Saya banyak
melihat orang ramai memberi komen, GST akan membebankan ramai rakyat terutama
rakyat miskin dan golongan sederhana. Barang berkadar sifar seperti beras akan
dinikmati oleh yang kaya dan miskin. Barang yang dikenakan GST seperti ubat
gigi akan dikenakan kepada yang kaya dan miskin. Pukul rata kesannya. Tetapi
perlu diingat golongan kaya masih memiliki kuasa beli yang lebih tinggi
berbanding golongan miskin dan secara
asasnya mereka akan membayar lebih banyak cukai jika berbelanja lebih.
Saya kurang setuju jika golongan miskin hendak berbelanja seperti golongan
kaya. Di luar sana terdapat kategori barang yang disebut sebagai keperluan dan
kehendak. Barang keperluan asas seperti beras, minyak masak, ayam, gula dll
diletakkan di bawah pembekalan berkadar sifar atau pembekalan dikecualikan, yakni tiada cukai dikenakan
secara mudahnya (cukai 0% atau dikecualikan cukai). Dan saya tidak rasa telefon pintar yang mahal satu
keperluan, begitu juga ASTRO bukan satu keperluan (walaupun tidak dikenakan cukai).
Masalah yang timbul hanyalah sikap golongan miskin yang ingin berbelanja
seperti golongan kaya. GST secara asasnya tidaklah menindas golongan miskin,
tetapi golongan miskin yang mempunyai tabiat berbelanja yang tidak sepadan
dengan taraf ekonomi hidup mungkin rasa tertindas. SST yang dikenakan sebelum
ini mungkin kelihatan lebih menindas untuk golongan miskin. Katakanlah GST dikenakan pada kadar 6%;
1. Makanan asasi akan turun dari 5% ke 0%.
2. Makanan lain akan turun dari 10% ke 6%.
3. Buah-buahan dan barang binaan akan naik dari 5% ke 6%.
4. Untuk barang lain kecuali produk tembakau dan alkohol akan turun 10% ke
6%.
5. Buku dan petrol, tiada cukai sejak era SST dan mengandaikan juga tiada
pada era GST.
6. Perkhidmatan, 6% ke 6%. (tiada kenaikan).
Sumber:econsmalaysia.blogspot, data dari tahun 2013.
Jadi apa yang kita jangka sebagai kenaikan harga barang, mungkin sekali
penurunan harga barang kecuali jika
peniaga masih berkeras menaikkan margin keuntungan dan menjual dengan harga
lama dengan untung lebih. Maka di sini perlunya penguatkuasaan dari kerajaan
supaya peniaga tidak menaikkan harga sesuka
hati.
Hakikatnya, penurunan cukai bukanlah penyebab peniaga untuk menurunkan
harga barang dan kemungkinan mereka akan mengekalkan harga barang seperti dalam
sistem SST kerana memang wujud trend dimana peniaga tidak mahu turunkan harga
barang (dengan menaikkan margin keuntungan) jika cukai diturunkan, tetapi
menaikkan harga serta merta apabila kadar cukai meningkat. Paling teruk yang
akan berlaku dalam kes ini ialah harga barang kekal tidak berubah. Mungkin
penurunan harga akan berlaku dalam kategori barang yang diklasifikasikan di
bawah pembekalan berkadar sifar kerana penurunan kadar cukai agak tinggi (5%).
Apabila kerajaan mengatakan hasil kutipan cukai akan meningkat bukanlah
bermaksud peningkatan adalah hasil dari memerah duit dari golongan miskin yang
selama ini merasakan diri mereka lari dari cukai tetapi peningkatan hasil cukai
berpunca dari beberapa faktor:
1. Seperti yang dijelaskan dalam artikel bahagian pertama, mekanisme rebat
cukai akan menggalakkan ramai peniaga atau syarikat untuk mendaftarkan diri
secara sukarela dalam GST walaupun terdapat kadar minima yang memerlukan mereka
mendaftar dalam GST. Itu salah satu kelebihan GST,
yakni self-collect. Semakin ramai yang mendaftar bermakna semakin banyak
kutipan cukai.
2. Cukai
kepenggunaan seperti GST akan turun melibatkan mereka yang selama ini terlibat
dalam ekonomi bayangan (bukan pasaran gelap), iaitu sektor ekonomi yang tidak
mampu diaudit kerajaan kerana saiz yang kecil dan jarang dikenakan cukai
pendapatan serta tidak berasa terpanggil untuk melaporkan pendapatan mereka.
Satu sektor tambahan untuk kutipan cukai.
3. Cukai
kepenggunaan mengikut tabiat berbelanja pengguna, mereka yang memiliki kuasa
membeli yang tinggi selalunya akan lebih banyak berbelanja, jadi membayar lebih
GST.
4. Sistem
kutipan cukai yang lebih efisyen kerana mengenakan cukai pada tahap aktiviti
yang menambah nilai seperti perpindahan barang dari pengilang ke peniaga.
Penting untuk bisnes kerana ianya mengurangkan kos input.
5. Pengurangan
kos kerajaan menguruskan kutipan cukai (rujuk bahagian pertama)
6. Hasil yang
lebih tinggi dengan kadar cukai lebih rendah. PEMANDU menjangkakan GST akan meningkatkan kutipan
2 kali ganda berbanding SST, tetapi pada cukai 4% lebih rendah.
Persoalan kenaikan harga sebenar bukanlah terletak pada cukai yang lebih
meluas yang dikenakan ke atas semua barang, tetapi pada pelaksanaan sistem
cukai yang baru bahkan pelaksanaan sebarang cukai baru akan memberi impak yang
sama yakni menaikkan harga barang, tetapi itu cuma akan berlaku sekali sahaja
di awal pelaksanaan dan kemudiaanya harga akan lebih stabil. Kenaikan ini
merupakan impak yang biasa berlaku berikutan perubahan regim percukaian (tax
regime), tidak kiralah apa cukai sekalipun.
Kenaikan harga yang berlaku sekali bukanlah inflasi kerana inflasi sebenar
bermaksud kenaikan harga barang yang berlaku dalam satu tempoh waktu. Kata
kunci di sini "satu tempoh waktu" dan kesan kenaikan harga dari GST
berlaku kerana perubahan sistem cukai. Secara mudahnya kenaikan harga barang
merupakan instantaneous change tetapi inflasi merupakan gradient graf secara
keseluruhan.
Isu penindasan terhadap golongon miskin atau golongan sederhana merupakan
misperception yang disebabkan
kelemahan dalam sebaran maklumat (misinformation) walaupun kedengaran beratus
juta ringgit akan digunakan dalam memberi penerangan
berkaitan GST. Setakat yang saya dengar, ketua
UMNO bahagian merupakan antara pihak yang bertanggungjawab
dalam memberi penerangan.
Kegagalan pihak kerajaan dan tiada konsistensi dalam membuat kenyataan
media seperti yang disebut Prof. Agus Yusuf, “kenyataan yang berbelit” oleh
beberapa pimpinan kerajaan menyebabkan rakyat keliru mengenai GST. Pihak yang terlibat juga gagal
memberi maklumat berkenaan bagaimana hasil cukai boleh meningkat dan rakyat secara spontan merasakan
kerajaan akan memerah lebih duit dari golongan miskin yang sebelum ini tidak merasa dikenakan cukai.
Semua ini bertitik tolak dari kelemahan kerajaan yang menjurus ke arah misinformation.
GST menindas?
Bersambung di bahagian seterusnya (mungkin yang terakhir).
Rujukan
Muhammad Syafiq Kamarul Zaman, 5.5.2014