terhadap orang keliling. Ya, Iruka terkecuali. Namun, hubungan guru-murid pasti berbeza dengan hubungan ayah-anak. Boruto sangat menghormati dan mahukan perhatian ayahnya yang selalu ditenggelami kesibukan kerja. Barangkali cemburu melihat kawan-kawan lain yang sentiasa sahaja punya ayah di sisi untuk teman bermain. Jadilah dia selalu sahaja beraksi nakal semata-mata mahukan perhatian Naruto.

“Boruto, yang kamu nampak di hadapan kamu sekarang ini hanyalah produk akhir. Dari kecil sampailah ke hari ini, banyak yang telah ayah lalui yang membentuk siapa ayah sekarang. Itupun, ayah rasa masih banyak lagi perkara yang perlu dipelajari dan diterokai,” ujar Naruto menasihati.

“Ayah ni, berfalsafah pula. Boruto tengah nak berlatih teknik bunshin no jutsu je pun, bukannya tanya tentang persoalan kehidupan,” dengus Boruto.

“Akademi Ninja ini pun satu hal. Kenapa perlu ada peperiksaan semua ni? Kenapa kami semua tidak boleh terus sahaja melangkah ke dunia pertarungan ninja? Sudahlah guna peperiksaan yang sama setiap tahun. Bukankah tidak adil kalau memang ada yang tidak boleh guna teknik ini dengan baik? Senang-senang sahaja pihak akademi tahan dari graduasi dan harus mengulang pula setahun lagi. Boruto pandai bertarung, pandai juga menggunakan shuriken dan selalu sahaja menang apabila berlawan sesama rakan sekelas,“ rungut Boruto panjang lebar.

“Kawan-kawan lain pula asyik ejek Boruto atas kelemahan tidak dapat menguasai teknik bunshin yang mudah ini sedangkan Boruto ini anak Hokage,” sambung Boruto dengan nada suara yang perlahan, kepalanya sedikit menunduk.

Naruto merenung anaknya sejenak. Cuba memahami perasaan Boruto sambil otaknya ligat merangka jawapan balas yang terbaik.

Naruto memulakan bicara, “Kamu tahu, Boruto,” sambil menyusun kata dalam kotak fikirannya.

“Manusia itu, tidak dicipta untuk mampu buat semua benda. Manusia yang serba-serbi hebat memang tidak wujud. Sebab itu kamu ada nakama, teman seperjuangan yang boleh bantu menampung kelemahan diri kamu. Tapi, manusia juga tidak dicipta untuk mengaku kalah dan berputus asa hanya kerana percubaan di peringkat awal tidak membuahkan hasil.”

“Tapi Boruto dah cuba, dan dah berlatih banyak kali,” Boruto mencelah.

“Apa definisi banyak kali bagi kamu itu sebenarnya? Ayah tahu kamu ni senang menguasai teknik pertarungan dan cepat belajar. Jadi bila kamu berhadapan dengan teknik yang susah, yang tidak dapat kamu kuasai di peringkat awal seperti mana kamu kuasai teknik lain, kamu sudah putus asa. Begitu bukan?”
Boruto senyap. Tidak mengeluarkan sebarang suara. Sambil anak matanya mengelak pandangan tajam ayahnya. Reaksi yang mengiyakan kata-kata Naruto sebentar tadi.

“Boruto, kamu tahu bagaimana kampung Konoha ini terbentuk?” tanya Naruto tiba-tiba. Sengaja dia menukar topik perbualan melihatkan wajah Boruto yang berubah kelat.

“Err, kalau dari kelas sejarah dahulu, Konohamaru-sensei kata, Konoha mula terbentuk bilamana puak-puak yang selalu berperang di kawasan ini dahulu mencapai kata sepakat untuk berhenti berperang,” kata Boruto sedikit teragak-agak.

Boruto memang tidak menggemari subjek Sejarah. Baginya, entah apa kepentingan di masa sekarang dan hadapan untuk mengetahui tarikh-tarikh silam, cerita orang tua atau yang sudah mati, yang tiada kaitan dengan dirinya bahkan dipenuhi catatan kronologi yang kompleks dan rumit. Membosankan sungguh. Walaupun soalan ayahnya dijawab, Boruto sebenarnya tertanya sendiri mengapa tiba-tiba sahaja ayahnya melontarkan pertanyaan yang tiada kaitan dengan perbualan mereka.

“Dan siapa tokoh yang bertanggungjawab merealisasikan pembentukan Konoha tu?” tanya Naruto lagi.

“Err. Yang dua ukiran di ‘Valley of The End’ itu kalau tak silap?” Boruto mengagak.

“Betul, siapa nama mereka?”

“Emm. Senju dan Uchiha. Senju Hashirama dan Uchiha Madara?”

Ukiran Uchiha Madara dan Senju Hashirama di Valley of The End.
 
“Betul. Dahulu, Konoha tidak wujud. Puak-puak saling berbunuhan. Dan ketika itu, dua puak yang paling kuat adalah puak Uchiha dan puak Senju. Bilamana kedua-dua ketua puak ini mencapai kata sepakat untuk berhenti berperang sesama mereka, puak-puak lain pun ikut sama. Kemudian Hokage pertama pun dilantik dan tertubuhlah Konoha. Itu yang kamu belajar di akademi bukan?” tanya Naruto.

Boruto mengangguk perlahan. Sambil otaknya cuba mengingat kembali isi kelas sejarahnya dahulu.

“Tapi kamu tahu atau tidak bahawa rancangan untuk penubuhan kampung sudah jauh lebih lama dibincangkan? Atau lebih tepat lagi, diangan-angankan? Yang di angankan itu akhirnya menjadi kenyataan. Keamanan yang kita dapat hari ini, adalah buah dari tanaman angan-angannya itu. Menarik bukan? Mimpi jadi realiti?”

“Hmm. Entahlah, biasa sahaja.”

‘Budak-budak zaman sekarang. Sudah dapat keamanan, terus tidak dapat merasai perasaan hidup dalam ketakutan situasi berperang. Benarlah kata orang, bila sudah merasai kesenangan, memang tidak terlintas di fikiran kemungkinan hidup susah,’ bisik Naruto dalam hati.

“Sebelum Konoha wujud, semua puak saling berbunuhan. Pertarungan paling sengit ketika itu adalah antara puak Uchiha dan Senju. Siapa tahu rupa-rupanya, Senju Hashirama dan Uchiha Madara semasa kecil sudah saling berkenalan. Selalu berjumpa untuk sama-sama berlatih. Juga berbual soal masa depan. Pada awal perkenalan, masing-masing menyembunyikan nama keluarga. Supaya tak mahu timbul ketegangan. Namun sepanjang persahabatan, mereka dapat meneka juga, walaupun saling merahsiakan,” ujar Naruto tenang.

“Dan pada masa itulah, ketika zaman di mana tidak wujud walau secebis kemungkinan untuk mencipta keamanan, mereka berbual tentang cita-cita dan harapan. Perbualan anak remaja belasan tahun, yang barangkali keanak-anakan dan tidak berpijak di bumi nyata. Yang barangkali terlalu idealistik sekiranya mahu dibandingkan dengan dunia yang mereka hadapi. Sesekali bicara mereka seputar cadangan pembentukan akademi ninja. Dengan matlamat tidak mahu lagi anak kecil saling berbunuhan. Ada masanya mereka berbual tentang idea penubuhan kampung usai tamat peperangan. Idea-idea utopia yang tiada orang lain selain mereka percaya bahawa ia mampu direalisasikan.”
 
Uchiha Madara dan Senju Hashirama ketika kecil.
“Dan hari ini, apa yang kelihatannya seolah-olah utopia pada masa itu, kini sudahpun menjadi realiti. Konoha hari ini wujud hasil angan-angan mereka ketika kecil dahulu. Boruto, kamu faham apa yang ayah cuba sampaikan?”

“Err, faham sedikit,” jawab Boruto dengan raut wajah sedikit keliru.

‘Ah. Anak aku ini kecil lagi. Entah apalah yang aku harapkan. Aku juga sewaktu seusianya, lambat sahaja menangkap perihal-perihal sebegini.’

“Mudahnya begini Boruto. Apa yang kamu cita-citakan sekarang, di usia kamu yang masih sangat muda, kalaupun ia nampak tidak masuk akal atau seakan mustahil, tapi kalau betul kamu tekad dan sungguh-sungguh, ia benar akan terjadi. Kerana tiada apa yang mustahil, bilamana kamu benar-benar usaha dan diiringi kuasa percaya,” sambung Naruto.
Boruto diam. Sambil kakinya mengais-ngais tanah barangkali memikirkan kebenaran kata-kata ayahnya. Namun, ada secebis keraguan terpamer di raut wajahnya.

Naruto bingkas bangun lalu menepuk belakang tubuh Boruto.

“Bunshin no jutsu!” jerit Naruto. Sambil puluhan klon berjaya dihasilkan.

“Mari, Boruto. Kita berlatih bersama-sama,” suara Naruto sedikit memujuk.

Boruto menuruti dengan acuh tak acuh. Dia mengulang teknik tadi, namun hasilnya masih sama seperti awal. Setelah percubaan yang entah keberapa kali, Boruto berhenti lalu memandang hampa ke arah Naruto.

Naruto tersenyum lalu berkata, “Boruto, ayah ada satu rahsia.”

“Apa dia?” Boruto mengharapkan ilmu tambahan yang dapat membantu latihannya.

“Masa ayah di akademi dahulu, ada seorang budak semasa hari peperiksaan hasilkan klon sama macam kamu buat tadi. Tu yang ayah tergelak bila teringat.”

“Oh. Sebab tu ayah gelak kuat tadi?”

“Tak. Ah, yang buat ayah tergelak tu, kau tahu siapa budak tu?”

“Siapa?”

“Dia, Hokage ketujuh Konoha,” Naruto tersenyum.

Boruto terdiam. Terkejut. Wajahnya dipenuhi riak tidak percaya, tertanya sama ada ayahnya sekadar bergurau atau serius.

Naruto mengangguk dengan segaris senyum di bibir.

“Jadi maknanya, Boruto masih ada harapan lah untuk jadi ninja yang hebat?”

“Mestilah. Kamu kan anak ayah.”
 
“Baik! Kalau begitu Boruto mahu berlatih! Mahu jadi hebat seperti ayah!”
kata Boruto bersemangat dan terus menyambung latihan mengawal chakra untuk menguasai teknik bunshin.

‘Boruto. Ayah sebolehnya tidak mahu kamu jadi seperti ayah.
Ayah mahu kamu jadi jauh lebih hebat dari ayah.’

Mata Naruto terhala ke arah ukiran Hokage di gunung seberang.

Ukiran wajah para Hokage Konoha.

Dulu semasa hanya ada empat ukiran, ukiran-ukiran itu sentiasa saja menjadi mangsa kenakalan bahan contengannya semasa kecil.
Kini ukiran itu sudah bertambah. Sudah ada tujuh.
Dan yang ketujuh adalah ukiran wajahnya sendiri.

Dia tahu maksud disebalik ukiran itu.
Bukan simbol status. Bukan juga simbol kemegahan.
Tapi simbol pelindung.
Simbol bahawa seorang Hokage itu tanggungjawabnya ialah melindungi.
Melindungi Konoha, dan seluruh isinya.
Matanya terhala pula pada Boruto.

Aku tidak tahu selama mana keamanan Konoha hari ini akan mampu kekal.
Kerana aku sama sekali tidak dapat membaca masa depan.
Yang aku mampu, hanyalah mendidik, dan berharap pada kalian, generasi baru.
Yang bakal menentu hala tuju, pada masa dan ketika, yang  barangkali aku sudah tua dan tidak bermaya. Atau boleh sahaja, aku sudah tidak ada lagi di dunia ini.

Segala harapan dan impian,
kini terletak di tangan kalian.

Generasi baru.

*****
Senju Hashirama & Uchiha Madara.

“Masalahnya, bagaimana kita mahu mengubah sesuatu secara konkrit?
Aku tak dapat lihat secara jelas bagaimana masa hadapan nanti.”

“Pertamanya, kau mesti berpegang kepada ideal kau. Dan menjadi lebih kuat.
Kerana jika kau lemah, tiada orang yang akan mendengar apa yang kau kata.”

[Naruto: Bab 623]

*****

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...