[Tulisan cerpen pendek ini adalah hasil rekaan penulis semata-mata. Namun begitu, perbualan antara Naruto dan Boruto turut diselitkan dengan maklumat dan sejarah sebenar yang berlaku dalam dunia Naruto ciptaan mangaka Masashi Kishimoto]
“Bunshin no
jutsu!” jerit Boruto sambil matanya terpejam dan kedua tapak tangan
dirapatkan membentuk jurus.
Hasil?
Hanya satu sahaja klon yang berjaya terhasil.
Itupun warnanya putih. Dan hanya terbaring lesu di tanah.
“Hahaha!” Naruto tertawa besar sambil kedua
tangannya diletakkan di atas perut, menahan gelak. Tak dapat menahan diri
melihat telatah anaknya itu.
“Ayah tak perlulah ketawa sampai macam tu!” cebik
Boruto sambil pipi kanannya dikembungkan tanda merajuk.
“Iyalah, ayah minta maaf,” pujuk Naruto.
|
Ukiran wajah Naruto dengan contengan dek kenakalan Boruto. |
Bukan mudah untuk Naruto punya masa lapang
sebegini. Sejak menjadi Hokage kampung Konoha, saban waktunya sentiasa sahaja
sibuk. Banyak perkara kini menjadi tanggungjawab penuh Naruto selaku orang paling
penting Konoha. Menghadiri mesyuarat, menjaga keselamatan Konoha serta
mengagihkan tugasan misi bagi ninja
di setiap tahap sudah menjadi rutin hariannya.
Dan sebab itu, jarang sekali Naruto mempunyai masa
untuk diluangkan bersama anak-anaknya. Mujur hari ini dia dapat mencuri sedikit
waktu pada petang sebegini memandangkan banyak tugasan sudah pun selesai.
Anak sulungnya, Boruto tidak lama lagi bakal
menduduki peperiksaan untuk menamatkan pengajian di Akademi Ninja. Jadi hari
ini dia menemani anaknya untuk berlatih. Tidak sangka walaupun sudah belasan
tahun berlalu, syarat untuk lulus peperiksaan masih sama seperti dahulu. Iaitu
harus berjaya menghasilkan sekurang-kurangnya tiga klon menggunakan teknik bunshin no jutsu. Sedangkan Naruto
dahulunya semasa hari peperiksaan gagal dengan hasil yang sama seperti apa yang
baru dilakukan Boruto tadi. Itu yang membuatnya tidak tahan ketawa. Terus
sahaja terkenang zaman kanak-kanaknya sendiri.
“Tahulah ayah ninja
yang hebat, Hokage malah. Senang sahaja mahu kawal chakra untuk hasilkan klon,” cebik Boruto lagi. Kali ini kedua
pipinya pula dikembungkan.
‘Ah, tak habis lagi rajuk anak aku ni rupanya,’
fikir Naruto sendirian.
|
Boruto, tidak puas hati. |
Anaknya ini, sebenarnya tidak jauh keletah dan
perangainya seperti Naruto semasa kecil dahulu. Sentiasa sahaja mahukan
perhatian. Pernah dahulu Boruto mengecat ukiran para Hokage, sama sepertinya ketika kecil. Sekilas pandang, seolahnya
sama. Namun Naruto tahu, perhatian yang dipinta dari Boruto sedikit berbeza
dari perhatian yang dia mahukan dulu.
Naruto, memang sejak kecil lagi tidak punya ahli
keluarga. Sebatang kara. Tidak ada hubungan perasaan yang mendalam terhadap
orang keliling. Ya, Iruka terkecuali. Namun, hubungan guru-murid pasti berbeza
dengan hubungan ayah-anak. Boruto sangat menghormati dan mahukan perhatian
ayahnya yang selalu ditenggelami kesibukan kerja. Barangkali cemburu melihat
kawan-kawan lain yang sentiasa sahaja punya ayah di sisi untuk teman bermain.
Jadilah dia selalu sahaja beraksi nakal semata-mata mahukan perhatian Naruto.
“Boruto, yang kamu nampak di hadapan kamu sekarang
ini hanyalah produk akhir. Dari kecil sampailah ke hari ini, banyak yang telah
ayah lalui yang membentuk siapa ayah sekarang. Itupun, ayah rasa masih banyak
lagi perkara yang perlu dipelajari dan diterokai,” ujar Naruto menasihati.
“Ayah ni, berfalsafah pula. Boruto tengah nak
berlatih teknik bunshin no jutsu je
pun, bukannya tanya tentang persoalan kehidupan,” dengus Boruto.
“Akademi Ninja ini pun satu hal. Kenapa perlu ada
peperiksaan semua ni? Kenapa kami semua tidak boleh terus sahaja melangkah ke
dunia pertarungan ninja? Sudahlah
guna peperiksaan yang sama setiap tahun. Bukankah tidak adil kalau memang ada
yang tidak boleh guna teknik ini dengan baik? Senang-senang sahaja pihak
akademi tahan dari graduasi dan harus mengulang pula setahun lagi. Boruto
pandai bertarung, pandai juga menggunakan shuriken
dan selalu sahaja menang apabila berlawan sesama rakan sekelas,“ rungut Boruto
panjang lebar.
“Kawan-kawan lain pula asyik ejek Boruto atas kelemahan
tidak dapat menguasai teknik bunshin
yang mudah ini sedangkan Boruto ini anak Hokage,” sambung Boruto dengan nada
suara yang perlahan, kepalanya sedikit menunduk.
Naruto merenung anaknya sejenak. Cuba memahami
perasaan Boruto sambil otaknya ligat merangka jawapan balas yang terbaik.
Naruto memulakan bicara, “Kamu tahu, Boruto,”
sambil menyusun kata dalam kotak fikirannya.
“Manusia itu, tidak dicipta untuk mampu buat semua
benda. Manusia yang serba-serbi hebat memang tidak wujud. Sebab itu kamu ada nakama, teman seperjuangan yang boleh
bantu menampung kelemahan diri kamu. Tapi, manusia juga tidak dicipta untuk
mengaku kalah dan berputus asa hanya kerana percubaan di peringkat awal tidak
membuahkan hasil.”
“Tapi Boruto dah cuba, dan dah berlatih banyak
kali,” Boruto mencelah.
“Apa definisi banyak kali bagi kamu itu sebenarnya?
Ayah tahu kamu ni senang menguasai teknik pertarungan
dan cepat belajar. Jadi bila kamu berhadapan dengan teknik yang susah, yang
tidak dapat kamu kuasai di peringkat awal seperti mana kamu kuasai teknik lain,
kamu sudah putus asa. Begitu bukan?”
Boruto senyap. Tidak mengeluarkan sebarang suara.
Sambil anak matanya mengelak pandangan tajam ayahnya. Reaksi yang mengiyakan
kata-kata Naruto sebentar tadi.
“Boruto, kamu tahu bagaimana kampung Konoha ini
terbentuk?” tanya Naruto tiba-tiba. Sengaja dia menukar topik perbualan
melihatkan wajah Boruto yang berubah kelat.
“Err, kalau dari kelas sejarah dahulu, Konohamaru-sensei kata, Konoha mula terbentuk
bilamana puak-puak yang selalu berperang di kawasan ini dahulu mencapai kata
sepakat untuk berhenti berperang,” kata Boruto sedikit teragak-agak.
Boruto memang tidak menggemari subjek Sejarah.
Baginya, entah apa kepentingan di masa sekarang dan hadapan untuk mengetahui
tarikh-tarikh silam, cerita orang tua atau yang sudah mati, yang tiada kaitan
dengan dirinya bahkan dipenuhi catatan kronologi yang kompleks dan rumit.
Membosankan sungguh. Walaupun soalan ayahnya dijawab, Boruto sebenarnya
tertanya sendiri mengapa tiba-tiba sahaja ayahnya melontarkan pertanyaan yang
tiada kaitan dengan perbualan mereka.
“Dan siapa tokoh yang bertanggungjawab
merealisasikan pembentukan Konoha tu?” tanya Naruto lagi.
“Err. Yang dua ukiran di ‘Valley of The End’ itu kalau tak silap?” Boruto mengagak.
“Betul, siapa nama mereka?”
“Emm. Senju dan Uchiha. Senju Hashirama dan Uchiha
Madara?”
|
Ukiran Uchiha Madara dan Senju Hashirama di Valley of The End. |
“Betul. Dahulu, Konoha tidak wujud. Puak-puak
saling berbunuhan. Dan ketika itu, dua puak yang paling kuat adalah puak Uchiha
dan puak Senju. Bilamana kedua-dua ketua puak ini mencapai kata sepakat untuk
berhenti berperang sesama mereka, puak-puak lain pun ikut sama. Kemudian Hokage
pertama pun dilantik dan tertubuhlah Konoha. Itu yang kamu belajar di akademi
bukan?” tanya Naruto.
Boruto mengangguk perlahan. Sambil otaknya cuba
mengingat kembali isi kelas sejarahnya dahulu.
“Tapi kamu tahu atau tidak bahawa rancangan untuk
penubuhan kampung sudah jauh lebih lama dibincangkan? Atau lebih tepat lagi,
diangan-angankan? Yang di angankan itu akhirnya menjadi kenyataan. Keamanan
yang kita dapat hari ini, adalah buah dari tanaman angan-angannya itu. Menarik
bukan? Mimpi jadi realiti?”
“Hmm. Entahlah, biasa sahaja.”
‘Budak-budak zaman sekarang. Sudah dapat keamanan,
terus tidak dapat merasai perasaan hidup dalam ketakutan situasi berperang.
Benarlah kata orang, bila sudah merasai kesenangan, memang tidak terlintas di
fikiran kemungkinan hidup susah,’ bisik Naruto dalam hati.
“Sebelum Konoha wujud, semua puak saling
berbunuhan. Pertarungan paling sengit ketika itu adalah antara puak Uchiha dan
Senju. Siapa tahu rupa-rupanya, Senju Hashirama dan Uchiha Madara semasa kecil
sudah saling berkenalan. Selalu berjumpa untuk sama-sama berlatih. Juga berbual
soal masa depan. Pada awal perkenalan, masing-masing menyembunyikan nama keluarga.
Supaya tak mahu timbul ketegangan. Namun sepanjang persahabatan, mereka dapat
meneka juga, walaupun saling merahsiakan,” ujar Naruto tenang.
“Dan pada masa itulah, ketika zaman di mana tidak
wujud walau secebis kemungkinan untuk mencipta keamanan, mereka berbual tentang
cita-cita dan harapan. Perbualan anak remaja belasan tahun, yang barangkali
keanak-anakan dan tidak berpijak di bumi nyata. Yang barangkali terlalu
idealistik sekiranya mahu dibandingkan dengan dunia yang mereka hadapi.
Sesekali bicara mereka seputar cadangan pembentukan akademi ninja. Dengan matlamat tidak mahu lagi
anak kecil saling berbunuhan. Ada masanya mereka berbual tentang idea penubuhan
kampung usai tamat peperangan. Idea-idea utopia yang tiada orang lain selain
mereka percaya bahawa ia mampu direalisasikan.”
|
Uchiha Madara dan Senju Hashirama ketika kecil. |
“Dan hari ini, apa yang kelihatannya seolah-olah
utopia pada masa itu, kini sudahpun menjadi realiti. Konoha hari ini wujud hasil
angan-angan mereka ketika kecil dahulu. Boruto, kamu faham apa yang ayah cuba
sampaikan?”
“Err, faham sedikit,” jawab Boruto dengan raut
wajah sedikit keliru.
‘Ah. Anak aku ini kecil lagi. Entah apalah yang aku
harapkan. Aku juga sewaktu seusianya, lambat sahaja menangkap perihal-perihal
sebegini.’
“Mudahnya begini Boruto. Apa yang kamu cita-citakan
sekarang, di usia kamu yang masih sangat muda, kalaupun ia nampak tidak masuk
akal atau seakan mustahil, tapi kalau betul kamu tekad dan sungguh-sungguh, ia
benar akan terjadi. Kerana tiada apa yang mustahil, bilamana kamu benar-benar
usaha dan diiringi kuasa percaya,” sambung Naruto.
Boruto diam. Sambil kakinya mengais-ngais tanah
barangkali memikirkan kebenaran kata-kata ayahnya. Namun, ada secebis keraguan
terpamer di raut wajahnya.
Naruto bingkas bangun lalu menepuk belakang tubuh
Boruto.
“Bunshin no jutsu!” jerit Naruto.
Sambil puluhan klon berjaya dihasilkan.
“Mari, Boruto. Kita berlatih bersama-sama,” suara
Naruto sedikit memujuk.
Boruto menuruti dengan acuh tak acuh. Dia mengulang
teknik tadi, namun hasilnya masih sama seperti awal. Setelah percubaan yang
entah keberapa kali, Boruto berhenti lalu memandang hampa ke arah Naruto.
Naruto tersenyum lalu berkata, “Boruto, ayah ada
satu rahsia.”
“Apa dia?” Boruto mengharapkan ilmu tambahan yang
dapat membantu latihannya.
“Masa ayah di akademi dahulu, ada seorang budak
semasa hari peperiksaan hasilkan klon sama macam kamu buat tadi. Tu yang ayah
tergelak bila teringat.”
“Oh. Sebab tu ayah gelak kuat tadi?”
“Tak. Ah, yang buat ayah tergelak tu, kau tahu
siapa budak tu?”
“Siapa?”
“Dia, Hokage ketujuh Konoha,” Naruto tersenyum.
Boruto terdiam. Terkejut. Wajahnya dipenuhi riak
tidak percaya, tertanya sama ada ayahnya sekadar bergurau atau serius.
Naruto mengangguk dengan segaris senyum di bibir.
“Jadi maknanya, Boruto masih ada harapan lah untuk
jadi ninja yang hebat?”
“Mestilah. Kamu kan anak ayah.”
“Baik! Kalau begitu Boruto mahu berlatih! Mahu jadi
hebat seperti ayah!”
kata Boruto bersemangat dan terus menyambung
latihan mengawal chakra untuk
menguasai teknik bunshin.
‘Boruto. Ayah sebolehnya tidak mahu kamu jadi
seperti ayah.
Ayah mahu kamu jadi jauh lebih hebat dari ayah.’
Mata Naruto terhala ke arah ukiran Hokage di gunung
seberang.
|
Ukiran wajah para Hokage Konoha. |
Dulu semasa hanya ada empat ukiran, ukiran-ukiran
itu sentiasa saja menjadi mangsa kenakalan bahan contengannya semasa kecil.
Kini ukiran itu sudah bertambah. Sudah ada tujuh.
Dan yang ketujuh adalah ukiran wajahnya sendiri.
Dia tahu maksud disebalik ukiran itu.
Bukan simbol status. Bukan juga simbol kemegahan.
Tapi simbol pelindung.
Simbol bahawa seorang Hokage itu tanggungjawabnya
ialah melindungi.
Melindungi Konoha, dan seluruh isinya.
Matanya terhala pula pada Boruto.
Aku tidak tahu selama mana keamanan Konoha hari ini
akan mampu kekal.
Kerana aku sama sekali tidak dapat membaca masa
depan.
Yang aku mampu, hanyalah mendidik, dan berharap
pada kalian, generasi baru.
Yang bakal menentu hala tuju, pada masa dan ketika,
yang barangkali aku sudah tua dan tidak
bermaya. Atau boleh sahaja, aku sudah tidak ada lagi di dunia ini.
Segala harapan dan impian,
kini terletak di tangan kalian.
Generasi baru.
*****
Senju Hashirama
& Uchiha Madara.
“Masalahnya,
bagaimana kita mahu mengubah sesuatu secara konkrit?
Aku tak dapat lihat
secara jelas bagaimana masa hadapan nanti.”
“Pertamanya, kau
mesti berpegang kepada ideal kau. Dan menjadi lebih kuat.
Kerana jika kau
lemah, tiada orang yang akan mendengar apa yang kau kata.”
[Naruto: Bab 623]
*****